DENGAN gaji RM1,200 saya boleh tinggal di Bangsar, Kuala Lumpur. Menyewa sebuah bilik di rumah teres di Jalan Chenderai. Kalau saya terlewat naik bas untuk ke tempat kerja di Sungai Besi, saya panggil teksi. Dan saya sering makan di luar. Di Bangsar juga. Ada duit dalam RM10 pun, macam-macam boleh makan di medan selera.
Biar betul? Betullah. Tapi ini cerita 25 tahun dululah. Itulah jangan baca tajuk dan intro sahaja, kemudian kecam. RM1,200 kira cukup besar bagi orang bujang macam saya pada ketika itu. Sewa rumah dan bilik masih murah.
Naik teksi dalam bandar, tambangnya sekitar RM3 hingga RM6. Naik bas jangan ceritalah, berapa sen sangat, tak sampai RM1. Dulu mana ada LRT.
Sekarang jangan mimpilah dapat merasa kos hidup rendah sebegitu di Kuala Lumpur. Harga sewa bilik RM1,200 pun ada. Yang bujang dengan gaji sebanyak itu pun tak cukup, apatah yang telah berkeluarga.
Jadi cukupkah gaji RM1,200 sekarang?
Hanya majikan yang berfikiran dia masih duduk dalam zaman dulu-dulu saja cakap cukup. Atau dia saja yang duduk zaman sekarang manakala pekerjanya semua duduk di zaman Bas Sri Jaya atau bas mini yang baru nak pijak tangga, bas dah jalan itu, yang cakap cukup.
Logiknya, tidak cukup. Yang kata cukup, mungkin orang bujang yang tinggal bersama ibu bapanya. Tidak perlu menyewa dan makan di rumah. Itupun hujung bulan minta duit pada orang tua hendak pergi kerja.
RM1,200 pada 20 atau 30 tahun dulu dikira agak mewah, sekarang gaji banyak itu sudah nyaris-nyaris jatuh dalam kategori miskin tegar di Kuala Lumpur manakala pendapatan seisi rumah RM2,216 jatuh dalam kategori miskin bandar.
Jadi berapa ramai kita dalam kategori miskin bandar dan miskin tegar? Ramai. Termasuk yang bekerja di pejabat dan bertali leher. Iyalah, kerja nampak gah, jawatan eksekutif atau pegawai tapi gaji sama dengan pembantu kedai di pusat beli-belah. Tapi itulah, ada yang tak mengaku miskin.
Kenapa hendak menidakkan perkara ini? Klise sangat bila cakap jalan selesai gaji tak cukup adalah dengan ukur baju di badan sendiri. Tak pula cakap ukur gaji ikut keadaan semasa?
Dan yang kaya raya itu jangan sesekali beri nasihat pasal menabung dan berjimatlah kepada golongan yang bergaji rendah ini. Pakai kasut mereka, jika gaji bulanan mereka tiada lebihan untuk disimpan, apa benda yang nak dimasukkan dalam tabung itu?
Baru-baru ini Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Awang Hashim memberitahu, kerajaan dijangka mengumumkan Perintah Gaji Minimum pada tahun depan selepas kajian mengenainya selesai akhir tahun ini. Katanya, pada ketika ini kerajaan masih menjalankan kajian mengenai gaji minimum yang dijangka selesai pada suku keempat tahun ini.
Dalam Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Perundingan Gaji Negara (JTPGN) baru-baru ini juga pihak majikan mencadangkan supaya kadar gaji minimum sedia ada dikekalkan manakala para pekerja pula mengesyorkan agar kadar gaji minimum dapat dinaikkan.
Kali terakhir gaji minimum dinaikkan pada 1 Februari 2020, dengan kenaikan RM100 daripada RM1,100 ke RM1,200 sebulan.
Ada yang berkata, pemimpin-pemimpin negara ini dari dulu sampai sekarang pun suka mencanang, negara ini paling bagus di dunia, dari segi itu dan ini. Bersyukurlah. Tapi bab gaji pekerja hendak naik RM100 pun perlu kajian yang lama manakala majikan pula suka buat bising.
Mahu mencapai status negara maju gaji pun kenalah sama seperti negara berpendapatan tinggi. Bab-bab gaji tak mahu ikut pula.
Dan baru saja kerajaan cakap sedang mengkaji gaji minimum, tiba-tiba banyak pula barang naik harga. Harga makanan dan keperluan asas termasuk alat ganti kenderaan turut naik. Rangkaian kedai RM2 pun akan menaikkan harga tidak lama lagi.
Agaknya dah hampir dua tahun tak boleh berniaga sangat kerana PKP, dihentamnya harga naik bagaikan mahu membalas dendam.
Bayangkan kalau betul, gaji minimum dinaikkan ke RM100 lagi misalnya atau mungkin lebih, maka macam mana mencanak pula naik harga semua barangan!
Hakikatnya ini perkara biasa, bila kerajaan mengumumkan gaji minimum atau gaji penjawat awam naik, atau diberi bonus, peniaga pun menaikkan harga barang. Jadi pusing-pusing patah ke tempat asal. Gaji tak cukup. Gaji naik, barang naik. Tiada makna.
Dan paling entah apa-apa jika kenaikan harga barang dianggap sesuatu yang biasa dan masih terkawal.Mungkinlah yang bercakap itu bergaji RM10,000 sebulan atau lebih merasakan ini kenaikan normal dan terkawal.
Janganlah asyik cakap pasal pantau dan tiada aduan. Asalkan barang naik saja, cakap kita akan pantau dan yang diserbu kedai peniaga-peniaga kecil manakala pihak yang memanupulasi harga tidak dikacau. Pemantauan saja tidak cukup. Tentu ada satu mekanisme atau kawalan yang lebih tegas selain undang-undang yang dapat mengelakkan kenaikan harga.
Harga barang binaan naik, harga rumah naik. Sewa rumah dan bilik pun naik. Yang gaji minimum RM1,200 terus diheret kemiskinan dalam hutan batu.
Kalau macam itu bantuan wang yang diberikan kerajaan waima banyak mana pun kepada yang disasarkan tidak memberi kelegaan sebab kenaikan harga barangan.
Pernah dengar janji-janji harga barang akan turun? Sudah turunkah? Apa barang yang turun? Nak dengar lagi? Tunggu PRU15. Semuanya berjuang untuk rakyat!
PENULIS ialah Pengarang Berita Mingguan Malaysia