'Dah lama aku di luar, bukalah pintu!' - Utusan Malaysia

‘Dah lama aku di luar, bukalah pintu!’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MALAM itu aku menumpang tidur di rumah rakanku Sarip kerana keesokannya kami bercadang untuk pergi temuduga kerja di sebuah pasar raya berdekatan rumahnya.
Awal-awal lagi aku sudah beritahu emak dan ayah untuk cari kerja sambilan kerana sekarang ini cuti panjang sementara menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Jadi daripada melepak di rumah, baik aku keluar bekerja. Sekurang-kurangnya dapat juga duit poket.
Jarak di antara rumah aku dan Sarip tidaklah jauh mana, lebih kurang empat kilometer sahaja, tetapi disebabkan orang tuanya tiada di rumah kerana menziarahi kakaknya yang baru lepas bersalin di Kuala Lumpur, terus dia ajak aku bermalam di rumahnya. Katanya, adalah juga teman bersembang.
Selesai makan malam di warung berdekatan kami pulang ke rumah. Ikutkan ibunya sudah siap tinggalkan makan malam untuk kami berdua, namun kami ambil keputusan untuk makan di luar, maklumlah jiwa remaja. Rasa lebih seronok melepak di luar daripada seharian terperuk di rumah.
Kami sampai di rumah ketika jam menghampiri 12 tengah malam. Mata pun sudah mula layu kerana mengantuk. Aku beritahu Sarip tidak mahu tidur di bilik bersamanya kerana lebih selesa tidur di atas sofa ruang tamu. Sarip lantas memberiku selimut dan bantal.
“Esok, kalau kau terbangun awal jangan lupa kejut aku,” katanya sambil melangkah masuk ke dalam bilik.
Aku hanya tersengih kelat. Tidak tahu jam berapa rasanya boleh terbangun esok pagi kerana badan rasa cukup letih kerana seharian berada di luar.
“Tapi kalau kau terbangun awal jangan lupa kejutkan aku pula,” sampukku sambil merebahkan badan di sofa.
Sarip tidak membalas kata-kataku. Yang aku dengar hanyalah bunyi daun pintu ditutup. Aku jeling jam di ruang tamu. Sudah hampir 12.30 malam. Suasana di luar sunyi, yang kedengaran hanyalah desiran angin dan diselangi sayup-sayup salakan anjing.
Aku beralih ke kiri dan ke kanan. Susah benar rasanya untuk lelapkan mata. Pelik sungguh. Tadi mata rasa berat sangat, tetapi bila baring begini rasa segar pula. Aku mengomel sendirian dalam hati.
Sedang mata berkira-kira hendak lelap, tiba-tiba terdengar deringan telefon di meja berdekatan. Walaupun tidak kuat, namun jelas kedengaran. Aku bingkas bangun. Sangkaku telefon bimbitku berbunyi, rupa-rupanya telefon di dalam rumah. Siapa pula yang menelefon malam-malam ini, getusku dalam hati.
Aku terfikir untuk mengejutkan Sarip di bilik, tetapi rasa kasihan pula. Mungkin dia sudah lena tidur. Jadi aku ambil keputusan untuk jawab panggilan tersebut. Jika ada perkara penting nanti barulah aku kejutkan Sarip, fikirku dalam hati.
“Hello, siapa tu?” tanyaku. Suasana senyap seketika. Aku lekapkan ganggang telefon rapat ke telinga.
“Hah, dah lama aku di luar ini. Bukaklah pintu!” jawab suara di hujung talian.
Aku tersentak dan bingkas bangun. Melalui suara yang ku dengar, aku tahu itu ialah ayah Sarip. Memang aku cam sangat suaranya kerana sebelum aku dan Sarip menggunakan telefon bimbit, aku selalu menghubungi telefon di rumahnya dan ayahnya yang sering menjawab panggilan.
Aku terfikir untuk kejutkan Sarip, tetapi kasihan pula jika ayahnya menunggu lama di luar, jadi aku terus membuka pintu. Perlahan-lahan aku buka pintu. Tetapi tidak nampak pula sesiapa di luar. Aku hairan.
“Hah, nasib baik kau tak tidur lagi, kalau tidak lama lagilah kami di luar ini,” sahut suara garau berdekatan.
Tersirap darahku. Serta merta aku menoleh. Kelihatan ayah dan ibunya terpacul dari tepi rumah. Aku tersengih kelat sambil mempersilakan mereka masuk. Sungguh aku berasa segan yang teramat ketika itu.
“Err…nak saya kejutkan Sarip ke pakcik?’ tanyaku ke arah lelaki separuh abad yang baru melangkah masuk ke ruang tamu itu.
“Tak payahlah. Dia dah tidur tu. Biarkan sajalah,” katanya perlahan. Aku hanya tersengih sambil mengangguk.
“Kamu pun pergilah tidur. Dah lewat malam ini,” kata ayahnya lagi sambil melangkah menuju ke biliknya di belakang.
“Baik pakcik, makcik. Selamat malam ye,” kataku perlahan sambil menuju ke sofa tempat baringku sebentar tadi.
Pasangan suami isteri itu tidak membalas kata-kataku. Mungkin mereka letih dan mengantuk agaknya. Jika tidak tak mungkin ibu Sarip langsung tidak bercakap walau sepatah kerana setahu aku dia cukup ramah. Lagipun bukannya dia tak kenal aku, malah sudah selalu aku datang ke rumahnya.
Namun hatiku berkata juga kenapalah mereka balik pada lewat malam begini sedangkan Sarip beritahu ayah dan ibunya akan pulang dua hari lagi.
Aku cuba bersangka baik. Mungkin ada sebab musababnya mereka pulang awal, kalau tidak, tak mungkinlah malam-malam buta begini mereka sanggup balik, fikirku dalam hati.
Aku sendiri tidak perasan jam berapa aku terlelap. Sedar-sedar sahaja hari sudah cerah. Sarip pula baru selesai mandi.
“Hah, bangun cepat. Lepas kau mandi jom kita pergi sarapan di kedai mamak biasa,” katanya sambil memberikan aku sehelai tuala.
Aku mencapai tuala yang dihulurkan dan menuju ke bilik mandi. Setelah selesai bersiap aku kemas bantal dan selimut di sofa.
“Jom kita gerak beb,” katanya sambil melangkah ke luar.
“Eh, tak payahlah kau kunci mangga itu, nanti ayah dan emak kau nak keluar susah pula,” kataku kepadanya yang sedang mengunci mangga di pagar luar rumah ketika itu.
Sarip mengerutkan dahi kehairanan.
“Ayah dengan emak aku nak keluar ke mana pula? Mereka bukan ada di rumah pun,” katanya kepadaku.
Aku tersengih. Nampaknya Sarip masih tidak tahu yang ayah dan ibunya sudah pulang ke rumah malam tadi. Lantas tanpa berselindung aku berterus terang.
“Ayah dan emak kau sudah baliklah beb. Malam tadi dia orang balik. Aku yang buka pintu. Aku ingat nak kejutkan kau, tapi ayah kau tak kasi,” kataku berterus terang.
Sarip terdiam. Dia lantas membuka kunci mangga tersebut dan mengajakku masuk ke dalam rumah.
Sampai di hadapan bilik ayahnya dia perlahan-lahan membuka pintu.
“Beb, mari sini kejap,” katanya ke arahku yang masih tercegat di ruang tamu.
“Cuba kau tengok bilik ni. Mana ada sesiapa. Kan aku kata ayah dengan emak aku balik lusa,” katanya sambil memandangku dengan wajah keliru. Aku terdiam. Aku yang tidak berpuas hati terus meninjau ke segenap ceruk bilik yang tersusun kemas itu. Benar, tiada sesiapa di situ.
Aku mengusap muka perlahan. Aku ceritakan apa yang berlaku malam tadi. Sarip memandangku dengan pucat lesi. Nampak raut wajahnya yang gelisah dan tidak keruan.
“Beb, telefon itu sudah lama tak boleh guna. Hampir sebulan rasanya. Sejak ayah aku pakai telefon bimbit, telefon di ruang tamu itu memang jadi hiasan saja,” katanya kepadaku.
Aku kelu. Tidak tahu apa yang perlu diperjelaskan ketika itu. Tak mungkin pula aku bermimpi. Aku masih ingat segala-galanya. Tiba-tiba aku terfikir. Jika benarlah apa yang berlaku malam tadi adalah realiti, jadi siapakah sebenarnya yang melangkah masuk ke rumah itu. Tiba-tiba bulu romaku tegak berdiri. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya