Abang sudah makan ke belum? - Utusan Malaysia

Abang sudah makan ke belum?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“ORANG lelaki ini, kalau ada perempuan yang bertanya sudah makan ke belum atau berpesan bawa kereta hati-hati, terus cair.
“Dikatanya, perempuan itulah yang paling mengambil berat tentang dia. Terus lupa isteri di rumah yang memasak dan buat macam-macam untuk dia. Kadang-kadang duit belanja pergi kerja pun isteri yang beri. Yang setakat tanya abang dah makan ke belum itu juga disanjung-sanjung.”
Itu kata seorang kawan. Marah betul dia petang itu. Puncanya sikit saja. Saya kongsi dalam grup WhatsApp kawan-kawan, berita muka depan akhbar Utusan Malaysia kelmarin yang bertajuk PUBG, Tupperware, Aaron Aziz alasan cerai.
Grup yang mula-mula sepi dengan mesej paling akhir ‘Salam Subuh’ itu tiba-tiba macam ada percikan bunga api dan dentuman meriam buluh. Berderet-deret komen. Sampai tak sempat hendak saya baca satu persatu.
“Aaron Aziz? Kenapa tak Iqbal Zulkefli?” Jawab seorang lagi kawan disambut dengan banyak emoji terkejut dan gelak.
Iyalah, nampak begitu murah sekali nilai sebuah perkahwinan. Hal remeh temeh menjadi alasan dan punca perceraian. Aaron Aziz kenal pun tidak isteri yang diceraikan itu. Entah apa-apa sungguh.
Dan pasangan yang rumahnya bersepah dengan produk Tupperware, tidak boleh diselamatkan lagi perkahwinannya. Logik ke tidak? Kemas dan susun cantik-cantik sajalah bekas kedap udara itu. Habis cerita. Kenapa sampai hendak bercerai- berai?
Kawan saya itu menukas, Tupperware bersepah dalam rumah itu alasan saja hendak bercerai. Sebenarnya cinta sudah beralih arah. Bagilah alasan bukan-bukan.
“Kahwinlah lagi selepas itu, nanti ada lagi perempuan lain yang tanya abang dah makan ke belum? Bergoncang lagi rumah tangga. Cerai lagi.
“Masa itu bagi alasan apa pula yang bersepah dalam rumah?” soalnya.
Saya cuma beri emoji gelak. Ada yang menyokong. Macam-macam juga pendapat yang keluar, macam lepas geram pada suami masing-masing pula. Yang ini saya malas nak campur.
“Ok, korang jangan asyik main telefon sangat. Kemas rumah itu. Nanti Tupperware di rumah bersepah, jadi punca pula,” kata saya mengakhiri perbualan di alam maya itu.
Iyalah, sekarang ini media sosial boleh menjadi punca perceraian. Terlalu lama menghadap telefon atau komputer. Bermain game dan bersembang tak tentu masa. Akhirnya rumah tangga dan pasangan diabaikan.
Itu belum masuk lagi bab-bab berkenalan dalam laman sosial seperti Facebook, Twitter dan Instagram. Yang membawa kepada pertemuan dan kemudian terjebak dan mempertaruhkan rumah tangga yang bahagia sebelum itu, bertukar menjadi huru-hara.
Memang tak fahamlah, kenapa sudah ada rumah tangga yang bahagia tetapi masih lagi mencari kawan dalam media sosial. Tujuan hanya untuk berkawan saja. Apa pasangan sendiri tidak boleh jadi kawan kah?
Sebelum ini pun, saya ada terbaca, dan ia ada dibincangkan dalam sidang Dewan Rakyat, antara sebab perceraian di negara ini adalah berebut rancangan TV dan pasangan lupa mengepam tandas. Hal-hal kecil jadi punca perceraian. Memang tidak masuk akal. Tapi betullah,kalau dah tak suka itu, macam-macam perkara remeh boleh jadi sebab.
Menurut rekod Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) sejumlah 86,468 kes perceraian berlaku dalam tempoh pandemik Covid-19 melanda negara pada awal tahun 2020 hingga bulan lalu.
Angka itu menambah jumlah perceraian kepada 212,080 kes yang direkodkan menerusi pendaftaran kes tuntutan perceraian di mahkamah syariah di seluruh negara dalam tempoh hampir empat tahun iaitu 2018 hingga 27 Oktober 2021.
Selain alasan remeh itu, terdapat lima faktor utama berlakunya perceraian iaitu tiada persefahaman, masalah kewangan, pengabaian tanggungjawab nafkah, hubungan dengan pihak ketiga dan tekanan emosi.
Dan paling menyedihkan ada pukul memukul. Bukan setakat naik tangan kepada isteri. Anak-anak pun tak pasal-pasal jadi mangsa. Ada lelaki kalau sudah ‘angau’ semua mahu dipukul dan tunjuk samseng pada yang lemah dengan kucing-kucing yang ada dalam rumah sekali dia pukul! Itu pengalaman seorang teman, yang sekarang sudah pun hidup bahagia, tiada rasa takut dan makan hati lagi. Kes ini memang banyak. Kalau tidak suka itu sudahlah. Janganlah disakiti pula secara fizikal orang yang hatinya telah dihancurkan itu.
Hal ini remeh? Tidak. Segala yang baik kebanyakannya bermula dari rumah iaitu keluarga. Kerja yang produktif, mood yang baik pada hari itu dan semangat untuk bekerja, banyak datangnya daripada pasangan dan anak-anak.
Apa pun, sudah pasti tidaklah bijak kita hendak menyalahkan media sosial dalam hal cerai berai ini. Macam tak bijaknya, bila ada sesuatu artikel, rajin baca tajuk saja, tak baca habis dan hentam bukan-bukan.
Kita yang sentiasa rasa bijak inilah yang mengawal keadaan dan setiap benda yang keluar masuk dalam kehidupan kita, tak akan pula Tupperware apatah lagi PUBG atau Aaron Aziz yang sudah lama bahagia dengan pasangannya!

PENULIS ialah Pengarang Berita Mingguan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya