Misteri ambulans usang - Utusan Malaysia

Misteri ambulans usang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HARI itu ketika sedang bertugas syif malam di kilang, saya dapat panggilan daripada isteri dan memberitahu anak bongsu kami yang berusia tiga tahun tiba-tiba diserang demam panas. Dia minta saya berjumpa dengan penyelia bertugas untuk minta kebenaran pulang sebentar dan bawa anak ke hospital memandangkan tiada kenderaan di rumah. Lagipun memang kebiasaannya bila bertugas syif malam saya akan menaiki kereta ke tempat kerja.
Tanpa berlengah saya terus jumpa penyelia dan beritahu apa yang terjadi. Sebaik dapat kebenaran saya terus ke tempat parkir hidupkan enjin kereta dan bergegas pulang. Selepas menjemput isteri dan anak di rumah saya terus memandu menuju ke hospital.
Setibanya di hospital, kami terus menuju ke wad kecemasan (memandangkan di situ sahaja tempat yang masih beroperasi ketika lewat malam). Setelah selesai urusan mendaftar, kami akhirnya dibenarkan bawa anak berjumpa doktor.
“Demam anak encik ini tinggi sangat. Apa kata kalau kita tahan dia di wad malam ini untuk pemantauan. Esok kalau dah okey, bolehlah balik,” kata doktor yang memeriksa.
Saya dan isteri bersetuju. Lagi pun lebih mudah jika berada di hospital kerana bolehlah doktor memantaunya. Isteri saya ambil keputusan untuk temankan anak di situ, katanya bila saya pulang dari kerja pukul 8 pagi nanti bolehlah terus datang jemputnya pulang ke rumah.
Selesai urusan kemasukan anak di wad, saya minta diri untuk beredar. Saya toleh jam di tangan, sudah menghampiri 2 pagi. Saya melangkah berhati-hati menuju ke tempat parkir yang terletak di bangunan sebelah.
Dari cahaya lampu persekitaran, saya lihat tidak banyak kenderaan ada di situ. Rasanya cuma ada empat lima buah sahaja. Di satu sudut berdekatan pula terletak empat ambulans yang dalam fikiran saya sudah tidak digunalkan lagi kerana keadaannya yang sudah usang dan tidak berjaga.
Sedang saya berjalan melintasi parkir ambulans tersebut tiba-tiba hidung saya tercium bau yang sangat busuk. Baunya kuat menusuk sehinggakan rasa hendak termuntah. Saya tinjau dan pandang sekeliling kalau-kalau ada bangkai binatang berdekatan, tetapi dalam keadaan gelap saya tidak ternampak apa-apa.
Tiba-tiba pandangan saya terarah ke sebuah ambulans yang berada di parkir tersebut. Saya amati betul-betul. Nampak ada cahaya lampu di dalamnya. Saya kerutkan dahi hairan. Dalam hati terfikir kenapa pula lampu di dalamnya terpasang sedangkan ambulans tersebut sudah nampak terbiar dan dipenuhi debu. Nombor platnya juga sudah tiada.
Perlahan-lahan saya hampiri untuk lihat dengan lebih dekat lagi. Fikir saya mungkin ada pekerja yang berada di dalamnya. Saya jengah melalui cermin hadapannya, namun tidak nampak kelibat sesiapa. Bau busuk semakin kuat menusuk hidung sehinggakan saya terpaksa menahan nafas kerana sudah tidak tahan menghidunya.
Sebaik tiba di tingkap belakang kenderaan tersebut saya menghentikan langkah. Telinga serta-merta menangkap bunyi pelik dari dalam kenderaan. Tanpa berlengah saya intai ke arah dalam ambulan melalui cermin di bahagian tepi. Serta-merta saya terpaku.
Mata saya jelas terlihat satu lembaga berambut panjang sedang duduk mencangkung sambil mukanya menghadap pintu belakang yang tertutup. Baju yang dipakainya nampak lusuh dan kusam seakan dipenuhi tompok-tompok berwarna merah seperti darah.
