Tubuh wakaf pendidikan tinggi - Utusan Malaysia

Tubuh wakaf pendidikan tinggi

UNIVERSITI Tenaga Nasional (Uniten) berjaya menggunakan 40 peratus daripada dana wakaf dan yayasan milik mereka untuk terus kekal bertahan. – IHSAN UNITEN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

BARU-BARU ini terdapat laporan kira-kira 140 pusat tah­fiz di seluruh negara akan menutup operasi kerana tidak mampu menampung kos pengurusan kesan daripada pandemik Covid-19 yang menular sejak setahun lalu.

Masalah sama dihadapi institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) apabila berlaku penangguhan pendaftaran pelajar termasuk dari luar negara pada tahun ini.

Selain itu, wujud persaingan sengit untuk mendapatkan pelajar dan kadar yuran lebih tinggi berbanding universiti awam (UA) adalah antara cabaran turut dihadapi IPTS.

Di era pandemik Covid-19, IPTS perlu lebih kreatif dan inovatif menangani perkara ini terutamanya dalam mencari pembiayaan alternatif.

IPTS perlu mempertingkatkan usaha untuk memperkukuhkan dan mempelbagaikan sumber pendapatan bagi menjamin pertumbuhan berterusan.

Pendekatan drastik perlu diambil IPTS dengan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bagi memastikan ia tidak ditutup. Ini kerana 537,434 daripada 1.3 juta pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) sekarang berada di IPTS. 60 peratus pelajar antarabangsa juga berada di IPTS.

Maka, wakaf pendidikan tinggi dianggap sebagai salah satu solusi yang berpotensi untuk memastikan pembelajaran di IPTS kekal dan dapat dinikmati seluruh masyarakat.

Bukti kejayaan wakaf pendidikan bagi peringkat tinggi jelas dengan terus wujudnya IPT berasaskan wakaf iaitu Universiti Al-Azhar, Mesir.

Institusi ini yang terbina lebih 1,000 tahun lalu bermula sebagai sebuah masjid, kemudian berkembang sehingga menjadi sebuah universiti tersohor di dunia.

Konsep sama juga diperkembangkan oleh masyarakat Barat dikenali sebagai endowmen. Ini jelas apabila pembangunan universiti seperti Harvard, Oxford, Cambridge, Yale dan Stanford dilakukan melalui kaedah tersebut.

Bagi melihat wakaf pendidikan tinggi dilaksanakan dengan lebih serius di negara ini, KPT pada 2016 mewujudkan garis panduan wakaf sepertimana terdapat dalam buku bertajuk Enhancing University Income Generation Endowment & Waqf.

Walaupun garis panduan itu untuk UA, IPTS boleh menggunanya berdasarkan kesesuaian universiti bagi memastikan tadbir urus wakaf pendidikan tinggi dapat dilaksanakan dengan teratur.

Beberapa IPTS berjaya mengguna pakai konsep ini sebagai salah satu kaedah menjana kewangan seperti Universiti Tenaga Nasional (Uniten) yang menggunakan 40 peratus daripada dana wakaf dan yayasan milik mereka untuk terus kekal bertahan.

INTI International University juga menggunakan alumni sebagai platform mengumpul dana bantuan.

Oleh itu, sewajarnya IPTS lain mengikut jejak langkah ini untuk menjadikan wakaf pendidikan tinggi sebagai satu cara mengukuhkan dana universiti masing-masing dalam menyediakan prasarana terbaik buat pelajar.

PROFESOR DATUK IR. DR. KAMAL NASHARUDDIN MUSTAPHA, Pengerusi Majlis Naib-Naib Canselor Universiti Swasta.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya