SEMAKIN dekat tarikh Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, ramai tertanya-tanya, parti mana bakal membentuk kerajaan negeri yang baharu?
Walaupun kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka ada 24, lapan daripadanya majoriti kerusi Cina dan India, iaitu Machap Jaya, Pengkalan Batu, Ayer Keroh, Kesidang, Kota Laksamana, Duyong, Bandar Hilir dan Gadek.
MCA dan MIC yang berada dalam Barisan Nasional (BN) dan Gerakan dalam Perikatan Nasional (PN) bakal bertembung satu sama lain dengan DAP dalam komponen Pakatan Harapan (PH).
Lapan kerusi ini sebenarnya menjadi penentu untuk kestabilan dalam pembentukan kerajaan negeri nanti. Undi Cina amat diperlukan dalam memberi kemenangan kepada mana-mana komponen parti yang bakal bertembung nanti.
Sama ada BN bersama Muafakat Nasional (MN), ia menjadi persoalan selepas kegagalan kerjasama BN-PN. Ini menjadikan pertandingan tiga penjuru tidak dapat dielakkan. Pertandingan tiga penjuru menjadikan undi Melayu berpecah dan undi bukan Melayu terutama undi Cina masih mampu disatukan.
Cuma undi Cina yang disatukan tersebut ingin diberikan kepada komponen parti mana untuk membentuk kerajaan? Disebabkan majoriti kerusi Cina adalah sepertiga daripada keseluruhan kerusi DUN Melaka, maka undi Cina akan menjadi penentu kemenangan komponen parti mana nanti.
Jika diamati, sebenarnya pengundi Cina di Melaka kini berada dalam dilema sama ada untuk memberi sokongan kepada DAP dan PH. Ini kerana beberapa isu melibatkan PH semasa memerintah kerajaan negeri mahupun Kerajaan Persekutuan. Kejatuhan kerajaan PH Melaka juga disebabkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP yang melompat. Ini menyebabkan wujudnya persepsi perpecahan dalam kalangan komponen PH Melaka terutama DAP.
UEC
Malahan, isu Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) yang suatu ketika diiktiraf oleh kerajaan PH Melaka tetapi tidak dilaksanakan oleh PN. Ini menyebabkan UEC yang dijanjikan semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) juga dipersoalkan oleh pengundi Cina.
Keyakinan dan kepercayaan ke atas kepimpinan Lim Guan Eng yang memainkan peranan menjadikan Kota Melaka sebagai kubu kuat DAP di Semenanjung kini menghampiri dilema dalam kalangan pengundi Cina yang setia. Soal bantuan semasa majoriti peniaga Cina menghadapi masalah sewaktu pandemik Covid-19 oleh PH Melaka adalah kurang.
Sebahagian peniaga Cina yang mengundi PH kini bertanya, apakah kemampuan PH untuk membantu mereka pada masa kini? Majoriti peniaga Cina terjejas dan ini menyebabkan sebahagian mereka memerlukan bantuan kewangan untuk membangunkan semula perniagaan masing-masing.
Pengenalan kenaikan cukai taksiran oleh kerajaan PH di Melaka juga menjadi satu persepsi isu. Malahan beberapa cukai juga diperkenalkan ke atas sektor pelancongan semasa kerajaan PH menguasai Kerajaan Persekutuan selama 22 bulan.
Peniaga kini terpaksa berdepan cukai taksiran pihak berkuasa tempatan (PBT) yang tinggi. Ini menyebabkan bukan sahaja pendapatan terjejas tetapi juga banyak perniagaan kini menghadapi masalah untuk dibuka semula.
TRAFIK
Impak ini lebih kelihatan dalam sektor pelancongan yang diceburi oleh sebahagian masyarakat Cina.
Masalah perumahan dan kemudahan infrastruktur yang sepatutnya diutamakan ke atas kawasan majoriti Cina juga kurang dipedulikan semasa PH menjadi kerajaan negeri. Ini menyebabkan berlakunya masalah saliran dan kesesakan trafik.
Persoalan perumahan yang kurang diberi perhatian oleh kerajaan PH Melaka terutama kelulusan perumahan kos sederhana bagi menampung pertambahan penduduk di kawasan majoriti pengundi Cina juga mengundang persepsi.
Jika diamati, sebahagian pengundi Cina kini mulai sedar akan pilihan untuk kembali kepada BN berbanding PN. Sewaktu BN menjadi kerajaan negeri mahupun kerajaan Pusat sebelum kejatuhan dalam PRU-14, sekurang-kurangnya tidak menaikkan cukai taksiran PBT mahupun dapat menyelesaikan permasalahan kemudahan infrastruktur di Melaka.
Krisis pandemik Covid-19 kini hampir memaksa sebahagian pengundi Cina untuk beralih jika sebahagian permasalahan ini dapat diselesaikan oleh kerajaan negeri yang baharu. Jadi, PRN Melaka adalah satu ujian untuk melihat kesanggupan kerajaan BN untuk memenuhi sebahagian isu dan permasalahan mereka. Jika BN mampu menyelesaikan, berkemungkinan juga tanda isyarat sebahagian besar pengundi Cina di seluruh negara turut beralih angin.
Jadi, amat penting untuk PN atau BN melihat dan cuba menyelesaikan sebahagian isu dan permasalahan kaum Cina dimulai di Melaka.
Jika di Melaka berjaya, maka perubahan pengundi Cina seluruh negara juga akan berubah. Setiap undi sokongan daripada kaum Cina kini mempunyai maksud tersirat dan tersurat kepada parti yang dipangkahnya untuk menang.
Ini amat berlainan dengan undi Melayu yang masih mengikut kepartian. Mungkin disebabkan kaum Cina adalah minoriti dan sebahagiannya bergantung kepada ekonomi untuk kelangsungan hidup, akhirnya memaksa mereka untuk bersatu dalam memberi undi dan sokongan kepada mana-mana komponen parti yang mampu memberikan keyakinan dan kepercayaan dalam kehidupan.
Jadi, tidak mustahil undi Cina bakal berubah angin jika strateginya tepat dan dilaksanakan. Bukan semua tetapi sekurang-kurangnya dapat memenuhi sebahagian besar pun adalah dianggap boleh diterima sebagai permulaan peralihan sokongan undi Cina tersebut
DR. Iskandar Hasan Tan Abdullah ialah Pensyarah Kanan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kelantan.