"Dah nak Maghrib kan?" ... - Utusan Malaysia

“Dah nak Maghrib kan?” …

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“EH, aku gerak dululah ya. Sekejap lagi aku datang semula,” kata Rosli sambil menghidupkan enjin motosikalnya.
Beberapa rakannya yang berada di situ hanya tertawa geli hati.
“Alah, aku balik sekejap saja. Memang sakit perut sangat ini. Bukan aku tak nak buang air di tandas restoran mamak ini, tapi tak selesa beb. Baik aku ‘membuang’ di rumah,” sambungnya sambil memecut pergi.
Memang begitulah rutin Rosli dan rakan-rakannya. Saban petang mereka akan melepak dan bergebang di restoran mamak berdekatan taman perumahannya. Selepas balik kerja hinggalah ke tengah malam mereka di situ, sehinggakan penduduk di taman tersebut sudah mengenali mereka.
Bukannya ada cerita penting atau masalah negara yang dibincangkan, tetapi hanya bersembang kosong.  Janji boleh duduk semeja bersama dan bergelak ketawa sudah memadai. Nanti sudah puas melepak barulah pulang ke rumah dan terus tidur. Begitulah kehidupan orang bujang seperti mereka.
Sebaik sampai di rumah, Rosli bergegas membuka pintu untuk ke tandas. Dia mengomel dalam hati kerana terpaksa meninggalkan rakan-rakannya di restoran tersebut. Tidak tahulah apa yang membuatkan dia tersalah makan sehinggakan perutnya terasa memulas sangat.
“Eh, bila masa pula kau balik Duan? Kenapa tak singgah di port biasa?” tanya Rosli tersentak apabila terlihat rakannya Duan sedang duduk di sofa ruang tamu.
Duan tidak menjawab pertanyaannya. Dia hanya melemparkan pandangan ke luar tingkap.
Rosli tidak menunggu jawapan, terus sahaja dia melangkah ke tandas yang terletak di belakang, fikirnya mungkin rakannya itu ada hal yang menyebabkan dia pulang ke rumah.
Setelah selesai melunaskan ‘hajat’, dia menyarung semula seluarnya. Ketika melangkah ke ruang tamu dia melihat Duan masih berada di sofa.
“Eh, kau nak ikut pergi mamak tak? Kalau nak jom tumpang aku je,” tanyanya sambil membetulkan tali pinggang di seluarnya.
Rakannya Duan tidak menoleh. Mukanya masih  dihalakan keluar tingkap.
“Dah Maghrib kan…,” jawabnya perlahan.
Rosli tersentak. Dia tidak faham kenapa Duan berkata begitu. Dia pelik kerana setahunya rakannya itulah yang paling kuat melepak sehingga ke tengah malam. Tup-tup sekarang ini dia pula dapat ‘ceramah free’.
“Alah, aku tanya saja. Kalau kau tak nak tak apalah,” kata Rosli sambil menghidupkan enjin motosikalnya dan memecut pergi.
Dalam perjalanan menuju ke restoran fikirannya melayang tentang kejadian yang berlaku di rumahnya sebentar tadi.
Dia tidak tahu apa yang berlaku kepada Duan sehinggakan rakannya itu bersikap acuh tidak acuh, adakah dia ada  masalah atau perkara lain yang disembunyikan daripada pengetahuannya.
Setahunya, Duan tidak pernah bersikap begitu kerana rakannya itu cukup kecoh dan perangainya pun agak ‘gila-gila’.
Sampai sahaja di restoran dia terus menuju ke meja rakan-rakannya yang terletak di luar restoran tersebut.
“Hah, apa macam dah puas?” tanya Shamsul sambil menyedut minuman pada gelas di tangannya.
Rosli hanya tersengih sambil mengangkat ibu jarinya menunjukkan isyarat bagus. Rakan-rakan lain yang ada di situ hanya tertawa. Mereka kembali menyambung celoteh. Suasana bertukar rancak apabila seorang demi seorang rakan-rakan lain turut tiba di situ.
Tiba-tiba bahu Rosli ditepuk dari belakang. Dia tersentak dan menoleh. Rupa-rupanya Duan berdiri di belakangnya sambil tersengih kelat.
“Ceh, aku ingat siapalah, rupanya kau. Itulah tadi menyombong sangat. Aku ajak lepak tak nak,” kata Rosli sambil menjeling sinis ke arah Duan.
“Eh, bila pula kau ajak aku?” tanya Duan mengerutkan dahi.
Rosli mencebikkan bibir sambil mengenyitkan mata ke arah rakan-rakan lain yang berada di situ.
“Tadi kan aku ajak kau naik motor sekali. Langsung tak nak pandang muka aku. Lepas itu siap tarbiah aku pula cakap dah masuk Maghrib tak elok melepak, aku ingat kau nak lepak sampai esok di rumah,” ngomel Rosli panjang lebar.
Duan mengerut dahi dengan wajah terpinga-pinga.
“Eh, bila masa pula aku dekat rumah? Aku dari tempat kerja terus datang ke sini. Kau biar betul beb,” balas Duan keliru.
Rosli tergamam. Dia memandang tepat ke arah Duan. Kalau hendak kata rakannya itu menipu macam tak masuk akal, tambah pula bila melihatkan Duan masih berpakaian kerja sambil membawa beg sandang yang berisi laptop di bahunya.
“Kau biar betul Duan? Bukan kau ke yang ada di rumah masa aku balik ini tadi,” ujar Rosli sedikit gugup.
Kali ini Duan pula garu kepala. Wajahnya berkerut sambil memandang rakan-rakan di sekelilingnya. Dia tidak tahu bagaimana hendak menjelaskan keadaan sebenar ketika  itu.
“Sumpah beb ! Aku baru saja gerak dari tempat kerja dan terus datang ke sini. Sebab apa pula aku nak balik ke rumah. Entah-entah yang kau tengok di rumah tu…,” sambung Duan tidak menghabiskan kata-katanya.
Rosli panik. Serta-merta badannya berasa seram sejuk. Dia hilang idea. Lidahnya kelu dan mulutnya seakan terkunci untuk meneruskan kata-kata.
Rakan-rakan yang berada di meja semuanya diam membatu. Masing-masing ingin mendengar penjelasan dan cerita yang keluar dari mulut Rosli.
“Err, cuba kau cerita pada aku apa sebenarnya yang berlaku,” kata Duan kepada Rosli.
Rosli menghela nafas panjang. Akhirnya dia membuka mulut meneruskan cerita.
“Sebenarnya tadi masa aku tengah syok lepak di sini, perut aku tiba-tiba memulas. Jadi, aku pun ambil keputusan nak buang air di rumah sebab lebih selesa. Masa aku balik dan masuk ke dalam rumah, tiba-tiba aku nampak ‘kau’ tengah duduk di ruang tamu.
“Aku tegur, tapi ‘kau’ buat tak reti je. Lepas itu masa aku nak keluar kau cakap, ‘dah nak Maghrib kan’, aku tak adalah tanya apa lagi. Aku start motor dan terus blah ke sini,” cerita Rosli panjang lebar.
Semua rakan mereka yang berada di meja terlopong mendengar cerita Rosli. Masing-masing berpandangan.
“Kalau betullah bukan kau yang di rumah itu, jadi siapa pula yang aku tegur itu?” tanya Rosli dengan wajah cuak.
Duan tidak menjawab pertanyaan rakannya itu. Dia juga keliru dengan apa yang berlaku. Pelbagai andaian mula bermain di fikirannya.
Sebelum ini pernah juga dia mendengar tentang pelbagai kejadian aneh dan pelik yang berlaku di rumah sewanya itu, namun dia langsung tidak percaya kerana sudah hampir enam bulan dia menyewa di situ tidak pernah pula dia berhadapan dengan perkara-perkara ganjil.
Namun hari ini dia terkedu apabila mendengar cerita Rosli. Sekarang ini hatinya mula berbelah bahagi sama ada ingin pulang dan tidur di rumah atau sebaliknya. Ini kerana dia takut apabila pulang ke rumah nanti sosok yang menyerupai dirinya masih berada di ruang tamu. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya