Assalamualaikum kepada pembaca sekalian. Ada satu kisah menyeramkan yang ingin aku kongsikan bersama pembaca. Kisah ini berlaku ketika aku bertugas sebagai seorang doktor pelatih di salah sebuah hospital yang terletak di utara tanah air.
Sebagai seorang doktor, aku ini bukanlah seorang yang kategori lemah semangat. Pelbagai pesakit yang mengalami kemalangan ngeri sudah aku saksikan di depan mata, namun sedikit pun tidak pernah mematahkan semangatku. Alhamdulillah, semuanya mampu ku hadapi.
Tetapi kisah yang menimpaku ini, telah mengubah keseluruhan sisi hidupku ketika ini. Aku tidak lagi kuat semangat, malah mudah berasa takut dan lemah terutamanya jika ada perkara-perkara pelik dan aneh yang berlaku terutamanya di waktu malam.
Kejadian tersebut juga membuatkan aku lebih berhati-hati dan sering ingin ditemani walau pergi ke mana-mana. Kisah yang meninggalkan trauma buat diriku sehingga kini. Begini ceritanya…
Suatu malam aku ditugaskan di wad kecemasan untuk membantu beberapa doktor senior yang terpaksa menjalankan pembedahan terhadap seorang mangsa kemalangan jalan raya. Namun agak malang kerana kami tidak berjaya menyelamatkan nyawanya, Mangsa meninggal dunia setelah berlaku pendarahan yang teruk di kepala.
Setelah membersihkan anggota badan, aku menukar pakaian di bilik persalinan. Memang begitulah rutin kebiasaannya kerana bila berada di hospital dan berurusan dengan pelbagai kategori pesakit macam-macam virus dan jangkitan boleh berlaku. Lagipun aku sendiri berasa tidak selesa.
Apabila selesai aku melangkah menuju ke pantry. Cadangnya untuk membasahkan tekak, maklumlah sedari tadi aku menahan dahaga yang teramat.
Aku lihat jam di dinding sudah hampir 1 pagi. Aku melangkah perlahan. Suasana sekitar cukup sunyi. Aku jeling pintu wad yang tertutup di kiri kanan, semuanya sudah gelap. Mungkin semua pesakit sudah tidur lena agaknya.
Tiba-tiba aku tersentak. Terasa seperti ada deruan angin kuat yang lalu dan singgah di belakangku. Aku berhenti sambil toleh ke belakang. Tidak ada apa-apa yang ganjil. Aku fikir mungkin perasaanku sahaja, walaupun bulu tengkuk terasa tegak berdiri.
Aku teruskan langkah perlahan. Dan sebaik sahaja aku ingin membuka pintu menuju ke pantry, aku tergamam. Aku lihat pintu wad di sebelah kananku terbuka luas.
Perlahan-lahan aku jengah cuba mengintai kalau-kalau ada jururawat bertugas berada di dalam. Dalam suasana suram lampu di koridor aku dapat lihat deretan katil kosong yang tersusun kemas.
Memang tiada sesiapa di situ. Nampaknya wad tersebut kosong tanpa penghuni.
Setelah pasti tiada sesiapa di dalam, aku lantas menarik tombol pintu untuk menutupnya. Dan ketika itulah tiba-tiba aku terdengar sesuatu yang aneh. Bunyi seakan suara seseorang.
Aku cuba amati. Perlahan-lahan aku pasang telinga.
“Hermmmm….. hermmmmm….hermmmmm….”
Bunyi suara seakan merengus. Mataku liar memandang sekeliling. Dalam hati berfikir kalau-kalau ada pesakit yang berada di situ.
“Hermmmm…. Hermmmmm…. Hermmmmm….”
Bunyi tersebut kedengaran sekali lagi. Aku kecilkan mata cuba mengintai sekali lagi kalau-kalau ada pesakit di dalamnya yang perlukan bantuan. Manalah tahu jika aku tidak perasan dan terlepas pandang.
Pelik. Puas aku intai keliling tapi tidak nampak sesiapa. Bunyi apa pula yang aku dengar tadi?
Mungkin perasaan aku sahaja agaknya, bisikku dalam hati. Lantas aku ambil keputusan untuk melangkah keluar dari wad tersebut. Dan sebaik sahaja aku ingin ke pintu tiba-tiba…
“Kau nak pergi mana…. Aku ada dekat sini…”
Aku tergamam. Sekali lagi aku toleh sekeliling. Tidak nampak pula kelibat sesiapa. Jadi suara siapa pula yang ku dengar itu, bisikku dalam hati.
“Aku dekat sinilah…sini…”
Terdengar suara garau dari arah belakangku. Aku bingkas menoleh ke belakang.
Tiba-tiba darahku tersirap. Jantung seakan mahu tercabut keluar. Di atas sebuah katil berhampiran jelas kelihatan satu sosok bertubuh gelap sedang duduk bersila memandangku. Rambutnya panjang mengurai sehingga mencecah lantai. Matanya merah menyala sambil menyeringai menampakkan giginya yang berceracak panjang.
Aku kaku tanpa sepatah kata. Tubuhku menggeletar ketakutan dan jantung serta merta berdegup laju. Tidak tahu bagaimana inginku gambarkan perasaanku ketika itu.
Makhluk tersebut mendengus sambil bola matanya yang merah menyala itu memandang tepat ke arahku. Tiba-tiba dia ketawa mengilai sambil memusingkan kepalanya beberapa kali ke arah belakang. Sumpah! Tak ubah seperti hantu yang pernah ku lihat dalam beberapa filem seram di kaca TV sebelum ini. Memang cukup mengerikan.
Aku cuba bertenang dan kuatkan semangat dengan membaca ayat-ayat suci al-Quran tetapi bibirku terkunci, seolah-olah seperti dipukau. Wajah cengkung hodoh yang menakutkan itu ku lihat masih tidak berganjak di atas katil. Dia terus memandangku dengan wajah cukup menakutkan. Aku sudah tidak mampu berdiri lama di situ, tanpa disedari akhirnya aku terjelepok pengsan.
Sebaik membuka mata aku lihat beberapa jururawat berada di sekelilingku. Bertalu-talu pertanyaan daripada mereka kenapa aku boleh jatuh pengsan di situ. Aku tidak mampu untuk berterus terang sekadar mengatakan mungkin terlalu letih kerana bekerja seharian suntuk.
Keesokannya aku demam gara-gara kejadian yang menimpa malam itu. Hampir tiga hari juga aku berasa lemah semangat sehingga takut untuk melewati bilik yang meninggalkan pengalaman menakutkan buatku sebelum ini.
Sejak peristiwa itu aku agak trauma untuk bekerja lewat malam di hospital tersebut. Keadaan itu berlarutan sehingga berbulan lamanya. Ikutkan hati ingin sahaja aku bertanya kepada petugas-petugas di situ tentang kejadian yang menimpaku pada malam itu, tetapi setelah difikirkan buruk dan baiknya, terus aku batalkan niat tersebut.
Aku tidak mahu ada petugas lain pula yang takut setelah mendengar ceritaku nanti, tambahan pula mereka kebanyakannya bekerja syif. Biarlah aku rahsiakan sahaja cerita itu, sehinggalah mereka sendiri yang menyaksikan peristiwa tersebut.
Kini sudah hampir 10 tahun berlalu. Aku pula sudah bertugas di sebuah hospital di Kuala Lumpur. Peristiwa menakutkan itu tetap tersimpan dalam lipatan memoriku sehingga kini. Pernah beberapa tahun lepas aku kembali ke hospital tersebut untuk menguruskan beberapa dokumen pekerjaanku, dan aku sempat melewati wad tersebut.
Keadaannya masih sama seperti dahulu dengan deretan katil dan susun aturnya Tetapi walaupun aku melewatinya pada waktu siang, hatiku tetap rasa berdebar-debar. Aku rasa ada sesuatu yang tidak kena dengan wad tersebut.
Entahlah, tidak mampu untuk aku huraikan. Yang pasti wad tersebut masih menyeramkan. – Mingguan Malaysia
‘Aku dekat sinilah…’
- Oleh ROSHIHAN ANNUAR YUB
- 14 November 2021, 3:20 pm
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
BERITA BERKAITAN
Dari mana datangnya mata air ini?
29 Oktober 2023, 4:43 pm
Esok pagi bolehlah kau datang ke rumah aku…
1 Oktober 2023, 5:19 pm
Siapa yang kayuh basikal itu?
17 September 2023, 4:51 pm