PADA saya, rancangan bual bicara (talk show) tak payahlah merapu meraban. Kalau hendak sembang hal-hal yang orang lelaki paling suka iaitu pasal perempuan, pergilah berborak di restoran mamak atau semasa memancing. Tak payah bincang sampai ke dalam rancangan televisyen pula. Satu Malaysia tengok.
Orang lelaki ini (bukan semua), kalau sudah berborak pasal perempuan dan hal-hal lucah, dia mudah terbabas dan hilang kawalan minda. Macam kereta juga. Bila dah laju susah nak tekan brek. Dijadikan pula isu perbincangan dalam program televisyen, memang susah lah nak kawal. Terlampau suka dan seronok bercakap bab-bab seperti ini, sampai lupa ramai yang memerhati.
Bukan apa, yang menonton itu, bukan sahaja peringkat dewasa, pak cik dan mak cik, ia turut ditonton oleh remaja dan kanak-kanak. Tak akan itu pun tak tahu.
Itu pendapat sayalah. Pendapat orang yang tak pernah mengendalikan talk show. Tapi kalau diberikan tugas ini pun, isu rogol, cabul, gangguan seksual dan seangkatannya, diharamkan untuk dijadikan bahan jenaka. Memang sampai bila-bila pun tak nampak kelakarnya.
Baguslah pihak yang terlibat sudah minta maaf, cepat sedar. Mengakui kekhilafan. Harap ini menjadi pengajaran. Jangan dijadikan jenaka hal-hal yang menjatuhkan maruah wanita.
Kita pun boleh tengok, kalau ada berita pasal rogol atau budak sekolah mengadu cikgunya suka lawak lucah, kes gangguan seksual dan sebagainya, yang kena kecam teruk mangsa rogol, gangguan seksual dan budak yang mengadu itulah.
Disalahkan tak pandai jaga diri dan tak reti nak bergurau. Sampai bila mahu berfikiran begini? Sudahnya mangsa rogol dan gangguan seksual diamkan sajalah perbuatan itu dan seorang pun tidak tahu sengsara dan takutnya dia. Macam itukah?
Kadang-kadang program lawak pun mesti nak kena selit unsur lucah dan double meaning. Nak suruh orang ramai ketawa. Tak ada idea, mulalah melucah.
Penerbit program talk show sepatutnya jaga sensitiviti. Dialog-dialog fantasi rogol dan lucah ini sepatutnya dipotong sebelum disiarkan. Jangan main cincai saja. Adakah ia terlalu penting sampai kita semua hendak kena dengar?
Sebenarnya, adegan rogol dan cabul tak perlu pun ada dalam drama atau filem. Jangan pula pengarah kata nak babak itu nampak lebih real. Motif? Nak ajar orang merogol atau menghayati watak perogol? Otak yang kuning, jangan dibawa sampai ke layar perak. Simpan sendiri sudah.
Rogol adalah jenayah serius. Mangsa, wanita atau kanak-kanak menjadi trauma seumur hidup dan ada yang mengakhiri penderitaan mental itu dengan bunuh diri. Ia satu tragedi dalam hidup. Sebab itu, tidak fahamlah, ada yang boleh menjadikan rogol sebagai lawak untuk menarik ramai orang tertawa. Adakah mahu menormalkan rogol?
Pagi Jumaat lalu, saya berbual dengan seorang kawan. Fatihah Jamhari. Dia seorang peguam. Katanya, nasib baiklah Raja Farah dan suaminya tidak memanjangkan perkara itu untuk tindakan undang-undang.
“Kalau tidak, bayangkan berapa ramai kena `angkut’ kerana tayangkan program itu. Kalau ikut undang-undang, hal kecil pasang lagu lucah pun boleh jadi kes jenayah (Seksyen 294 Kanun Keseksaan), inikan pula sebut nikmat merogol di TV, ini dah tahap kelucahan melampau (Seksyen 377 Kanun Keseksaan),” katanya yang juga Ketua Biro Undang-undang dan Hak Asasi WAFIQ.
Tambahnya, kalau ikutkan sembang di kedai mamak pun tak boleh mengenai perkara itu, inikan pula dalam rancangan televisyen yang telah dirakamkan dan disaksikan oleh ramai orang.
Dalam pada itu, Fatihah memberitahu, beliau telah mengendalikan banyak kes cerai yang berpunca suami lebih suka menonton video atau filem lucah dan tidak minat dengan isteri sendiri.
“Ini merosakkan minda kerana suami dah tidak berahi dengan isteri dan berfantasi bukan-bukan. Akhirnya rumah tangga musnah,’’ katanya.
Terkejut juga saya mendengar pendedahan ini. Itulah kalau dah otak dan mulut asyik fikir dan bercakap hal lucah, ia dianggap sesuatu yang normal. Orang yang tak pernah dan tak suka bercakap lucah pula dianggap pelik dan tak normal.
Dan patutnya lelakilah melindungi wanita. Bukan bercakap hal bukan-bukan pasal wanita. Isteri, emak, kakak dan adik sendiri, pun wanita. Kalau keluarga sendiri terkena, boleh lagi ketawa dan anggap jenaka, lelaki macam ini, baik terjun gaung sajalah.
PENULIS ialah Pengarang Berita Mingguan Malaysia