SEJURUS Menteri Kanan Pendidikan mengumumkan pelaksanaan persekolahan pada sidang akhbar beliau yang lalu, banyak komen dan pendapat yang diterima sebagai maklum balas. Seperti dijangkakan, terdapat maklum balas yang menyokong dan bersetuju, manakala tidak kurang memberi respons tidak bersetuju.
Secara dasarnya, orang ramai khususnya ibu bapa boleh sahaja untuk bersetuju atau tidak bersetuju dengan keputusan Kementerian Pendidikan (KPM) tersebut. Cuma perlu juga disebutkan di sini, keputusan yang diumumkan adalah selepas melibatkan penelitian daripada pelbagai siri perbincangan dengan pihak-pihak seperti pakar pendidikan, pakar kesihatan dan juga Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam memastikan pelan komprehensif pembukaan sekolah yang dibentuk dapat bertindak secara efisien, sistematik dan selamat kepada lebih daripada lima juta murid di seluruh negara kelak.
Malah, Malaysia juga mengikuti rapat perkembangan yang berlaku dalam kalangan negara jiran dan serantau. Hal ini bermaksud keputusan pembukaan semula sekolah diambil selepas meneliti pandangan banyak pihak bagi memastikan impak yang terbaik kepada sistem dan senario pendidikan di negara kita.
Pengumuman oleh KPM bahawa sekolah akan mula dibuka secara berperingkat mulai 3 Oktober nanti mengundang seribu satu reaksi dalam kalangan murid, ibu bapa dan guru. Ada yang berasa teruja, gembira, bersemangat, sedih, kecewa dan tidak kurang juga yang takut, berwaspada, dan ada yang masih kabur dengan keputusan yang diumumkan.
Justeru, semua pihak perlu peka dan membantu merealisasikan perancangan ini supaya dapat diterjemahkan sebaik mungkin. Sebagai seorang kaunselor dan bekas pendidik yang sebati dengan dunia pendidikan, saya terpanggil untuk mengutarakan beberapa perkara menarik sebagai fokus perbincangan bersama kali ini.
Pertama: Sekolah akan dibuka secara berperingkat mengikut fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Pada hemat saya, keputusan yang diambil ini adalah sesuai dalam konteks apa yang berlaku sekarang di negara kita. Meskipun banyak gesaan daripada pelbagai pihak sama ada untuk membuka atau menutup sekolah dengan alasan tertentu, namun saya berpandangan adalah lebih wajar mengambil keputusan berdasarkan pandangan pakar-pakar yang terlibat dalam konteks pandemik itu sendiri seperti Kementerian Kesihatan (KKM), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan pakar-pakar dalam bidang pendidikan.
Pastinya keutamaan adalah pada aspek keselamatan murid dan warga sekolah terlebih dahulu sebelum memutuskan sesuatu ketetapan. Fasa PPN diperkenalkan mengikut fasa-fasa tertentu berasaskan indikator capaian vaksinasi dan juga kes-kes harian yang dilaporkan di sesuatu lokaliti.
Hal ini juga boleh menjadi asas kepada petunjuk keselamatan murid dan warga sekolah yang terlibat di sesuatu kawasan. Justeru, apabila diumumkan sekolah akan dibuka mengikut fasa PPPN, maka ia adalah satu tindakan yang tepat dan mempunyai asas pertimbangan yang kukuh.
Pembukaan sekolah mengikut acuan PPN boleh dianggap sebagai sesuatu yang selaras dengan pembukaan sektor-sektor lain yang tidak kurang pentingnya kepada masyarakat dan negara. Malah, pembukaan sekolah di sesuatu lokaliti akan hanya dilaksanakan selepas dua minggu pengumuman peralihan fasa juga dilihat sebagai satu bentuk kemudahan dan keprihatinan KPM terhadap persediaan yang perlu dilakukan oleh pihak sekolah, guru, ibu bapa dan murid sendiri.
Cuma barangkali pihak KPM dapat memendekkan tempoh tersebut kepada kurang daripada dua minggu yang pada hemat saya lebih praktikal atas justifikasi kita telah pun berpengalaman sebelum ini dengan penutupan dan pembukaan semula sekolah. Justeru, kita sebenarnya berkeupayaan untuk bersedia dengan lebih pantas seiring dengan peralihan fasa dalam PPN.
Kedua: Persediaan ibu bapa dan murid menjelang pembukaan semula sekolah
Berikutan situasi semasa kes-kes jangkitan harian Covid-19 yang mencatatkan kes harian baharu dengan lima angka semenjak pertengahan Julai lalu, semestinya hal ini mencetuskan kebimbangan ibu bapa dan murid menjelang keputusan pembukaan sekolah yang bermula pada 3 Oktober ini. Malah, apa yang lebih membimbangkan adalah apabila Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah pada sidang akhbar 20 September lalu telah melaporkan berlakunya peningkatan trend jangkitan Covid-19 dalam kalangan kanak-kanak dalam tempoh pembukaan sekolah yang hanya berbaki beberapa hari lagi.
Sehubungan itu, KPM dengan hasil perbincangan bersama KKM dan MKN telah membentuk pelan komprehensif agar konteks pengoperasian sekolah ke atas murid dan guru di sekolah berada pada tahap yang selamat apabila sekolah dibuka kelak. KPM telah menyediakan panduan dan menjelaskan beberapa kemudahan kepada ibu bapa dan murid dalam memudahkan persiapan mereka kembali ke sekolah.
Antaranya adalah menjelang pembukaan sekolah nanti, ibu bapa diminta untuk memastikan anak-anak yang kembali ke sekolah berada dalam keadaan sihat sepenuhnya dan tidak mempunyai sebarang gejala yang tidak sihat seperti batuk, selsema demam dan sebagainya. Hal ini bagi meminimumkan risiko penularan pandemik dalam kalangan warga sekolah sekiranya terdapat kes murid yang positif Covid-19. Selain itu, KPM juga mewajibkan pemakaian pelitup muka sepanjang berada dalam kawasan sekolah dan pemakaian pelitup muka berganda adalah digalakkan bagi memastikan murid sentiasa berada dalam lingkungan yang selamat.
Murid juga dibenarkan memakai pakaian harian yang kemas, selesa dan bersih sekiranya pakaian seragam sekolah mereka tidak lagi sesuai dan selesa untuk digunakan. Pastinya ini meringankan beban ibu bapa dan keluarga yang tidak mampu menyediakan pakaian seragam sekolah baharu untuk anak-anak mereka.
Malah, mungkin juga murid-murid lebih teruja kembali ke sekolah dengan normal baharu ini. Bak kata Menteri Kanan Pendidikan, keutamaan pada masa ini adalah untuk memberikan semangat kepada murid-murid untuk kembali semula ke sekolah meskipun dalam keadaan persediaan yang sederhana. Secara tersirat seolah-olah kita memberitahu apa sahaja isu boleh dibincangkan asalkan murid bersedia untuk kembali semula ke sekolah. Itu yang lebih utama.
Dalam konteks persediaan ibu bapa menghantar anak ke sekolah juga, saya melihat ibu bapa memainkan peranan yang sangat penting dalam memberi kefahaman yang jelas mengenai sistem penggiliran kepada anak-anak mereka. Hal ini supaya anak-anak lebih bersedia dari segi minda dan emosi tentang kehadiran mereka ke sekolah secara penggiliran.
Anak-anak yang bersedia dari segi minda akan lebih bersedia untuk menerima pembelajaran daripada guru-guru mereka. Ibu bapa juga berperanan memastikan komunikasi yang jelas bersama anak-anak dan pihak sekolah dalam menentukan kaedah penggiliran bagi memudahkan penghantaran anak-anak mereka ke sekolah.
Hal ini dijelaskan oleh Menteri Kanan Pendidikan yang mendapati ada ibu bapa yang mempunyai lebih daripada seorang anak dalam satu sekolah, yang mana ia akan memberi masalah kepada ibu bapa dalam menghantar setiap anak mereka sekiranya sistem penggiliran bagi anak-anak adalah berbeza. Justeru, ibu bapa boleh mengadakan perbincangan dengan guru dalam menentukan sistem penggiliran anak-anak mereka agar lebih sesuai dan selamat.
Bagaimanapun, bagi ibu bapa yang masih dilema atau bimbang dengan situasi Covid-19 dan pembukaan semula sekolah, mereka mempunyai hak untuk tidak menghantar anak ke sekolah dengan jaminan bahawa KPM tidak akan mengenakan hukuman atau tindakan disiplin, tetapi ketidakhadiran murid tersebut perlu dimaklumkan kepada pihak sekolah untuk tujuan rekod. Ibu bapa juga perlu peka terhadap emosi sebenar anak-anak mereka untuk kembali ke sekolah.
Sebarang emosi yang negatif perlu ditangani dengan bijak dan pantas. Ibu bapa mempunyai keupayaan untuk memujuk, dan menasihati anak-anak yang mungkin tidak bersedia atau enggan kembali ke sekolah. Tuntasnya, ibu bapa bertanggungjawab dalam memastikan keperluan anak-anak mereka tersedia dari segi minda, fizikal dan emosi agar pembukaan semula sekolah memberi makna yang istimewa kepada anak-anak ini.
Ketiga: Status kesihatan minda dan emosi murid sepanjang pandemik
Pandemik yang melanda dunia sudah hampir memasuki dua tahun ini telah menjadikan berlakunya transisi pembelajaran dalam bentuk norma baharu yang mana Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) telah menjadi alternatif utama agar sistem pendidikan negara terus berjalan. Namun begitu, terdapat juga tinjauan di luar negara yang dilakukan oleh pakar pendidikan yang mendapati pembelajaran berterusan atas talian telah memberi kesan kepada murid terutamanya pada kesihatan mental seperti kegelisahan yang melampau.
Selain itu, pakar psikologi pendidikan dan pendidikan awal kanak-kanak berpendapat, PdPR pada tempoh masa yang lama dikhuatiri boleh menjejaskan proses perkembangan terutamanya bagi kanak-kanak dalam konteks sosial atau pergaulan. Tempoh pandemik juga kita dapat melihat adanya murid-murid yang kehilangan ibu bapa dan penjaga akibat wabak Covid-19 yang melanda secara langsung memberi impak besar dalam proses tumbesaran mereka.
Kemurungan, kesedihan, kekecewaan, dan stress boleh berlaku dalam kalangan murid berikutan situasi pandemik ini dilihat tidak berkesudahan. Sehubungan itu, pelan pembukaan pengoperasian sekolah ini harus mengambil kira keperluan kesihatan minda dan emosi murid sepanjang pandemik agar persekitaran sekolah yang dibuka kelak dapat membentuk suatu gelembung yang selamat kepada murid ketika melalui proses pembelajaran di sekolah.
Secara dasarnya, KPM telah mengeluarkan garis panduan pengurusan dan pengoperasian sekolah dalam norma baharu 2.0 bagi pembukaan April lalu. Pelaksanaan Saringan Minda Sihat meminta semua guru bimbingan dan kaunseling melakukan saringan secara berkala ke atas murid yang memasuki sekolah agar profil murid yang dikenal pasti dapat diberikan intervensi yang sepatutnya bagi menyokong perkembangan emosi dan kemahiran daya tindak murid secara berterusan.
Selain itu, KPM turut menggariskan panduan dalam konteks konsultasi bersama-sama ibu bapa dan penjaga agar mereka bersama-sama dapat membantu perkembangan emosi murid sepanjang tempoh di rumah. Penilaian klinikal serta fasiliti kesihatan berkenaan intervensi segera juga ditetapkan bagi kes krisis murid yang serius seperti mencederakan diri, membahayakan diri atau melibatkan penderaan.
Bagaimanapun, persoalannya sejauh mana pelaksanaan Saringan Minda Sihat dapat dilakukan secara menyeluruh, tepat dan mendapat respons yang baik daripada murid semata-mata? Saya melihat isu kesihatan minda dan emosi ini perlu melibatkan kerjasama ibu bapa dan keluarga selain daripada murid itu sendiri.
Isu kesihatan mental dan emosi dalam kalangan kanak-kanak dan remaja bukanlah satu isu baharu, malah dijangka akan mencetuskan isu-isu ketingkahlakuan yang baharu sekiranya tidak ditangani dengan baik dan berkesan. Satu pelan bersepadu antara semua pihak perlu digerakkan menerusi pembentukan program secara berfokus dalam pelan pembukaan sekolah untuk mengembalikan semangat, keseronokan dan motivasi murid setelah sekian lama berada di rumah, yang turut dibantu dengan penyertaan ibu bapa dan guru secara kolektif.
Keempat: Sekolah sebagai agen pendidikan gaya hidup norma baharu
Dalam konteks ini, institusi pendidikan seperti sekolah memainkan peranan sebagai agen untuk mendidik murid sama ada dari peringkat sekolah rendah (kanak-kanak) dan sekolah menengah (remaja) berkenaan dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ketika berada di tempat-tempat awam. Pembukaan sekolah pada tempoh ini bukan sahaja berfokus untuk menyelesaikan sukatan pelajaran yang telah banyak tertinggal semata-mata, tetapi peluang ini perlu dimanfaatkan menerusi pendedahan, penjelasan dan pemahaman murid terhadap pendidikan serta gaya hidup norma baharu menerusi pematuhan SOP dengan lebih praktikal.
Hal ini secara tidak langsung murid-murid sekolah akan mula beradaptasi dengan keadaan norma pembelajaran baharu yang mana kapasiti kehadiran murid di sekolah pada kadar 50 peratus sahaja dengan melatih penjarakan fizikal untuk dipraktikkan di luar rumah dan tempat-tempat awam. Penetapan SOP yang komprehensif dalam sekolah seperti pengambilan suhu, seliaan waktu rehat (makan), pemakaian pelitup muka, pengurusan prasana, pengudaraan dalam bilik yang tertutup dan lain-lain lagi ini akan menjadikan sekolah sebagai tempat untuk menyemai dan mempelajari perkara-perkara baharu dalam kehidupan murid.
Selain itu, saya melihat peranan sekolah dapat digunakan dalam pendedahan maklumat serta keperluan pengurusan wabak seperti pemberian vaksinasi di sekolah. Di sekolah, murid-murid boleh bertanya atau bersoal jawab dengan guru mahupun pihak KKM yang dijemput pihak sekolah tentang pengurusan wabak.
Program pemberian vaksin dalam kalangan murid sekolah telah pun digiatkan dalam usaha memastikan tiada murid yang tercicir dan dapat menjalani kehidupan norma baharu yang selamat. Di samping itu, murid-murid di kawasan luar bandar atau pedalaman terus dibantu oleh pelbagai pihak memandangkan akses kesihatan mereka cukup terhad.
KPM akan membantu dari segi pengurusan logistik menerusi proses pendaftaran vaksinasi murid di sekolah yang sekurang-kurangnya 60 peratus kanak-kanak dan remaja 12 hingga 17 tahun mendapat satu dos vaksin menjelang November tahun ini, dengan 80 peratus daripadanya mendapat dos lengkap sebelum sekolah dibuka pada sesi 2022 kelak.
Program Kick Off PICK Remaja yang dimulakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 8 (1) adalah usaha KPM menerusi pihak sekolah menyebarkan kepentingan dan penyediaan vaksinasi dalam kalangan pelajar, sekali gus memberi kesedaran kepada mereka dalam kehidupan masyarakat berkelompok yang selamat. Hal ini bagi memastikan agenda sekolah selamat akan terus berperanan sebagai tempat yang selamat untuk semua murid.
Pelaksanaan pematuhan SOP bermula awal waktu kehadiran murid ke sekolah sehinggalah tamat sekolah akan mendidik murid untuk mematuhi peraturan yang ditetapkan dan menjadi pembelajaran untuk mereka bersosialisasi dalam norma baharu.
Kelima: Kembali semula ke sekolah bersama PdPR
Persediaan kembali ke sekolah yang diumumkan KPM menerusi pendekatan penggiliran serta PdPR adalah suatu usaha dalam menaikkan kembali semangat pelajar kepada sesi persekolahan secara bersemuka. Setelah sekian lama pendidikan sekolah dilaksanakan secara PdPR, rasional sistem penggiliran dilaksanakan adalah bagi memastikan kehadiran 50 peratus pelajar ke sekolah akan dapat mengelakkan isu kesesakan di luar kawasan sekolah sebagaimana yang berlaku pada pembukaan sekolah yang lalu.
Jadi, KPM telah mengambil kira pelbagai faktor yang mana guru juga akan lebih mudah untuk mengawal murid menerusi sistem penggiliran bersama PdPR yang dijalankan selain dapat mewujudkan persekitaran pembelajaran yang selamat dan kondusif. Dalam erti kata lain, KPM telah menerapkan pembelajaran secara hibrid yang mana pembelajaran secara dalam talian dan bersemuka diteruskan dan dilihat sebagai suatu mekanisme terbaik kepada murid pada ketika ini.
Kelebihan pembelajaran seperti ini akan menjadikan murid lebih menguasai kedua-dua corak pembelajaran sekali gus dapat membudayakan kaedah ini sebagai suatu pendekatan norma baharu dalam bidang pendidikan negara. Selain itu, pembelajaran secara hybrid dapat menangani isu PdPR yang pelbagai ragam baik daripada pihak guru, murid mahupun ibu bapa.
Dengan pembukaan sekolah secara berfasa ini akan membantu menangani masalah kehilangan fokus, motivasi dalam kalangan murid serta kekhuatiran terhadap prestasi sebenar mereka. Jadi, saya menyarankan agar KPM dapat membina suatu model pembelajaran hibrid yang lebih fleksibel dari semasa ke semasa agar aspirasi pendidikan negara bukan sahaja dapat direalisasikan dengan baik bahkan agenda ini dapat mencakupi keseluruhan latar belakang murid di pelbagai lokaliti dan tahap ekonomi mereka.
Kombinasi antara pengajaran bersemuka dan pembelajaran dalam talian bakal memberi implikasi tersendiri kepada murid dan guru. Dari sudut pandang yang positif kita melihat murid dan guru akan lebih berkemahiran melalui pengalaman yang sedia ada dengan normal pembelajaran yang baharu dan terkini.
Pembelajaran secara hibrid adalah sesuatu yang diperlukan pada masa hadapan oleh generasi baharu selari dengan ledakan teknologi yang lebih canggih dan terkini. Justeru, asas kepada pembelajaran hybrid ini sudah pun dimulakan sekarang bakal menjadikan generasi anak Malaysia kita seterusnya dapat bersaing dan menguasai konsep Pembelajaran Abad Ke 21 (PAK 21) dengan lebih efisien.
Sebagai meraikan pembukaan semula sekolah yang bermula pada 3 Oktober nanti, pastinya akan lebih bermakna sekiranya sekolah dapat menyediakan suatu program khas kembali ke sekolah seperti minggu penyesuaian semula murid (reorientation) meskipun secara ringkas. Apa yang penting adalah reorientation ini bertujuan menyediakan minda dan emosi pelajar dengan lebih berfokus untuk memulakan pembelajaran secara bersemuka.
Unit Bimbingan dan Kaunseling sekolah bersama guru kelas boleh melaksanakan reorientation ini dengan cara yang ringkas, sesuai tetapi penuh bermakna kepada murid. Hal ini adalah bertujuan memberikan semangat baharu kepada murid, di samping sebagai inisiatif untuk mengukuhkan persediaan murid dari sudut minda, emosi dan fizikal setelah lama berada di rumah.
Tuntasnya, pembukaan semula sekolah nanti adalah juga merupakan langkah awal untuk kita bersama-sama beralih ke fasa endemik yang perlu ditempuhi secara bersama dalam norma baharu kehidupan. Secara realiti, mahu tidak mahu kita perlu beradaptasi dengan persekitaran pandemik ini yang tidak mungkin dapat melenyapkan kes jangkitan pada ketika ini.
Kini segalanya bertitik tolak kepada kita sebagai warga masyarakat dalam terus patuh kepada SOP yang ditetapkan agar setidaknya-tidaknya penularan jangkitan dalam kalangan masyarakat dapat dikawal dan kehidupan dapat diteruskan. Selamat kembali semula ke sekolah bersama PdPR kepada murid dan guru.
DATUK Seri Ahmad Razif Abd. Rahman ialah bekas Menteri Besar Terengganu.