SEORANG penumpang perempuan berpakaian pejabat menaiki Grab saya di Putrajaya dan destinasinya ke Semenyih.
Nak kata, dia penat, tak nampak pula wajahnya sebab terlindung dengan pelitup muka. Cuma saya andaikan mesti baru habis kerja.
Sengaja saya ajak bersembang, mahu memecahkan suasana sepi. Maklumlah lama tak bersembang dengan penumpang, dek kerana Covid-19.
Rupanya wanita ini bekerja dengan Jabatan Insolvensi. Wah! Teruslah mencurah-curah idea nak bertanyakan macam-macam soalan.
Perkara pertama yang saya tanya adalah berapa ramai rakyat Malaysia jatuh muflis? Lebih-lebih lagi dalam zaman ekonomi merudum gara-gara pandemik.
Katanya, ramai sangat. Bangsa mana yang paling ramai? Sama saja, Melayu dan Cina sama banyak. Cuma yang membezakan, sebab musabab berlakunya muflis.
Kata penumpang ini, orang Melayu muflis banyak disebabkan pinjaman bank manakala orang Cina sebab perniagaan.
Usia paling ramai muflis ialah usia pertengahan iaitu 40 tahun ke atas. Ini kerana pada usia tersebut ramai yang bercita-cita nak bekerja sendiri.
Lantas mereka membuat pinjaman bank namun akhirnya tak mampu membayar balik pinjaman. Lebih-lebih lagi pada musim pandemik ini.
Golongan muda pun ramai muflis tapi puncanya disebabkan kad kredit. Buat kad kredit banyak-banyak tapi tak mampu nak bayar. Akhirnya, diisytihar muflis.
Sebabnya apa? Kerana mahu menunjuk lagak dan tidak pandai dalam pengurusan kewangan.
Saya bertanya, selama mana semua yang diisytihar muflis ini tersekat serba-serbi, termasuk nama disenarai hitamkan oleh pihak bank dan tak boleh ke luar negara.
“Selepas lima tahun boleh buat rayuan kepada Ketua Pengarah untuk keluar dari senarai hitam . Tapi ada kriteria dan syarat tertentu yang perlu dipatuhi.
“Ini antara kerja saya, menilai rayuan semula mereka. Ramai pun dah bebas lepas membayar hutang mengikut peratusan yang perlu dibayar,” katanya.
Tak ada kereta lelong ke? Laju saya bertanya tiba-tiba.
“Banyak tapi kalau nak tahu bila jadual lelong kereta tu, kena tengok laman rasmi Jabatan Insolvensi lah.
“Dulu banyak kereta elok-elok dilelong. Nak beli keretakah,” tanya si penumpang.
Sambil tersengih saya menjawab. “Kereta ni pun semput nak bayar. Saja tanya jika ada orang lain yang berkenan.”
Selepas penumpang turun, otak saya menerawang tentang hutang-hutang yang ada. Syukur masih bertahan dan mampu membayar setiap bulan walaupun kadang-kadang perit.
Namun itulah hidup. Tak berhutang nanti, tak ada harta pula! –Mingguan Malaysia
Hutang dan muflis
- Oleh SHIKIN HASSAN
- 21 November 2021, 12:22 pm
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
BERITA BERKAITAN
Balasan dapat di dunia, carilah rezeki halal
3 April 2022, 11:01 am
Dia menyanyi pula dah …
6 Mac 2022, 12:00 pm
Badan besar, duduk belakanglah!
20 Februari 2022, 10:50 am