Asyik-asyik tak lama lagi - Utusan Malaysia

Asyik-asyik tak lama lagi

Kesesakan jalan raya yang teruk dijangka berlaku bila kebenaran rentas negeri diumumkan. - Mingguan/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“ASYIK-asyik tak lama lagi, asyik-asyik tak lama lagi.” – Itu kata seorang kawan. Fikirnya, semalam atau hari ini, dia sudah boleh pulang ke kampungnya di Jasin, Melaka.
Sama seperti kebanyakan daripada kita, dia amat pasti dan yakin, kelmarin adalah hari yang ditunggu-tunggu oleh semua, iaitu pengumuman membenarkan merentas negeri, pulang ke kampung halaman masing-masing.
Iyalah, ramai yang menjangkakan tahap 90 peratus sudah divaksin seluruh negara itu boleh dicapai dalam masa singkat setelah melepasi 89 peratus.
“Mainkan perasaan betullah,” getusnya. Cuti lapan hari sudah diluluskan. Pakaian dan kuih-muih sudah dimasukkan dalam beg. Tinggal nak masuk gear kereta saja.
Jumaat lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kebenaran untuk merentas negeri akan dilakukan serentak di seluruh negara dan akan diumumkan dalam masa terdekat ini.
Tentunya kebenaran rentas negeri perlukan penelitian yang rapi dan tak boleh dibuat dengan mengambil pertimbangan mudah. Nak masuk fasa endemik tak boleh terburu-buru. Itu saya rasa rakyat boleh faham.
Tetapi pada masa sama apabila aktiviti pelancongan dibenarkan di kawasan tertentu dan diberi rentas negeri, tetapi hendak melihat orang tua di kampung tidak boleh pula walau sudah divaksin, ini agaknya yang rakyat susah nak difahamkan.
Kalau takutkan Covid menjangkiti ibu bapa, masa melancong wabak itu juga boleh disebarkan pada orang lain, malah lebih ramai lagi jika tidak mematuhi SOP.
Dan ini pun satu hal lagi – Seorang kawan berkata, dalam keadaan negara ini sedang perlahan-lahan mahu pulih dan sedang berusaha menuju hidup macam dulu setelah pandemik, politikus pula buat hal, mahukan Pilihan Raya Negeri (PRN) lagi.
“Dulu PRN Sabah rakyat satu Malaysia dapat apa?” tanyanya kepada saya.
“Covidlah” – jawab saya pendek.
Perlu diingat kes Covid-19 masih empat angka. Politikus pula masa inilah sibuk nak tarik sokongan dan hilang kepercayaan. Jangan cakap alasan tumbangkan kerajaan negeri untuk rakyat pula. Sebab, rakyat bukan peduli sangat pun politikus ini.
Yang rakyat mahu lihat kes Covid turun, tiada kes kematian, tidak kehilangan kerja, senang hendak berniaga dan melihat orang tua di kampung.
Senang cakap, hal-hal untuk kepentingan dan kekayaan diri janganlah babitkan perjuangan untuk rakyat. Ini satu sandiwara busuk.
Sebelum PRN Sabah diadakan pada 26 September tahun lalu, kita sudah menghampiri kes Covid sifar.
Satu kajian menunjukkan PRN Sabah menjadi faktor peningkatan kes Covid-19 sehingga mencecah 2,979 jangkitan baharu selepas minggu pertama saja berakhirnya hari mengundi.
Kalau tak belajar daripada pengalaman lepas, kemudian asyik menyalahkan rakyat tak jaga SOP, sampai bila pun kitaran pandemik ini tak habis-habis.
Dan pusing-pusing macam mana pun, hujung-hujung rakyat yang kena. Rakyat juga yang dikata cemerkap.

PENULIS ialah Pengarang Berita Mingguan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya