Cerita sedih penumpang ... - Utusan Malaysia

Cerita sedih penumpang …

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENDENGAR kisah ramai yang kehilangan insan tersayang akibat Covid-19 secara tiba-tiba, cukup meruntun hati. Terlalu ramai yang hilang tempat bergantung, anak-anak menjadi yatim piatu, isteri menjadi balu manakala suami hilang tempat bermanja.
Namun dalam sekian banyak cerita kehilangan ini, saya tak boleh melupakan satu kisah yang dialami oleh seorang penumpang Grab yang menaiki kereta saya baru-baru ini. Kisahnya hiba. Saya sendiri tidak dapat membayangkan jika saya berada di tempatnya.
Saya mengambil penumpang ini di Cheras yang mahu pulang ke rumahnya di Putrajaya. Perjalanan singkat hari itu, mengundang mendung dalam hati saya.
Entah macam mana, perbualan biasa mengenai Covid bertukar kepada kisah yang lebih mendalam. Penumpang wanita yang saya agak umurnya dalam awal 30-an ini, manis orangnya.
“Sebenarnya kak, saya baru kehilangan suami akibat Covid. Baru lagi, dalam dua bulan lepas,” katanya tenang. Sungguh, saya terdiam. Tak tahu ayat apa yang perlu keluar. Saya tengok wajahnya menerusi cermin pandang belakang. Ada riak sayu tapi masih terkawal.
Selepas ucapkan takziah, barulah lancar saya bertanya, namun penuh hati-hati.
“Sebenarnya kak, cerita saya sedih. Saya langsung tak dapat jumpa suami lepas kami berkahwin tahun lepas ketika kes Covid masih teruk.
“Kami kahwin di Cheras. Lepas kahwin, suami balik semula bertugas di Kedah. Saya pula di Putrajaya dan tinggal di kuarters kerajaan.
“Bila kes kejap naik kejap turun, saya memang mohon untuk berjumpa suami di Kedah tapi tak tahu kenapa malang nasib saya, tak pernah dapat,” katanya.
Hish, takkan tak dapat? Kan ramai pasangan jarak jauh boleh rentas negeri? Kata saya.
“Betul kak, saya tak dapat. Suami memang tak boleh ke sini sebab kerja dia.
“Jadi,.lepas kahwin tu, kami langsung tak berjumpa. Cuma panggilan video dan telefon sajalah yang menghubungkan kami.
“Dua bulan lepas, suami dijangkiti Covid dan masuk ke ICU di Kedah. Itulah kali terakhir saya tengok wajah dia bila doktor buat panggilan video.
“Dia meninggal di ICU dan dikebumikan di kampungnya di Kedah. Saya cuma boleh tengok pengebumiannya menerus video dari jarak jauh,” katanya tenang.
Aduhai, bagaimanalah wanita ini menghadapi kehilangan ini. Berkahwin dan setahun kemudian, tanpa pernah bersua muka lagi, berpisah selama-lamanya.
“Kak, isteri manalah yang tak sedih bila suami pergi tanpa saya dapat peluk dan cium tangannya. Lagi-lagi kami yang masih baru berkahwin.
“Tapi ada hikmah semuanya. Sekarang ini, saya anggap suami saya kerja macam dulu, supaya hati saya tak rasa sangat kehilangan dia.
“ Mujurnya juga suami saya tak pernah datang ke rumah kuarters saya ini, jadi saya tak ada kenangan dengan dia di sini,” kata wanita itu lagi.
Aduhai, saya yang mendengar ceritanya terasa gementar dalam hati. Kuat betul dia menghadapi kehilangan si suami yang hanya ditatap setahun lalu.
“Eh, seronok berbual dengan akak. Rasa lega dapat bercerita walaupun kita tak saling kenal,” katanya tersenyum sebelum melangkah turun dari kereta
Sempat saya mengerling wajah penumpang ini. Ada riak mendung tapi dia berusaha tersenyum. Benarlah, Tuhan uji manusia dalam pelbagai cara mengikut kemampuan hamba-Nya. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya