Pemandu Grab dah mula senyum - Utusan Malaysia

Pemandu Grab dah mula senyum

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEJAK bermulanya pemberian vaksin kepada rakyat Malaysia, pemandu Grab sudah mula tersenyum sikit.
Sebab apa? Sebab ramai penumpang menggunakan khidmat Grab untuk ke pusat pemberian vaksin (PPV). Kebanyakan jaraknya pula jauh-jauh.
Jadi, pemandu Grab dah mula sibuk ke sana-sini menghantar penumpang ke PPV. Paling best, sejak penerima dua dos vaksin dah boleh makan di luar dan membeli-belah, maka rezeki pemandu dah makin meningkat.
Kalau dulu, asyik ‘membangau’ tunggu penumpang, kini bangau dah terbang merata mencari ikan.
Seorang rakan Grab mengakui, sejak PPV dibuka di merata tempat di Lembah Klang, merata juga dia menghantar penumpang dalam jarak jauh.
“Sekarang ini rezeki saya jauh beza kalau hendak dibandingkan masa musim berkurung.
“Walaupun kes Covid-19 masih ‘mengganas’ tapi pesanan Grab bertambah. Kalau sehari bekerja dalam tujuh jam, boleh dapat RM200 sehari. Kalau lagi lama atas jalan, lagi banyaklah.
“Cuma nak kena berhati-hati juga bila menghantar penumpang ke PPV. Nak kena semak MySejahtera penumpang betul-betul bagi memastikan tarikh dan lokasi adalah sama seperti yang tertera.
“Kalau tidak, kita pemandu Grab pula yang kena saman dengan polis,” cerita rakan saya yang dipanggil Hid ini.
Sebenarnya ini ekoran satu audio yang tular, kononnya pemandu Grab disaman di Segambut kerana membawa dua penumpang ke PPV.
Justeru, tertanya-tanyalah pemandu Grab berapa orang sebenarnya yang dibolehkan untuk membawa penumpang ke PPV atau ke klinik dan juga hospital?
Seorang sahaja atau dua orang?
Oleh kerana terlalu banyak versi yang diperkatakan, yang ini kata begini manakala yang itu pula cakap begitu, maka seorang rakan pemandu bernama Bazli membuat keputusan menghubungi sendiri pihak Grab bagi mendapatkan penjelasan.
Katanya, daripada pening mendengar cakap-cakap orang, lebih mudah untuk mendengar sendiri daripada Grab.
Hasil pertanyaan tersebut, Bazli membuat penjelasan dengan terperinci supaya menjadi garis panduan kepada pemandu Grab.
 Pemandu mesti melihat terlebih dahulu penyata janji temu ke PPV dalam MySejahtera kedua-dua bakal penumpang.
Buktinya adalah lokasi dan tarikh yang sama buat mereka.
Ini kerana dibimbangi, cuma seorang saja ada janji temu hari tersebut, manakala seorang lagi sekadar peneman ke lokasi.
Atau mungkin juga, cuma seorang saja yang ada janji temu hari itu, manakala seorang lagi tarikh lain.
Justeru, pemandu berhak melihat MySejahtera mereka bagi mengelak disaman polis.
 Setelah mendapati maklumat dalam MySejahtera yang kedua-duanya ke PPV yang sama dan tarikh yang sama, barulah layak menjadi penumpang. Jika sebaliknya? Risiko tanggung sendiri.
 Kedua-dua penumpang itu mesti ada janji temu dalam MySejahtera. Jika cuma seorang ke PPV mengikut MySejahtera, manakala seorang lagi berstatus ‘walk-in’, jangan ambil mereka.
 Jika kedua-duanya berstatus ‘walk-in’, juga jangan ambil. Individu berstatus ‘walk-in’ tidak layak berkongsi grab.
 Apabila berdepan kes sedemikian, pemandu bolehlah meminta mereka membatalkan tempahan. Jika enggan, kita boleh membatalkannya. Kemudian call Grab Center (GC) bagi memaklumkan sebab pembatalan.
GC akan merekodkan perkara itu, sekali gus membebaskan pemandu daripada rekod buruk.
 Bagi dua bakal penumpang yang ada janji temu ke klinik atau hospital, pemandu mesti melihat kad janji temu mereka terlebih dahulu.
Jika seorang berstatus teman, jangan ambil. Jika ambil juga? Risiko berdepan polis tanggung sendiri.
Demikian penjelasan dari­pada pihak Grab kepada Bazli.
Kata Bazli, apa yang penting MySejahtera itu perlu ditunjukkan oleh penumpang dan pemandu perlu membuat pertimbangan sewajarnya agar diri sendiri tidak disaman.
“Terpulanglah kalau ada yang nak ambil penumpang melebihi seorang, tanggunglah sendiri risiko.
“Pandai-pandailah nak hidup, cari jalan lain yang tiada sekatan jalan raya ke,” kata Bazli.
Apa pun pada ketika ini, semuanya bergantung pada soal budi bicara pihak polis.
“Misalnya, kalau seorang tua ada temujanji dengan doktor di hospital, anaknya sekadar jadi peneman, maka apa yang harus kita buat?
“Takkanlah nak dibiarkan orang tua pergi ke hospital seorang diri. Jadi di sini, kita pun bertimbang rasa dan ambil sahaja.
“Begitu juga kalau seorang ibu yang membawa seorang bayi dan anak kecil bawah lima tahun, mustahil ambil dua Grab.
“Suami yang bawa isteri mengandung juga, mustahil ambil Grab berbeza. Jadi, di sinilah semuanya atas budi bicara polis.
“Kalau tempuh sekatan jalan raya dan polis tanya, ceritakan saja perkara sebenar. Polis pun faham situasi macam itu asalkan kita cakap terus terang dan berhemah.
“Saya pun pernah alami yang sama dan dilepaskan dengan baik sebab semuanya atas budi bicara polis asalkan kita cakap baik-baik,” kata Bazli.
Malah katanya, kerapkali juga dia menerima pesanan ‘ikat tepi’ ( bermaksud pesanan luar aplikasi) dan difahami oleh pihak berkuasa.
“Yang penting, kita cari makan ini jangan sombong dengan orang lain. Jangan bila depan polis, kita cakap pun kasar.
“Bila cakap berbudi-bahasa, mesti semuanya akan selesai dengan baik,” cerita Bazli yang kebetulan sedang menunggu penumpang ‘ikat tepinya’.
Ya benar, yang penting menggunakan bahasa yang baik dan bersopan, pasti akan dipermudahkan urusan. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya