Assalamualaikum dan salam sejahtera buat semua pembaca.
Salam perkenalan daripada saya. Minggu ini saya ingin berkongsi sebuah cerita untuk tatapan pembaca sekalian. Cerita yang ingin saya sampaikan ini mungkin lebih bersifat pedoman dan iktibar buat renungan kita bersama.
Kisah yang ingin saya kongsikan ini adalah tentang seorang kenalan bernama Abang Hamid. Dia seorang pemandu van jenazah yang telah berkhidmat hampir 15 tahun lamanya.
Abang Hamid berusia dalam lingkungan awal 50-an dan merupakan seorang yang cukup peramah. Kalau duduk bersembang dengannya pasti tak kering gusi, ada sahaja ceritanya. Kalau dia mula berborak, nah, serupa macam penglipur lara. Satu teko kopi pun boleh habis. Begini kisahnya…
Suatu hari ketika bersembang dengannya, saya dan Farhan bertanya tentang pengalamannya membawa van jenazah. Manalah tahu kalau ada kisah pelik yang boleh dikongsikan. Pada awalnya Abang Hamid diam sejenak, kemudian dia tergelak kecil.
Abang Hamid mengerutkan dahi seolah memikirkan sesuatu. Kami menunggu dengan sabar.
“Okey, ada satu kisah yang aku nak ceritakan dengan kamu berdua,” katanya sambil memandang ke arah kami.
Aku dan Farhan tersengih sambil mengangguk perlahan. Dalam hati memang tak sabar nak dengar cerita daripadanya. maklumlah pasti Abang Hamid ada menyimpan pelbagai kisah menarik selama ini.
Lantas tanpa menunggu lama, dia memulakan ceritanya. Menurutnya kisah tersebut berlaku pada 2014. Suatu hari dia mendapat panggilan telefon dari seorang waris si mati untuk membawa jenazah abangnya dari hospital ke kampung halamannya. Segala urusan mandi dan kafan semuanya diuruskan oleh pihak hospital.
Dengan maksud lain, semua urusan telah diselesaikan. Cuma urusan pengebumian jenazah sahaja akan dilakukan di kampung si mati. Dari pengetahuannya arwah meninggal dunia kerana sesak nafas. Jadi selepas habis bedah siasat dan urusan dokumentasi dari hospital dia bersama pembantunya, Arif memulakan perjalanan membawa jenazah menuju ke kampung halaman arwah di utara tanah air.
Hampir pukul 6 petang, barulah mereka bertolak dari bilik mayat. Mereka berhenti sebentar untuk menunaikan solat Maghrib di sebuah surau di hentian rehat lebuh raya sebelum kembali meneruskan perjalanan.
Tidak sampai 10 minit memandu, tiba-tiba mereka tersentak apabila terdengar bunyi pelik dari belakang kenderaan. Mereka pasang telinga. Sah, kedengaran bunyi suara esak tangis yang cukup sayu dan mendayu.
Arif yang duduk di sebelah menjelingnya dengan perasaan tak keruan. Abang Hamid sekadar memberi isyarat supaya diam dan tidak bertanya sebarang soalan. Arif angguk perlahan-lahan sambil menguatkan bacaan ayat suci al-Quran di radio kenderaan.
Suara tangisan tersebut kedengaran tenggelam timbul. Sekejap jelas dan adakalanya sayup-sayup perlahan. Bunyinya cukup sayu dan mendayu. Mulut Abang Hamid berkumat-kamit membaca sesuatu. Dia pasti ada ‘benda’ lain yang bersama dengannya di dalam kenderaan ketika itu. Perlahan-lahan dia toleh ke belakang, namun serta-merta dia berpaling semula ke hadapan. Darahnya tersirap. Jantungnya serta berdegup kencang.
“Kau jangan sesekali toleh ke belakang, pesannya pada Arif perlahan.
Arif kaget. Dia mula berasa cuak, namun hatinya tetap memberontak ingin tahu sebabnya. Lantas perlahan-lahan dia palingkan muka ke belakang.
Arif tergamam. Tubuhnya menggigil dan mulutnya terkunci. Serta-merta wajahnya bertukar pucat. Dari penglihatannya jelas kelihatan satu sosok berpakaian putih sedang duduk menghadap keranda jenazah. Namun wajahnya tidak kelihatan kerana dilitupi rambut hitam yang panjang mengurai.
Walaupun lokasi yang ingin dituju hampir sampai, namun mereka berasakan perjalanan cukup panjang, apatah lagi suara esak tangis masih kedengaran sayup-sayup di belakang.
Debaran mereka seakan tamat apabila kenderaan yang dipandu akhirnya memasuki pekarangan rumah si mati. Mereka berdua bergegas turun dan menuju ke belakang untuk menurunkan jenazah. Serta-merta Arif berbisik ke arah Abang Hamid.
“Okey ke kalau kita buka ni bang? Takut pula kalau…,” ujarnya tanpa menghabiskan ayat seterusnya. Abang Hamid hanya diam. Dia sendiri tidak berani memberi sebarang jaminan. “Insya-Allah, mudah-mudahan tiada apa yang berlaku,” katanya perlahan.
Debaran mereka sedikit terubat apabila beberapa waris arwah datang membantu mereka. Namun kegusaran Arif menjadi kenyataan kerana sebaik sahaja dia membuka bonet belakang kenderaan, sosok berpakaian putih yang dilihatnya dalam perjalanan tadi masih berada di belakang. Dengan bingkas dia menutup kembali bonet tersebut.
“Eh, kenapa pula tutup? Tak apa, kami boleh tolong bawa naik ke atas,” kata salah seorang waris arwah. Arif tersenyum kelat cuba menyembunyikan gelisahnya. Dia melemparkan pandangan ke arah Abang Hamid di sebelahnya. Abang Hamid lantas menyuruhnya agar membuka semula bonet kenderaan itu.
Alhamdullillah, sebaik sahaja bonet dibuka beberapa waris arwah membantu mereka keluarkan keranda yang berisi jenazah. Arif dan Abang Hamid Tarik nafas lega. Mereka bersyukur kerana tiada apa kejadian yang tidak diingini berlaku ketika itu.
Setelah selesai urusan menghantar jenazah, mereka minta diri untuk bertolak pulang. Sebaik kenderaan yang mereka naiki keluar dari plaza tol menuju ke lebuh raya, tiba-tiba sekali lagi mereka berpandangan.
Dari arah belakang kenderaan sayup-sayup kedengaran bunyi tangisan. Tetapi kali ini bunyinya lebih kuat seakan meratapi sesuatu. Serta-merta jantung mereka berdegup kencang. Mereka nekad untuk tidak menoleh ke belakang. Mulut mereka berkumat-kamit membaca ayat suci al-Quran.
“Kita masuk ke pekan Ipoh, kita bermalam di mana-mana hotel dulu,” kata Abang Hamid kepada Arif. Pembantunya itu hanya mengangguk perlahan. Sesekali nampak tangannya mengelap peluh di dahi.
Rasanya dia juga tidak sanggup untuk berhadapan dengan situasi tersebut sepanjang perjalanan ke Kuala Lumpur nanti.
Bunyi tangisan itu semakin lama semakin hilang ketika kenderaan mereka memasuki pusat bandar Ipoh. Mereka akhirnya memberanikan diri toleh ke belakang. Nampak kosong dan tiada sesiapa di situ. Kedua mereka menarik nafas lega. Akhirnya mereka tiba di sebuah hotel di situ. Setelah mengunci kenderaan mereka berdua bergegas masuk untuk menempah bilik.
“Bukan aku tak berani nak teruskan perjalanan ke KL, tapi aku takut kalau timbul pula kejadian tidak diingini. Syaitan ini kalau dia nak kacau manusia memang macam itu. Selagi dia tak puas, selagi itulah dia kacau kita nanti. Jadi lebih baik kita stop dulu dan sambung perjalanan esok,” kata Abang Hamid panjang lebar.
Arif angguk tanpa bantahan. Dia juga setuju. Dia juga tidak sanggup berhadapan dengan kemungkinan yang tidak diduga sepanjang perjalanan nanti.
Ketika itu dia mula berfikir sama ada perlu atau tidak dia menemani Abang Hamid untuk menghantar jenazah pada waktu akan datang. Dia takut jika kejadian seperti ini berlaku sekali lagi. Tak sanggup rasanya dia nak hadapi, silap hari bulan boleh gugur jantung. – Mingguan Malaysia
Tangisan sayu iringi jenazah
- Oleh ROSHIHAN ANNUAR YUB
- 17 Oktober 2021, 4:30 pm
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
BERITA BERKAITAN
Dari mana datangnya mata air ini?
29 Oktober 2023, 4:43 pm
Esok pagi bolehlah kau datang ke rumah aku…
1 Oktober 2023, 5:19 pm
Siapa yang kayuh basikal itu?
17 September 2023, 4:51 pm