APABILA menggunakan kereta kecil seperti Perodua Axia milik saya, terkadang terasa bimbang juga sekiranya mendapat penumpang dalam jumlah penuh.
Bukan apa, saiz kereta kompak begini memang tidak selesa jika dinaiki empat orang, lebih-lebih lagi jika semuanya berbadan besar.
Kasihan kereta!
Ini pernah berlaku pada saya sebelum musim Covid-19 melanda dunia. Waktu berlegar-legar di Cyberjaya, saya mendapat Ping di sebuah pejabat badan berkanun di sana.
Waktu itu dah menjelang pukul 5 petang dan hujan renyai-renyai. Destinasinya KLIA 2.
Dalam hati saya, Wah! Rezeki. Tambang dari Cyberjaya ke sana adalah RM45.
Sampai saja di lokasi pick up, empat penumpang sudah menanti. Seorang perempuan dan tiga lelaki. Semuanya berbadan agak besar.
Dalam hati saya berbisik, aduh, kenapalah tak pesan GrabCar Plus, mesti dapat kereta lebih selesa walaupun tambang agak lebih. Kalau ambil JustGrab, nasiblah dapat kereta kecil macam Axia.
Bila sampai di hadapan mereka, nampak juga wajah panik masing-masing. Nak tak nak, naik jugalah. Penumpang perempuan duduk di hadapan manakala tiga lelaki berhimpit di belakang. Mujur tiada beg pakaian!
Rupa-rupanya mereka ada mesyuarat di situ dan mahu pulang ke Pulau Pinang. Pagi tadi naik kapal terbang pukul 7 pagi dan pulang juga pukul 7 malam.
Di dalam kereta masing-masing sibuk bertanya pada saya mengenai Grab sebab belum pernah menaiki Grab dipandu wanita.
Dalam pada leka bersembang, saya membuat kesilapan besar dengan terlepas simpang ke KLIA. Aduh, nak menangis rasanya sebab saya perlu membuat pusingan U dengan jauh, hampir 17 kilometer.
Muka penumpang sudah cuak. Takut terlepas kapal terbang dek kerana perjalanan mengambil masa yang lebih.
Saya sendiri berdebar-debar tak tahu nak cakap. Tapi saya cuba berlagak tenang dan memberi jaminan akan tiba tepat pada masanya di KLIA.
Saya pecut dengan laju dalam keadaan hujan renyai-renyai. Tapi selaju manalah sebuah Axia yang membawa lima penumpang bersaiz besar dapat meluncur dengan gagah pun?
Ketika saya menekan pedal minyak memaksa Axia memecut lebih cepat, saya mengerling tiga penumpang di belakang. Sunyi sepi semuanya dengan wajah rungsing.
Saya agak mereka seram dengan pemandu perempuan bertubuh kecil membawa mereka ‘terbang’, dalam hujan pula itu!
Saya ajak mereka berbual tapi perbualan seperti tersangkut-sangkut. Dalam pada saya sendiri rasa cemas, rasa nak ketawa pun ada melihat empat penumpang bulat mata memerhati jalan dan meter kereta saya bergerak naik.
Dengan kelajuan yang saya bawa walaupun tersasar jalan, mujur saya tiba mengikut jadual asal.
“Fuh! Lega kami. Ingatkan tak sampai dan terlepas kapal. Hebat jugak awak bawa dengan kereta kecil macam ini.
“Berat pula itu kami ini semua. Terima kasih bawa kami dengan selamat. Ingat nak suruh hantar sampai Pulau Pinang kalau terlepas kapal terbang tadi,” kata salah seorang lelaki tersebut sambil disambut gelak ketawa rakan-rakannya.
Saya tersengih sambil menerima tips lebih daripada mereka. Sempat saya pesan, nanti kalau ramai kena pesan kereta besar sikit sebab boleh lagi laju kalau terlewat! – Mingguan Malaysia
Bila Axia memecut!
- Oleh SHIKIN HASSAN
- 31 Oktober 2021, 11:10 am
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
BERITA BERKAITAN
Balasan dapat di dunia, carilah rezeki halal
3 April 2022, 11:01 am
Dia menyanyi pula dah …
6 Mac 2022, 12:00 pm
Badan besar, duduk belakanglah!
20 Februari 2022, 10:50 am