Jantung terus berdegup kencang. Saya gosok mata berkali-kali untuk pastikan apa yang dilihat itu realiti ataupun khayalan Tiba-tiba lembaga tersebut memalingkan muka, nampak jelas bola matanya merah menyala serta lidahnya terjelir panjang mencecah lantai. Saya terpaku dengan mulut terlopong.
Tubuh serta-merta longlai seperti nak pengsan. Saya tak sangka kejadian sebegini berlaku di depan mata. Saya cuba menjerit tetapi suara langsung tidak keluar. Entah syaitan apa yang saya saksikan ini. Cukup menyeramkan.
Saya paksa diri cari semangat dan kekuatan. Dalam keadaan panik saya gagahkan diri untuk beredar. Saya berlari meninggalkan tempat tersebut.
Niat untuk ke tempat kerja terus terbantut. Saya berlari menuju ke arah pintu wad yang terang benderang. Isteri terkejut melihat saya muncul di hadapannya dengan termengah-mengah. Dia kerutkan dahi sambil memandang saya atas bawah.
“Abang ini dah kenapa? Muka pucat semacam saja,” tanya isteri dengan pandangan pelik.
Saya tidak menjawab soalannya. Terus sahaja saya duduk di sebelahnya sambil menghela nafas panjang. Isteri semakin hairan. Raut wajahnya penuh tanda tanya.
“Anak macam mana? Doktor kata okey ke?” tanya saya mengalihkan perbualan.
Isteri hanya mengangguk perlahan. Katanya, doktor sudah beri anak kami ubat dan suhu badannya juga sudah semakin stabil.
“Insya-Allah kalau okey, esok tengah hari dah boleh keluar,” katanya.
“Eh, abang kenapa tak pergi tempat kerja? Kata esok pagi nak jemput saya,” tanya isteri kembali.
Saya pandangnya sambil tersenyum kelat. Saya reka cerita beritahu kononnya penyelia memberikan pelepasan kepada saya hari ini. Isteri mengangguk faham.
Perasaan gelisah masih menghantui diri. Serba tak kena dibuatnya. Saya cuba lelapkan mata namun tidak mampu. Setiap kali kedengaran pintu terbuka saya berasa panik. Pantas menoleh melihat siapa yang muncul.
Sehingga azan subuh berkumandang saya masih terkebil-kebil di kerusi. Dari luar pintu, langit sudah menampakkan sinar cerahnya. Lantas saya ke tandas untuk membasuh muka.
Saya kejutkan isteri yang sedang lena di kerusi. Kata saya lebih baik pulang dahulu bersihkan diri, nanti waktu tengah hari boleh datang semula. Isteri bersetuju, lalu kami berdua keluar menuju ke parkir kereta.
Ketika berjalan menghampiri parkir, saya menoleh ke arah ambulans usang yang meninggalkan pengalaman pahit buat saya tadi. Langsung tidak nampak apa-apa yang pelik. Keadaannya masih sama. Tersadai usang dan berhabuk.
“Kenapa pula abang bersungguh-sungguh tengok ambulans itu? Macam tak pernah jumpa ambulans pula sebelum ini,” kata isteri sambil memandang pelik ke arah saya.
Saya tersenyum. Dalam hati mengomel sendirian. Kalaulah dia tahu ambulans tersebut menyimpan kisah menakutkan, sumpah dia pasti tidak mahu melalui kawasan ini.
Setelah menghidupkan enjin kereta kami berlalu meninggalkan pekarangan hospital. Hati terasa berbelah bahagi sama ada ingin menceritakan perkara tersebut kepada isteri ataupun tidak. Saya takut kalau cerita nanti dia akan lemah semangat pula.
Setelah berfikir panjang saya ambil keputusan untuk rahsiakan sahaja daripada pengetahuannya. Biarlah peristiwa menakutkan itu saya simpan sebagai kenangan. Sehingga kini ambulans usang tersebut masih berada di parkir hospital itu. Kadang-kadang saya terfikir apakah sebenarnya yang berlaku sehinggakan ada ‘sesuatu’ dalam ambulans itu. Mungkin ada yang tahu ceritanya. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya