Dah senang, bertambah senang - Utusan Malaysia

Dah senang, bertambah senang

RAMAI responden mengatakan akan memohon pengeluaran KWSP jika dibenarkan kerajaan. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“DAH dapat RM700 tu, bukalah semua kaunter, jangan satu kaunter saja buka.
“Duduk rumah masa PKP, tak kena buang kerja, gaji jalan dan tak kena potong pun dapat RM700. Pekerja swasta, kena potong gaji nak keluar duit sendiri (KWSP) pun susah.”
Itu saya petik kata-kata seorang netizen dalam media sosial yang mengulas berita tentang Bantuan Khas Kewangan kepada 1.3 juta penjawat awam Gred 56 dan ke bawah sebanyak RM700 dalam pembentangan Bajet 2022 kelmarin. Bantuan khas itu adalah sebagai menghargai jasa dan pengorbanan penjawat awam dalam menggalas tanggungjawab menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat terutamanya semasa negara mengharungi cabaran pandemik Covid-19.
Sebenarnya setiap tahun apabila bajet dibentangkan ada saja yang pertikai penjawat awam dapat imbuhan. Iyalah, lebih-lebih lagi semasa pandemik ini, rasa tidak puas hati itu lagi membengkak.
Sebabnya ramai yang pendapatannya terjejas. Yang lebih teruk dibuang kerja. Pada tahap itu, di mana lagi tempat untuk mengadu kalau tidak mengharapkan bantuan dan duit simpanan sendiri. Yang berpendapatan kecil dan sederhana tentu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) saja tabung simpanan mereka. Dan ramai yang ternanti-nanti adanya pengumuman mengenai pengeluaran RM10,000 wang KWSP secara one off kelmarin. Tapi tunggu punya tunggu penjawat awam juga yang mendapat berita baik.
Iyalah, hendak keluar duit simpanan sendiri pun payah.
Tentunya, kerajaan risaukan dalam usia tua ramai yang tiada simpanan lagi. Pada saya, itu wang mereka. Tak perlu risau sangatlah apa yang mereka buat dengan wang mereka.
Pada masa sama, tak perlu juga pertikai dan kata penjawat awam diutamakan dalam setiap bajet tahunan.
Sudah tentulah penjawat awam dapat berita gembira sebab kerajaan adalah majikan mereka. Mereka pasti dapat imbuhan setiap tahun, cuma berdebar-debar menunggu jumlahnya kecil atau besar, itu saja. Macam pekerja swasta jugalah. Bergantung kepada majikan mereka, hendak beri bonus atau tidak. Senang cerita mintalah pada majikan masing-masing.
Tetapi itulah, penjawat awam yang menjadi pekerja barisan hadapan (frontliners) seperti kakitangan Kementerian Kesihatan dan polis patut dapat lebih lagi. Begitu juga sukarelawan frontliners. Mereka inilah yang bekerja siang malam. Bukan saja berkorban masa dan tenaga tetapi berisiko besar dijangkiti Covid -19. Mereka ini bukan duduk selesa di rumah masa PKP seperti kakitangan awam lain. Sepatutnya, mereka diberikan imbuhan yang lebih bukan gantian cuti rehat (GCR) dinaikkan daripada maksimum 150 hari kepada 160 hari.
Cuma, bagi golongan yang betul-betul terjejas akibat pandemik, apa yang mereka dapat daripada bajet 2022? Apa yang dapat membantu mereka secara segera kalau tidak duit simpanan sendiri untuk bangkit semula? Peluang pekerjaan yang banyak sekarang pun datangnya melalui perkhidmatan e-hailing. Tak kan semua yang terjejas nak bawa Grabcar atau jadi penghantar makanan?
Dan bagaimana mekanisme kerajaan di bawah inisiatif Jamin Kerja yang dikatakan menjamin penyediaan 600,000 peluang pekerjaan ini benar-benar memberi mereka yang hilang pekerjaan ini bekerja dalam kadar segera. Peluang pekerjaan yang banyak itu dari mana? Adakah e-hailing lagi?
Pun begitu, ada betulnya cakap warganet pasal kaunter perkhidmatan. Ini memang cerita lama pun.
Ada jabatan kerajaan yang masih mengamalkan cara kerja menjengkelkan sejak zaman berzaman. Kaunter banyak tapi yang bukanya satu. Belum pukul 4 petang dah kalut nak tutup. Telefon jangan haraplah nak jawab. Baik tak payah ada telefon. Dan benda boleh selesai 10 minit, ambil masa berbulan-bulan. Kena menghadap dua atau tiga kali ke pejabat mereka. Banyak kerenah birokrasi. Bukan hendak memudahkan malahan menyusahkan. Sampai bilalah nak buat perangai macam ini?
Cara kerja inilah yang membuatkan imej golongan penjawat awam yang tak ada kena mengena dengan perkhidmatan kaunter pun terpalit buruk sama.
Tapi itulah kakitangan awam seperti ini tetap dapat habuan setiap kali bajet. Dah senang, bertambah senang dan ada hati minta macam-macam lagi. Dilayan pula. Untunglah.

Penulis ialah Pengarang Berita Mingguan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya