Bahasa Melayu dan makan belacan - Utusan Malaysia

Bahasa Melayu dan makan belacan

Peribahasa, simpulan bahasa dan pantun dalam Facebook Dewan Bahasa dan Pustaka. – Gambar hiasan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“MALU bertanya sesat jalan, malu nak berbahasa Melayu, cakaplah bahasa Inggeris” – Mungkin kata-kata ini tepat ditujukan kepada segelintir orang kita. Kalau kita hendak berbincang pasal tidak mengutamakan bahasa kebangsaan ini, isunya lebih kepada sikap.
Iyalah, bukan tak pandai pun. Tak akanlah sudah hidup lama di negara ini tidak boleh berbahasa Malaysia. Mengada-ngadalah. Itu saja. Ada pula bila bercakap Melayu, pelat pula. Ala keinggerisan. Tapi tak apalah. Asalkan dia tidak malu berbahasa Melayu. Berusaha berbahasa kebangsaan.
Baru-baru ini, Yang di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Dr. Rais Yatim mengingatkan menteri, timbalan menteri dan Ahli Dewan Negara yang mengikuti perbahasan supaya mengutamakan percakapan dalam bahasa kebangsaan.
Beliau membuat teguran itu selepas mendengar ja­wapan Timbalan Menteri Pe­lancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Dr. Santhara Kumar Ramanaidu yang menyebut perkataan homestay. Kata Rais, ada istilah Melayu bagi homestay itu.
Jawab Dr. Santhara, “Inap desa Yang di-Pertua”.
“Ada istilah dalam bahasa kebangsaan, kita tak pakai,” kata Rais.
Selain Rais, siapa lagi pe­mimpin kita yang beria-ia bercakap atau menegur pasal bahasa kebangsaan? Adalah, bukan tak ada. Tetapi sekadar beri kenyataan dalam akhbar tetapi dia pun sama dua kali lima, berhabuk guna bahasa Inggeris hatta dalam merasmikan Mesyuarat PIBG sekolah. Yang datang bukan ada warga asing pun, semua rakyat Malaysia. Tapi itulah, tiada standard agaknya bercakap bahasa Melayu.
Bukan saya mahu mengetepikan bahasa Inggeris, bahasa ilmu atau pentingnya ada kemahiran berbahasa lain. Pengajian bahasa lain pun ada ditawarkan di universiti tempatan. Yang mana ini sangat bagus iaitu mahir selain bahasa ibunda dan ada prospek dalam pekerjaan yang memerlukan bahasa asing ini.
Isunya malu dan anggap bahasa kebangsaan kita ini tiada standard. Saya pernah bercerita dalam kolum ini bagaimana seorang ibu cukup bangga memberitahu kawan-kawan dalam grup WhatsApp, anaknya tidak lulus mata pelajaran Bahasa Melayu tetapi dapat markah tinggi dalam Bahasa Inggeris. Yang peliknya, ramai memuji-muji kepandaian anak itu. Tidak seorang pun, menegur bahawa Bahasa Melayu pun kena mahir jugalah. Ada ibu bapa yang amat rungsing apabila anak lemah dalam bahasa Inggeris, sanggup panggil guru tuisyen tetapi bila Bahasa Malaysia gagal atau cukup-cukup makan, tak apalah.
Saya pernah menghadiri forum dan persidangan di Jepun, China dan Peranchis. Ia dikendalikan dalam bahasa mereka. Ada penterjemah. Perkara ini sangat biasa di sana. Pekerja hotel atau penduduk di sana, bila kita tanya dalam bahasa Inggeris pun, gigih berbahasa mereka. Akhirnya, komunikasi lebih kepada isyarat tangan saja. Di negara ini, tidak begitu. Bila persidangan ada delegasi dari negara luar, semua bercakap bahasa Inggeris. Takut delegasi luar terpinga-terpinga tidak faham. Walhal boleh saja guna penterjemah macam negara lain.
Lepas itu, ada pemimpin-pemimpin negara ini sembang pasal kepentingan bahasa kebangsaan, menasihatkan rakyat begitu begini bila ada seminar berkenaan bahasa yang pastinya membabitkan Dewan Bahasa dan Pustaka. Alangkah janggalnya telinga mendengar saranan mereka.
Bahasa kebangsaan milik semua. Ia bukan pasal kaum. Ia bahasa komunikasi yang memudahkan kita semua. Tidak akan jadi Melayu seorang Cina atau India berbahasa Melayu dan tidak akan jadi orang putih, Melayu yang berbahasa Inggeris.
Semalam, saya terdengar perbualan dua pemuda berketurunan Cina dan India di kediaman saya. Mereka pekerja penyelenggaraan yang sedang memperbaiki lif.
“Bala, cepat sikitlah aku dah lapar,” kata lelaki yang kami di sini panggil Chai saja. Nama penuh saya tak tahu.
Jawab Bala – “Kau fikir perut kau, saja. Aku pun lapar. Tiba-tiba lalu seekor kucing.
“Jangan bagi kucing masuk lif. Nanti tak tahu kucing itu pergi mana,” kata Chai.
Bala jawab – “Kucing itu tahu tingkat berapa dia duduklah.” Dan mereka berdua tertawa. Saya pun turut tertawa.
Tengok, indah dan mudahnya bahasa kebangsaan digunakan untuk komunikasi semua kaum. Tak ada cacat celanya. Tapi ada saja yang mengada-ngada. Malu cakap Melayu. Bab belacan, budu tempoyak dan petai, laju saja dia makan.

PENULIS ialah Pengarang Berita Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya