SEKOLAH daif mendapat perhatian utama ketika sesi pembentangan dan penggulungan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) di Parlimen minggu lalu. Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mengumumkan di bawah RMK-12, kerajaan akan menaiktaraf sebanyak 148 sekolah daif di seluruh negara yang akan menelan belanja sebanyak RM1.6 bilion.
Peruntukan ini sebenarnya jauh lebih kecil berbanding di dalam RMK-11 yang menyediakan RM3.06 bilion untuk menaiktaraf dan pembangunan semula 773 sekolah daif di seluruh negara.
Menariknya di saat penekanan RMK-12 adalah untuk memajukan sistem pendidikan dengan agenda digitalisasi pendidikan, realitinya para ahli Parlimen lebih berminat untuk membahaskan isu sekolah daif di dalam soalan-soalan mereka untuk dijawab oleh Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin.
Ketika sesi penggulungan pendidikan itu sebanyak 37 soalan oleh ahli parlimen telah diajukan kepada beliau dan kebanyakannya menjuruskan kepada isu sekolah daif.
Kementerian Pendidikan (KPM) telah mempunyai garis panduan yang mengkategorikan sekolah daif kepada tujuh kelompok berdasar skor kedaifan sekolah. Kategori satu hingga empat dimaksudkan sebagai sekolah daif yang masih selamat dan boleh digunakan untuk sesi persekolahan seperti biasa.
Maksudnya, walaupun bangunan sekolah atau kemudahan infra telah usang dan tidak terkini, tiada perancangan penambahbaikan akan dilakukan buat masa terdekat. Kategori kedua adalah sekolah daif di dalam kategori skor lima iaitu sekolah yang disahkan oleh pihak sekolah telah mempunyai beberapa kerosakan pada bangunan atau perabot.
Pada kebiasaannya sekolah daif kategori lima akan menggunakan peruntukan tahunan mengurus sekolah untuk kerja pembaikan dan digantikan. Kategori ketiga adalah sekolah dalam kelompok skor 6 iaitu sekolah daif yang disahkan oleh pihak Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) mempunyai tahap kedaifan yang lebih serius pada bangunan sekolah.
Sementara itu, kelompok pada skor tujuh dikategorikan sebagai sekolah yang mempunyai tahap kedaifan maksimum dan tidak selamat berdasarkan pengesahan oleh Jabatan Kerja Raya dan perlu dilakukan pembaikan dan penggantian bangunan dengan segera.
Berdasarkan data sekolah daif di portal rasmi KPM bertajuk Status Pelaksanaan Projek Pembangunan Semula Sekolah-Sekolah Daif di Sabah, Sarawak, Labuan dan Semenanjung Malaysia 2016-2018 yang dikemaskini pada 31 Julai 2019, KPM melaporkan antara 2016 hingga 2018 terdapat 534 sekolah daif di negara ini.
Dilaporkan daripada 534 sekolah daif ini yang disahkan memerlukan kerja pembaikan, 438 telah pun menerima Certificate of Practical Compliance (CPC) dan Certificate of Partial Occupation (CPO) manakala 94 lagi sekolah daif masih dalam pelaksanaan kerja pembaikan.
Persoalan yang sering dikemukakan oleh rakyat berapa sebenarnya jumlah sekolah daif kategori satu hingga tujuh? Adakah jumlahnya sekolah daif di Malaysia sangat besar sehingga boleh mengganggu peluang pembelajaran kepada murid-murid yang terlibat?
Kementerian Pendidikan sepatutnya membentangkan data terkini jumlah sekolah daif keseluruhan (kategori satu hingga tujuh) untuk diketahui oleh masyarakat khususnya dalam kalangan ibu bapa. Sebagai ibu bapa, mereka tentunya ingin mengetahui adakah sekolah anak-anak mereka juga dikategorikan sebagai sekolah daif oleh KPM?
Isu sekolah daif adalah isu besar pendidikan negara. Sekolah daif menafikan peluang pendidikan yang saksama kepada murid-murid. Akibat keadaan sekolah daif yang serba kekurangan dan tidak mencapai tahap yang baik, aktiviti pembelajaran pastinya tidak kondusif dan ini akan mempengaruhi prestasi pencapaian pendidikan murid-murid yang terlibat khususnya murid-murid di sekolah daif luar bandar dan pedalaman.
KPM sepatutnya mempunyai program khas untuk menyelesaikan isu sekolah daif di negara ini. Agenda ini mestilah mempunyai garis masa perancangan yang jelas dan diketahui oleh masyarakat sepenuhnya.
Sesuai dengan itu, amalan pelaporan dashboard pembangunan sekolah daif yang telah dimulakan oleh Dr. Maszlee Malik, bekas Menteri Pendidikan perlu diteruskan dan ditambah baik agar usaha penyelesaian pembangunan sekolah daif dapat disegerakan.
Di saat sistem pendidikan negara sedang bergerak ke era pendidikan 4iR dengan pemerkasaan pendigitalan pendidikan, isu sekolah daif tidak boleh dibiarkan berterusan. Malah mestilah diselesaikan segera. Prinsip ‘Pendidikan untuk semua’ sepatutnya menjadi teras agenda untuk menyelesaikan isu sekolah daif di negara ini.
DR. ANUAR AHMAD
Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia.