PANDEMIK Covid-19 mencetuskan fenomena baharu dalam kehidupan manusia. Yang pasti, kehidupan kita kini amat bergantung kepada penggunaan teknologi.
Bayangkan jika kehidupan kita tanpa telefon pintar, tablet, komputer riba dan peranti teknologi. Adakah kita mampu untuk meneruskan rutin kehidupan dalam tempoh keterbatasan interaksi fizikal ini?
Sedar atau tidak, teknologi terkini menjadi key enabler yang membolehkan kita untuk meneruskan kelangsungan hidup. Teknologi terkini bukan sahaja digunakan dalam urusan pekerjaan, pembelajaran dan perniagaan. Malahan, ia dapat membantu kita untuk menguruskan kehidupan secara lebih efisien dan tangkas. Sebagai contoh, urusan jual beli kini lebih mudah kerana ia boleh dilakukan secara dalam talian.
Dalam hal ini, tiada lagi keperluan untuk kita bergerak ke lokasi fizikal bagi mendapatkan barangan atau perkhidmatan. Selain itu, transaksi perbankan, urusan dengan agensi kerajaan ataupun swasta semuanya boleh dilakukan secara dalam talian. Pendek kata semuanya di hujung jari. Oleh itu, masa, tenaga dan kos perjalanan sudah tentu dapat dijimatkan.
Dalam pada itu, teknologi turut membolehkan kita untuk meluaskan komunikasi dan interaksi sosial merentas sempadan menerusi media sosial dan aplikasi pesanan segera seperti Facebook, Instagram, Twitter, WhatsApps, Telegram dan lain-lain. Namun, tanpa kita sedari, maklumat yang dikongsikan menerusi platform maya ini turut mendedahkan kita kepada risiko ancaman siber.
Terdapat pelbagai data dan maklumat yang boleh dieksploitasi oleh pihak tidak bertanggungjawab. Antaranya maklumat demografi, nombor akaun, alamat rumah, kad pengenalan, MySejahtera, kad digital vaksin, nombor akaun, nombor TAC, kata laluan, teks perbualan, gambar, video dan data biometrik.
Tanpa kita sedar, pendedahan maklumat tersebut boleh mengundang kepada kes jenayah siber seperti panggilan atau mesej palsu, tawaran pekerjaan dan hadiah lumayan, penularan maklumat palsu atau mengaibkan, transaksi tidak sah dan macam-macam lagi.
Terkini, kes membabitkan sindiket penipuan penjualan vaksin Covid-19 dan penjualan sijil digital vaksin Covid-19 secara dalam talian menerusi laman media sosial hangat diperkatakan. Seketika dahulu, kes-kes penipuan dalam talian seperti Macau Scam, pinjaman dan pelaburan Love Scam mendapat liputan meluas dalam akhbar tempatan.
Natijahnya, penjenayah siber tidak akan berhenti mencari peluang melalui pelbagai taktik dan modus operandi terkini. Justeru, setiap lapisan masyarakat baik golongan marhaen ataupun atasan tidak terkecuali untuk terus menjadi sasaran. Lebih malang lagi, apabila golongan rentan seperti warga emas turut menjadi mangsa kerana kurangnya pendedahan dan pengetahuan berhubung ancaman siber.
Isu ancaman siber bukan sahaja mendatangkan kesan negatif ke atas aspek fizikal seperti kerugian dan kecurian wang ringgit. Bahkan, ia turut memberi implikasi ke atas kesejahteraan emosi individu. Contohnya, kes-kes buli siber, pengaruh fahaman ekstrem, gangguan seksual dan eksploitasi seksual turut mempengaruhi emosi negatif individu serta mengakibatkan kesan grooming seperti kesukaran untuk tidur dan menumpukan perhatian terhadap tugasan, gelisah, marah, kecewa dan murung.
Meskipun perkongsian dan peringatan tentang ancaman siber telah diberikan oleh pihak berwajib, masih terdapat segelintir masyarakat yang kurang peka dan terus menjadi mangsa penjenayah siber. Oleh yang demikian, langkah-langkah mitigasi perlu diperkemas dan diperkasakan secara tuntas.
Selain bergantung sepenuhnya kepada pihak berkuasa, berikut adalah beberapa cadangan langkah keselamatan yang boleh dipraktikkan:
▪ Tingkatkan kesedaran golongan rentan (kanak-kanak, warga emas, masyarakat luar bandar dan lain-lain) yang kurang pendedahan dan pengetahuan tentang risiko ancaman siber.
▪ Elakkan daripada berkongsi maklumat peribadi/sulit kepada orang tidak dikenali. Selain itu, elakkan diri daripada merakam dan berkongsi tentang kehidupan peribadi.
▪ Kenal pasti identiti pihak atau individu yang berurusan dengan anda.
▪ Ketahui alat dan perisian yang anda gunakan serta kenal pasti risiko ancaman. Gunakan perisian antivirus, anti-spyware dan lain-lain bagi melindungi perisian komputer anda. Pastikan ia sentiasa dikemas kini mengikut versi terkini.
▪ Sentiasa lindungi dan kemas kini kata laluan anda.
▪ Sediakan salinan tambahan bagi fail-fail digital penting, di samping mengamalkan langkah keselamatan yang sewajarnya.
▪ Sekiranya anda menghadapi isu-isu dalam talian seperti e-mel yang mencurigakan, penggodaman komputer/telefon bimbit/peranti tangan, pencerobohan data/maklumat, iklan/tawaran palsu, virus, perisian hasad dan lain-lain, sila semak maklumat atau kemukakan laporan menggunakan saluran yang telah disediakan. Antaranya Pusat Bantuan Cyber999 (MyCERT), http://scam.my (semakan maklumat scammer), https://www.cyberconsumer.my/ (Persatuan Pengguna Siber Malaysia).
▪ Praktikkan amalan netiquette, contohnya penggunaan bahasa yang baik agar tidak mencabar kumpulan tertentu dan memudahkan anda menjadi mangsa sasaran. Selain itu, elakkan berkongsi maklumat sulit organisasi menerusi aplikasi media sosial.
▪ Jangan bekerjasama atau segera hentikan panggilan daripada pihak yang meragukan.
▪ Elakkan daripada menular atau membalas mesej yang anda terima melalui media sosial atau aplikasi pesanan segera jika anda tidak pasti tentang kebenaran dan kesahihannya.
▪ Jangan sewenang-wenangnya klik pada pautan/lampiran dalam e-mel atau media sosial tanpa memeriksa kesahihan maklumat dan kandungannya.
Kesimpulannya, kepesatan teknologi tidak boleh dijadikan asbab untuk kita mudah menjadi mangsa ancaman siber. Justeru, kesedaran dan usaha bersepadu masyarakat dan individu amat penting bagi mengatasi isu-isu jenayah siber yang semakin berleluasa. Bak kata pepatah, mencegah lebih baik dari mengubati dan sebaiknya sediakanlah payung sebelum hujan.
PROFESOR Dr. Anitawati Mohd. Lokman, Fakulti Sains Komputer & Matematik, Universiti Teknologi Mara (UiTM).
NOR Hafizah Ibrahim, Timbalan Pendaftar Universiti Teknologi Mara (UiTM).