USAHA merencana dasar luar negara ialah antara perkara penting yang dilaksanakan oleh mana-mana negara apabila terbentuknya sesebuah kerajaan. Dalam hal ini, Malaysia juga tidak terkecuali. Baru-baru ini, Majlis Perundingan Dasar Luar Negeri (CCFP) telah mengadakan mesyuaratnya yang pertama. Ia merupakan satu inisiatif penting dalam usaha untuk membentuk kerangka dasar luar Malaysia di bawah kerajaan yang baharu dibentuk baru-baru ini.
Antara agenda utama yang dibincangkan dalam mesyuarat tersebut ialah mengenai diplomasi kesihatan, kepentingan multilateralisme, ekonomi digital, keselamatan siber, matlamat pembangunan mampan (SDG) dan diplomasi kebudayaan.
Inisiatif ini bukanlah bertujuan untuk menggubal semula dasar luar Malaysia, tetapi hanyalah sebagai satu cara untuk memastikan penerusan perkara asas dalam pelaksanaan dasar luar Malaysia yang telah diamalkan sejak sekian lama. Ini termasuklah aspek yang berkaitan dengan kedaulatan negara serta usaha untuk mempertahankan kepentingan nasional dalam bidang politik, ekonomi dan sosial.
Sebagaimana yang kita semua sedia maklum, dasar luar Malaysia meletakkan ASEAN sebagai keutamaan, mengamalkan prinsip berbaik-baik dengan semua negara dan memainkan peranan penting di semua platform antarabangsa yang penting seperti Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Komanwel.
Kerajaan juga sudah pasti ingin melihat agensinya, Wisma Putra, berusaha untuk mencari pendekatan dan fokus bidang yang baru yang ingin diketengahkan sebagai satu usaha untuk memperkukuhkan lagi fungsi dan peranannya sebagai badan penting dalam pelaksanaan dasar luar Malaysia.
Selain daripada itu, perkembangan beberapa isu serantau dan antarabangsa terkini, seperti di Myanmar, Afghanistan, Timur Tengah dan Afrika, dijangka akan menjadi tumpuan utama dalam pelaksanaan dasar luar Malaysia di bawah tampuk pemerintahan kerajaan baharu ini.
Usaha untuk merencana dasar luar Malaysia di bawah kepimpinan baharu ini ialah sesuatu yang sangat penting untuk dilaksanakan dan dicapai matlamatnya. Antara faktor penting yang mendorong kepada perlunya usaha sebegini ialah seperti berikut:
Pertama, perubahan senario dan iklim politik dalam negara yang sangat ketara khasnya sejak berlakunya perubahan tampuk pemerintahan kerajaan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) daripada Barisan Nasional (BN) kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan seterusnya membawa kepada penubuahan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang baru sahaja tamat jangka hayatnya beberapa minggu lalu, serta penubuhan kabinet kerajaan baharu yang pada ketika ini diterajui oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Kedua, perubahan senario dan iklim politik antarabangsa yang berlaku disebabkan oleh ancaman dan impak pandemik Covid-19 yang sedang hebat melanda seluruh dunia. Pandemik ini bukan sahaja mengancam kesihatan dan survival penduduk dunia, malah ia juga turut menjejaskan aspek ekonomi dan perdagangan antarabangsa, serta turut mengubah cara interaksi politik dan diplomasi negara-negara dunia termasuk Malaysia.
Dan ketiga, wujud kesedaran politik disebabkan oleh faktor satu dan dua di atas untuk bertindak merencana sesuatu khasnya yang berkaitan dengan aspek dasar luar Malaysia bagi tujuan untuk memastikan penerusan survival Malaysia di pentas serantau dan antarabangsa tidak terbantut.
Sehubungan dengan itu, kita sangat mengalu-alukan penubuhan CCFP sebagai satu cara untuk menbantu kerajaan dalam merencana pembentukan kerangka dasar luar Malaysia di bawah tampuk pemerintahan kerajaan hari ini.
Pun begitu, usaha ini mestilah dilakukan dengan sebaik mungkin dengan mengambilkira matlamat kepentingan nasional, sensitiviti rakyat, perlembagaan persekutuan dan juga aspirasi-aspirasi penting yang sesuai dengan negara ini.
Justeru itu, komposisi majlis ini diharapkan terdiri (kebanyakkannya) dalam kalangan pakar-pakar dan bijak pandai dalam bidang politik dan hubungan antarabangsa serta bidang-bidang sampingan yang lain seperti ekonomi, perdagangan, budayawan, teknokrat, saintis, badan pemikir (think-tank) dan pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Pakar-pakar cerdik pandai dalam bidang politik dan hubungan antarabangsa khasnya dari kalangan anak tempatan dari universiti tempatan mesti diberi peluang untuk menganggotai majlis ini kerana kepakaran mereka yang tersohor dan dikenali dalam bidang ini serta sering menjadi rujukan media arus perdana.
Malaysia tidak pernah kekeringan pakar dan bijak pandai dalam bidang politik dan hubungan antarabangsa untuk diketengahkan sebagai penasihat kepada kerajaan khasnya Wisma Putra. Sekurang-kurangnya, calon-calon untuk menganggotai majlis ini terdiri dari kalangan mereka yang berstatus profesor atau yang setaraf dengannya dalam bidang politik, hubungan antarabangsa, politik antarabangsa dan juga mungkin dalam bidang pengajian strategi dan keselamatan.
Mungkin juga beberapa tokoh dari Majlis Profesor Negara (MPN) boleh diketengahkan sebagai calon yang sesuai. Ini kerana mereka ini sangat arif dengan bidang masing-masing dan dipercayai akan mampu memberikan idea dan buah fikiran kepada kerajaan selaras dengan aspirasi kerajaan yang sedia ada, rakyat serta negara ini.
Apa yang paling penting dalam usaha untuk merencana pembentukan kerajaan dasar luar Malaysia ialah untuk mengelakkan potensi campur tangan asing atau negara asing yang akan sentiasa berusaha untuk menyelinap masuk dengan pelbagai cara dalam organisasi dan institusi kerajaan.
Tindakan melantik individu yang mempunyai hubungan ‘istimewa’ dengan negara asing boleh menjurus kepada berlaku senario sebegini. Hasilnya ialah dasar luar negara mungkin akan disabotaj daripada dalam untuk kepentingan negara-negara tertentu.
Kita tidak perlu belajar terlalu tinggi untuk memahami potensi senario sebegini. Ini kerana dalam politik, segalanya berkemungkinan berlaku dan dasar luar negara ialah sebahagian daripada elemen politik dalam sesebuah negara.
Adalah diharapkan penubuhan CCFP yang menggabungkan kepakaran ahli dalam pelbagai bidang ini berupaya untuk menyumbang secara positif ke arah proses pembentukan kerangkan dasar luar negara yang lebih dinamik dan praktik serta mampu berdaya tahan bagi menghadapi cabaran semasa khasnya ancaman pandemik Covid-19.
Kita juga turut mengharapkan supaya pembentukan dasar luar Malaysia di bawah tampuk kepimpinan yang baharu ini selari dengan aspirasi negara dan selaras dengan konsep Keluarga Malaysia yang akan sentiasa meletakkan matlamat kesejahteraan rakyat sebagai fokus utamanya.
Muhammad Afifi Abdul Razak ialah felo penyelidik di UUM Research Institute for Indonesia, Thailand and Singapore (UUM-ITS), Universiti Utara Malaysia (UUM)