‘Aku tak boleh jawab salam kau!’ - Utusan Malaysia

‘Aku tak boleh jawab salam kau!’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PULANG ke kampung memang aktiviti rutin yang dilakukan oleh keluargaku bila ada cuti panjang mahupun cuti sekolah. Biasanya awal-awal lagi ayah dan ibu sudah selak kalender untuk rancang percutian kami sekeluarga. Kampung nenek pula terletak di utara tanah air yang dikelilingi sawah padi. Memang cukup seronok dan mendamaikan.
Walaupun jarak antara kampungku dengan ibu kota hampir lima jam perjalanan, namun tidak menjadi masalah buat kami kerana apa yang ada dalam fikiran hanyalah keterujaan untuk bertemu dengan datuk dan nenek serta sanak saudara lain.
Cuti penggal ketiga persekolahan penghujung tahun 2000 lalu, kami sekeluarga sekali lagi pulang ke kampung. Kali ini ayah dan ibu rancang untuk habiskan masa dua minggu di sana. Aku dan adik beradik terus bersorak keriangan.
Pagi itu kami sekeluarga bertolak ke kampung. Jalan raya cukup sesak, maklumlah cuti sekolah sudah bermula, setelah lima jam perjalanan akhirnya kami sampai juga ke destinasi.
Sebaik sampai, datuk dan nenek sudah sedia menyambut kami di muka pintu. Namun aku rasa wujudnya sedikit kelainan. Tidak tahu bagaimana untuk ku gambarkan. Badan tiba-tiba rasa seram sejuk dan gelisah. Aku terasa bagaikan berada di tempat asing. Namun aku cuba buang perasaan tersebut. Aku fikir mungkin disebabkan terlalu letih ataupun mungkin kerana sudah lama tidak pulang ke kampung.
Perasaan gembira terukir jelas di wajah datuk dan nenek. Mungkin agaknya sudah lama mereka tidak menatap wajah cucu-cucu kesayangannya. Malam itu kami dihidangkan dengan pelbagai juadah air tangan nenek. Cukup berselera kami makan sehinggakan aku pun bertambah nasi beberapa kali.
Sebaik selesai menikmati juadah, aku keluar bersiar-siar menghirup udara segar di halaman rumah. Suasana malam itu cukup nyaman berbanding hiruk pikuk bunyi bising kenderaan seperti di bandar.
Bunyi unggas dan sahutan burung hantu sesekali kedengaran sayup-sayup dari hutan berdekatan. Aku dongak ke langit, nampak cerah taburan bintang dan sinaran bulan penuh. Sedang asyik mengelamun tiba-tiba aku tersentak. Telingaku menangkap bunyi aneh dari belukar berdekatan. Aku intai sekeliling, tidak nampak pula sesuatu yang pelik dan mencurigakan.
Namun sebaik sahaja berpaling, aku tersentak. Dalam samar cahaya malam kelihatan satu sosok sedang melangkah perlahan menuju ke belakang rumah. Aku perhati teliti. Nampak jelas kelibat seorang wanita sedang berjalan terbongkok-bongkok. Siapa pula agaknya itu? Fikirku mungkin nenek ataupun ibu yang keluar untuk membuang sampah. Aku berjalan menghampirinya. Rasa ingin tahu membuak-buak. Dari arah belakang aku nampak sosok tersebut dengan jelas, memang agak berbeza dengan kelibat ibu dan nenek. Siapa pula wanita ini, fikirku dalam hati.
Aku pantas menuruti sosok tersebut yang melangkah di belakang rumah menuju ke arah dapur. “Assalamulaikum… Assalamualaikum…siapa itu?” Tanyaku, sambil mengekorinya dari belakang.
“Assalamualaikum… Assalamualaikum…” tanyaku sedikit kuat. Serta merta wanita tersebut berpaling. Nampak raut wajahnya yang berkedut seribu dengan rambut putihnya mengerbang tidak terurus. Matanya merenung tajam ke arahku. Aku tersentak.
“Aku tak boleh jawab salam kau …” katanya dengan suara garau. Serta-merta darahku tersirap. Aku dapat rasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan jawapan wanita tua itu. Melalui cahaya lampu dari celahan dinding di dapur aku dapat melihat wajahnya dengan jelas. Bukan sekadar kedut seribu, malah nampak kulit mukanya yang sudah pecah dan merekah.
Memang aku tidak mengenali siapa wanita tua ini, malah sejak bertahun aku berulang alik ke kampung tidak pernah sekalipun aku bertemu mahupun terserempak dengannya.
Jadi siapakah dia yang tiba-tiba muncul mundar-mandir di sini. Seribu persoalan mula bermain di benakku. Satu lagi yang menjadi tanda tanya, kenapa pula dia kata tidak boleh menjawab salam.
Aku yang rasa serba salah ketika itu tidak berfikir panjang. Terus aku batalkan niat untuk mengekorinya. Lantas aku masuk semula ke dalam rumah dan bertanya nenek. Sebaik sampai di ruang tamu, semua ahli keluarga pelik memandangku. Ayah lantas bertanya kenapa mukaku pucat dan ketakutan.
Aku menceritakan apa yang terjadi. Semua ternganga mendengar ceritaku. Nenek memandang datuk dengan wajah yang menyimpan seribu cerita. Seakan ada rahsia di antara mereka yang kami tidak tahu.
“Tak apa, biar ayah pergi tengok. Engkau ini entah betul atau tidak, entah-entah perasaan kau saja,” kata ayah sambil membetulkan ikatan kain pelikatnya. Namun datuk dan nenek menegah ayah. Seakan tidak membenarkan ayah untuk memeriksa di luar rumah.
Ayah dan ibu juga perasan di mana nenek dan datuk seakan menyembunyikan sesuatu daripada pengetahuan mereka.
“Kenapa emak? Macam ada sesuatu yang tak kena saja. Apa yang Fariz nampak tadi?” Tanya ayah cuba mengorek rahsia.
Setelah beberapa kali menghela nafas, akhirnya nenek mula membuka mulut.
“Sebenarnya apa yang Fariz nampak itu memang benar. Ramai orang kata itu jelmaan dukun Tok Piah yang sudah meninggal seminggu lalu. Memang ramai yang sudah jumpa. Dia merayau-rayau sekitar kampung”.
“Kami tak pernah jumpa lagi, tapi nampaknya Fariz tak bernasib baiklah,” kata nenek kepada kami.
Kami berpandangan. Tak semena-mena aku rasa badanku menggigil. Wajah wanita tua tadi serta merta menerjah di kotak fikiranku. “Err… jadi yang saya nampak tadi hantu?” tanyaku dengan perasaan tidak tentu arah.
Nenek hanya terdiam. Dia tidak menjawab pertanyaanku.
“Fariz pergi mandi. Lepas itu solat. Dah jangan keluar lagi. Nanti tutup semua pintu dan tingkap rapat-rapat,” kata nenek sedikit tegas. Aku akur. Tanpa berlengah aku cuit adik lelakiku minta dia menemaniku. Maklumlah tandas di rumah nenek pun terletak di bawah lagi pun peristiwa tadi masih menghantui diriku.
Ayah dan emak segera menutup semula jendela yang terbuka. Dia menyuruh kami semua bertenang dan tidur. Selesai mandi aku segera solat dan mengaji untuk menenangkan keadaan. Malam itu aku tidak dapat tidur lena. Wajah wanita tua yang kononnya menyerupai Tok Piah itu berlegar-legar di kotak fikiranku. Perasaanku dia masih berlegar-legar di sekitar rumah.
Aku juga tidak dapat memikirkan tentang baki hari-hari yang akan kami lalui di rumah nenek. Jika hari pertama sahaja sudah berlakunya perkara menakutkan sebegini, jadi apa jaminannya untuk hari esok dan seterusnya?
Ikutkan hati ingin sahaja aku beritahu ayah agar segera pulang ke Kuala Lumpur, namun rasa bersalah pula pada datuk dan nenek. Nanti apa pula kata mereka. Kasihan pula jika mereka tinggal berdua tanpa sesiapa menemani. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya