Bolehkah prasarana hijau tingkat kesihatan mental? - Utusan Malaysia

Bolehkah prasarana hijau tingkat kesihatan mental?

MENJADIKAN alam semula jadi untuk mencapai kesejahteraan mental bukannya satu konsep baharu malah telah dilakukan sejak zaman Rom Kuno lagi. - UTUSAN/BALQIS MISHA (PELATIH UNISEL)
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KETIKA semua lapisan masyarakat berganding bahu untuk mengekang penularan Covid-19, terdapat satu lagi pandemik yang merebak secara senyap, iaitu isu kesihatan mental. Kegelisahan, tekanan, kemurungan dan pemikiran negatif meningkat secara drastik dengan kes bunuh diri sekarang berada pada tahap amat membimbangkan. 

Talian bantuan perkhidmatan kesihatan mental dan sokongan psikologi (MHPSS), iaitu inisiatif Kementerian Kesihatan (KKM) menerima lebih 100,000 panggilan dalam tempoh enam bulan sahaja  kerana tekanan psikologi yang semakin berleluasa dalam kalangan masyarakat. 

Walaupun berdepan statistik yang membimbangkan ini, kesejahteraan mental masih lagi diabaikan oleh sebahagian masyarakat. 

Bukan itu sahaja, kesihatan mental adalah satu topik tabu, memaksa sesetengah individu sanggup menderita secara senyap daripada meminta pertolongan yang amat diperlukan. Pakar kesihatan mental negara kita giat menyebarkan kesedaran untuk menghapuskan prasangka buruk ini, sambil mendidik masyarakat mengenai kaedah-kaedah menjaga kesihatan mental. 

Bersenam, diet seimbang dan tidur mencukupi adalah asas untuk menjaga kesejahteraan mental. Namun, kebanyakan orang tidak menyedari alam semula jadi termasuk prasarana hijau juga berpotensi untuk meningkatkan kesihatan mental.

Menggunakan alam semula jadi untuk mencapai kesejahteraan mental bukannya satu konsep baharu. Di Rom Kuno, ia merupakan perkara biasa bagi masyarakat zaman tersebut untuk sekali sekala mengunjungi kawasan hutan untuk memulihkan fizikal dan mental mereka daripada impak negatif akibat hidup di bandar sesak. 

Di Malaysia, pengamal silat dan masyarakat Orang Asli telah berabad-abad mempraktikkan mandi embun, iaitu satu amalan berdasarkan kepercayaan bahawa berjalan berkaki ayam di kawasan hutan pada awal pagi dapat meningkatkan kesihatan rohani dan jasmani.

Pada zaman moden ini, konsep menggunakan alam semula jadi untuk meningkatkan kesihatan telah dibangunkan oleh Badan Perhutanan Jepun pada 1982, dipanggil shinrin-yoku, yang bermaksud mandi hutan. 

Konsep ini sekarang terkenal di persada antarabangsa dan kini sering dipanggil sebagai terapi hutan. Banyak kajian dijalankan dalam bidang ini di seluruh dunia, dari Korea Selatan hingga Sweden, di mana manfaat terapi hutan telah terbukti. 

Satu kajian yang dijalankan oleh pasukan penyelidik dari Universiti Putra Malaysia (UPM) baru-baru ini mendapati prasarana hijau dapat membantu  menangani masalah kesihatan mental yang disebabkan oleh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika penularan pandemik Covid-19 ini. 

Kajian bertajuk Addressing psychosocial issues caused by the Covid-19 lockdown: Can urban greeneries help? ini diterbitkan di Urban Forestry & Urban Greening, iaitu satu jurnal antarabangsa berimpak tinggi. Kajian ini diketuai oleh Dr. Keeren Sundara Rajoo, seorang pensyarah kanan di UPM Kampus Bintulu, di mana fokus penyelidikannya termasuk terapi hutan, perhutanan dan sains tanah. 

Kajian ini mendapati dengan melakukan beberapa aktiviti di prasarana hijau seperti senaman dan meditasi, ia berpotensi untuk mengurangi tahap kemurungan, kegelisahan dan tekanan. Aktiviti-aktiviti ini harus dilakukan setiap hari pada waktu pagi selama 20 hingga 30 minit di mana-mana kawasan prasarana hijau termasuk hutan bandar, taman komuniti dan taman rumah. 

Kaedah ini berpotensi menjadi satu bentuk rawatan pencegahan terutama untuk mengekalkan kesihatan mental pada zaman pandemik ini. 

Pada tahun ini, kerajaan melancarkan Kempen Penanaman 100 Juta Pokok 2021-2025 di bawah Program Penghijauan Malaysia. Inisiatif ini bukan sahaja akan memelihara alam sekitar, namun dapat memberi peluang kepada seluruh rakyat untuk mendapat faedah kesihatan dalam bentuk terapi hutan. 

Timbalan Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia, Datuk Zahari Ibrahim berkata, seluruh rakyat harus bekerjasama untuk memastikan kejayaan kempen ini.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPM dan Profesor pemulihan dan pemuliharaan hutan, Profesor Dr. Arifin Abdu juga bersetuju sepenuhnya dengan pandangan ini. Beliau menyatakan, semua lapisan masyarakat termasuk warga universiti, agensi kerajaan, sektor swasta dan masyarakat umum harus menyahut cabaran ini dan menyelaraskan aktiviti penanaman pokok di seluruh negara.

Agak menarik tema kempen ini iaitu Penghijauan Malaysia: Pokok Kita, Kehidupan Kita membuktikan penghijauan berkait rapat dalam peningkatan kualiti hidup kita. Oleh itu, rakyat dari semua latar belakang harus memainkan peranan untuk menjayakan kempen ini kerana ia mampu menyelamatkan bumi dan kesihatan mental kita.

DR. Keeren Sundara Rajoo ialah Pensyarah Kanan di Jabatan Sains Perhutanan, Universiti Putra Malaysia (UPM) Kampus Bintulu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya