Kenapa kau tak datang rumah aku? - Utusan Malaysia

Kenapa kau tak datang rumah aku?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Ada sebuah kisah seram yang diceriitakan oleh seorang sahabat saya. Katanya, sekadar ingin berkongsi pengalaman dengan pembaca. Cerita ini memang seperti tidak masuk akal, tetapi itulah kenyataannya. Terpulanglah kepada pembaca untuk menilai, sama ada percaya atau tidak. Begini ceritanya…
Yusri, rakan sebaya yang rapat dengan saya di kampung. Kami banyak menghabiskan masa bersama terutamanya ketika di sekolah, dan di waktu petang pula jika ada kelapangan kami bermain bola sepak di padang berhampiran.
Rumah kami juga berdekatan. Seringkali juga Yusri datang mengulang kaji pelajaran dan tidur di rumah saya. Keluarga kami juga saling mengenali. Begitulah akrabnya kami.
Kisah yang ingin saya ceritakan ini berlaku kira-kira lapan tahun lalu. Kisah aneh dan seram yang menimpa Yusri…
Waktu itu jam sudah menunjukkan pukul 11.45 malam. Yusri berehat di ruang tamu sambil menonton televisyen. Kebetulan malam itu hanya dia seorang diri berada di rumah kerana ayah, ibu serta dua orang adiknya pergi menghadiri majlis kenduri tahlil di rumah datuk saudaranya di kampung sebelah.
Sedang dia khusyuk menonton, tiba-tiba terdengar pintu rumahnya diketuk bertalu-talu. Yusri tergamam. Fikirnya siapa pula yang datang di tengah malam, lantas dia bergegas bangun dan membuka pintu. Namun sebaik daun pintu dibuka tiada sesiapa di luar. Puas ditoleh ke kiri kanan, tidak pula nampak kelibat sesiapa.
“Siapa pulalah yang main ketuk pintu ini. Mentang-mentanglah aku tinggal seorang saja nak takutkan akulah tu,” ngomelnya perlahan.
Yusri kembali ke ruang tamu dan sambung menonton TV. Namun tidak sampai beberapa saat dia duduk bunyi ketukan kembali kedengaran.
‘Tuk.. tuk.. tuk.. tuk.. tuk..
Sekali lagi Yusri bingkas bangun dan menuju ke pintu. Namun sebaik pintu dibuka dia garu kepala hairan kerana tiada sesiapa di situ. Yusri rasa menyinga. Terasa dirinya dipermainkan. Lantas dia bertempik marah.
“Woiii, jangan main-mainlah! Kalau berani keluarlah! Samdol betul,” pekiknya marah.
Belum pun sempat Yusri menutup semula pintu, tiba-tiba… “Aku ni,” kedengaran suara garau mengejutkannya.
Yusri pandang keliling, Tiba-tiba bola matanya tertumpu ke arah lelaki tua yang berdiri berhampiran pohon bunga raya di tepi rumahnya.
“Siapa tu?” tanya Yusri kembali.
“Aku ini… Tok Wan kau… takkan kau dah tak kenal,” sahut lelaki tersebut sambil menundukkan wajahnya.
Yusri tergamam. Serta-merta tubuhnya menggeletar.
“Kenapa kau tak datang ke rumah aku? Kau sibuk sangat ke?” tanya lelaki yang menggelarkan dirinya Tok Wan itu. Yusri kelu. Manik-manik peluh mula membasahi tubuhnya. Dari sinar cahaya lampu celah dinding rumahnya, dia dapat melihat jelas keadaan lelaki tua itu.
Pakaiannya lusuh dan tidak terurus, Banyak kesan kotoran tanah yang berlumut di baju dipakainya. Kain dipakainya juga amat kotor sehingga tidak nampak langsung coraknya.
Wajahnya pula walau tidak jelas kelihatan namun nampak seperti tompok-tompok hitam memenuhi segenap ruang mukanya. Tak ubah seperti kesan rentung terbakar.
“Aku tanya kau, kenapa kau tak datang ke rumah aku?” tanya lelaki tua itu lagi. Kali ini suaranya bertukar sedikit garau.
Mulut Yusri seakan terkunci. Dia hanya memandang lelaki tersebut tanpa sepatah kata.
“Aku nak balik ke rumah tapi ramai sangat orang, sebab itulah aku singgah sekejap ke sini,” sambungnya lagi.
Tiba-tiba lelaki tua itu berpaling dan menoleh ke arahnya. Yusri tergamam.
Lelaki yang menggelarkan dirinya Tok Wan itu memandang tepat ke arahnya. Jelas kelihatan matanya merah menyala seakan bara api. Pipinya pula dipenuhi tompok-tompok hitam bernanah seperti kudis . Rambut dan janggut putihnya pula kelihatan hitam seperti terbakar. Wajahnya memang cukup menakutkan.
Yusri terjelepok pengsan di muka pintu. Sebaik sedar dilihatnya ayah, ibu serta adik-adiknya sudah berada di sebelahnya. Dia bingkas bangun memandang sekeliling.
“Kau kenapa Yus? Tiba-tiba pula pengsan di depan pintu rumah ini. Kami ingatkan ada pencuri masuk,” tanya ayahnya kehairanan. Ibu serta adik-adiknya memandang dengan penuh tanda tanya.
“Err…tak ada apa-apa ayah. Cuma tadi… tadi… err…err…” jawabnya tergagap-gagap.
“Cuma apa? Cuba kau cakap bagi terang. Senang kami nak faham,” kata ayahnya, tidak sabar menunggu jawapan.
Yusri telan air liur. Dia tidak tahu bagaimana ingin memulakan cerita. Perlahan-lahan dia tarik nafas.
“Tadi Tok Wan datang. Dia tanya kenapa tak pergi ke rumah dia,” kata Yusri dengan wajah pucat. Ayah dan ibunya berpandangan.
“Kau biar betul Yus. Jangan cakap bukan-bukan,” sambung ayahnya dengan mata terbeliak.
Yusri hela nafas panjang dan angguk perlahan. Dia lantas menceritakan apa yang terjadi. Mereka mendengar dengan mulut terlopong.
“Mungkin syaitan nak mengganggu kita agaknya. Kau pergi mandi dulu selepas itu solat. Insya-Allah, tak ada apa-apa berlaku nanti,” kata ayahnya cuba menenangkan keadaan.
Walaupun ayahnya cuba meredakan perasaan takut mereka ketika itu, namun dia percaya Yusri tidak berbohong atau mereka-reka cerita. Melihat keadaan Yusri sahaja sudah terbukti akan kebenarannya. Lagipun tiada untungnya jika Yusri menipu, malah dia sendiri baru tersedar daripada pengsan.
Namun yang menjadi persoalan, bagaimana perkara itu boleh berlaku sedangkan sosok lelaki yang mendakwa dirinya Tok Wan itu sudah meninggal dunia tiga hari lepas, malah mereka sekeluarga tadi pergi ke rumah arwah untuk bacaan tahlil dan doa selamat. Jadi siapa pula yang dilihat Yusri ketika itu?
Memang sebelum ini ayahnya ada mendengar cerita tentang arwah Tok Wan yang kononnya ada ‘membela’ sesuatu, tetapi mereka tidak percaya kerana ketika hayatnya arwah menjalani kehidupan normal seperti orang lain. Langsung tidak ada tanda-tanda pelik dan sebagainya.
Hampir seminggu lamanya Yusri demam kerana terkejut dengan kejadian itu. Melalui cerita ayahnya, keluarga Tok Wan akan adakan kenduri arwah dan bacaan tahlil serta doa selamat sekali lagi pada malam ketujuh nanti.
Kali ini Yusri nekad untuk pergi. Dia takut kalau-kalau Tok Wan akan datang sekali lagi ke rumahnya dan bertanya kenapa dia tidak pergi majlis tahlil itu. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya