KISAH yang ingin aku ceritakan ini berlaku pada 2002. Satu pengalaman yang tidak mungkin aku dilupakan. Sebenarnya ada di antara rakan-rakanku yang minta supaya rahsiakan perkara ini daripada pengetahuan umum, namun aku ada sebab tersendiri. Antaranya aku ingin berpesan kepada semua pembaca agar lebih berhati-hati serta menjaga tatatertib dan adab ketika berada di tempat orang, lebih-lebih lagi jika tempat tersebut cukup asing bagi kita. Begini kisahnya.
Ketika cuti hujung minggu, aku bersama empat orang rakan serumah iaitu, Azim, Jebat, Azwan dan Rozmi berkhemah di kawasan rekreasi air terjun di Perak. Kami sampai di situ lebih kurang pukul 1 tengah hari. Sebaik jumpa lokasi menarik untuk mendirikan khemah kami terus meletakkan barang dan bergegas mandi. Memang seronok, tambah pula air terjunnya bersih dan sejuk.
Setelah puas mandi-manda kami memasang khemah. Beberapa kumpulan pengunjung di situ melihat kami dengan kehairanan, sehinggalah salah seorang daripada mereka datang menghampiri dan bertanya.
“Assalamualaikum dik? Abang sekadar nak bertanya. Kamu semua ini nak pasang khemah dan bermalam di sini ke? tanyanya kepada kami.
“Iya bang. Kami semua ini dari Kuala Lumpur. Kalau balik rasa tak berbaloi pula. Alang-alang sampai sini baik kami bermalam je, esok boleh sambung mandi lagi,” jawab Azwan tersengih.
Pemuda berusia dalam lingkungan awal 30-an itu mengerutkan dahi. Sesekali matanya liar memandang sekeliling.
“Macam inilah, biar abang beritahu terus terang. Sebenarnya tak ada orang yang bermalam di sini. Biasanya lepas mandi semua balik, lagi pun rasanya pengunjung tidak dibenarkan bermalam di kawasan air terjun ini,” katanya
Kami berlima hanya tersengih. Masing-masing tiada jawapan.
“Macam inilah, fikirlah baik-baik. Abang tak naklah cerita benda bukan-bukan pula, tapi tempat ini lain macam sikit. Harap faham apa yang abang maksudkan,” katanya sebelum meminta diri beredar.
Kami berpandangan antara satu sama lain. Sebaik mereka beredar kami meneruskan kerja memasang khemah. Sekali sekala kami mengomel tidak puas hati dengan apa yang berlaku tadi.
“Apalah brader tu. Suka sangat percaya perkara karut marut. Sepanjang aku berkhemah ini tak pernah pula aku jumpa hantu ke jembalang ke, aku rasa brader tu mesti banyak sangat tengok cerita Melayu,” kata Jebat kepada kami.
Kami ketawa mengekek. Memang benar kata Jebat. Selama ini sudah puas kami berkhemah di serata tempat, namun tak pernah pula berlaku perkara yang tidak elok,
“Dah nak masuk maghrib rupanya..” kata Azwan sambil melihat jam di tangan.
Keadaan di sekeliling sudah beransur gelap. Bunyi unggas sudah bising memenuhi segenap rimba. Kami menghidupkan unggun api dan mengeluarkan makanan yang dibawa. Jebat membentang tikar di luar khemah sambil bersiul riang.
“Eh, sudah-sudahlah bersiul itu. Kita inikan dalam hutan. Orang tua-tua kata tak baik,” kata Rozmi sambil mengeluarkan makanan.
Jebat langsung tidak ambil peduli, malah siulannya semakin kuat dan berlagu. Aku dan rakan-rakan tidak lagi menegurnya kerana sudah tahu perangainya. Lagi ditegur lagi galaklah dia buat.
Malam semakin larut. Persekitaran sudah bertukar gelap gelita. Yang kelihatan hanya samar bongkahan batu serta deretan pohon berdekatan. Bunyi deras deruan air dari bukit dan unggas di sekeliling semakin galak. Kami berlima masih duduk menjamu selera di hadapan unggun api yang masih menyala.
Sedang rancak berbual dan bergelak ketawa tiba-tiba kami terdiam apabila terdengar bunyi cukup pelik. Seakan bunyi siulan yang cukup panjang dan berlagu. Kami berpandangan.
“Eh, bunyi apa itu? tanya Azim dengan dahi berkerut.
Kami berlima pasang telinga sambil mata liar mencari dari mana datangnya bunyi tersebut.
Bunyi siulan itu semakin kuat dan mendayu. Kami mula berasa cuak. Dalam hati risau juga kalau-kalau ada binatang buas atau sebagainya. Aku suruh Azim ambil lampu suluh besar kepunyaannya di dalam khemah.
Azim menyuluh sekeliling. Cahaya daripada lampu suluhnya menerangi persekitaran rimba berdekatan.Tiba-tiba kami terpaku. Jantung seakan berhenti berdegup.
Cahaya lampu suluh yang di tangan Azim tepat menyuluh ke arah satu sosok berpakaian serba putih berdiri berhampiran sebuah pokok besar berdekatan kami.
Azim kaget. Sosok tersebut sedang menundukkan kepalanya. Rambutnya panjang mengurai menyentuh bumi. Dia berdiri tegak tanpa bergerak.
Azim terketar-ketar memegang lampu suluh di tangannya. Aku tidak pasti apa yang ada di fikirannya ketika itu, Kami semua masih terlopong dan hilang kata-kata.
Tiba-tiba lembaga tersebut ketawa perlahan-lahan. Bahunya terhinggut-hinggut. Bunyinya pula cukup menyeramkan. Kami yang berada di situ masih kaget tanpa sebarang kata. Aku cuba menyusun patah ayat-ayat suci al-Quran di kepala, namun semuanya tunggang langgang.
Suara ketawa yang pada mulanya perlahan sudah bertukar nada menjadi kasar dan garau.
Tiba-tiba Rozmi melaungkan azan dengan kuat. Suaranya memecah kesunyian malam. Sosok tersebut serta-merta hilang daripada pandangan namun hilaiannya masih jelas kedengaran seolah-olah dia masih berada di situ.
“Jom cepat kita kemas barang dan balik. Takkan nak bermalam di sini pula,” kataku kepada mereka.
Kami bergegas ke khemah dan mengemas barang-barang. Ketika itu kami sekadar mencapai apa sahaja yang ada di depan mata. Yang ada dalam fikiran ketika itu adalah beredar dari situ secepat mungkin.
Setelah barang-barang dimasukkan ke dalam beg, kami bergegas menuruni kawasan air terjun tersebut untuk menuju ke tempat letak kereta.
Beberapa kali juga kami tersadung batu dan akar pokok akibat bertolakan sesama sendiri.
Hampir 15 minit kemudian barulah kami sampai di tempat parkir. Selesai memasukkan barang-barang dan beg ke dalam bonet kereta kami terus bergegas meninggalkan kawasan tersebut.
Kami ambil keputusan untuk terus pulang ke Kuala Lumpur. Sepanjang perjalanan kami langsung tidak singgah di mana-mana perhentian rehat kerana peristiwa yang berlaku itu masih menghantui fikiran. Dalam kenderaan kami lebih banyak diam serta melayan perasaan memikirkan apa yang menimpa sebentar tadi.
Sejak kejadian tersebut kami langsung tidak pernah berkhemah dan bermalam di mana-mana tempat rekreasi lagi. Peristiwa tersebut meninggalkan kesan cukup mendalam buat kami berlima.
Kepada semua pembaca, aku juga ingin berpesan jika ada di antara anda yang sukakan aktiviti luar seperti berkhemah di hutan, gunung atau sebagainya berhati-hatilah. Perlu jaga tingkah laku dan adab. Dan yang paling penting jangan sesekali meremehkan nasihat orang lain. – MINGGUAN MALAYSIA