Oleh Dr. Kamarulnizam Abdullah
Saya pernah menyuarakan pendapat di dalam beberapa forum lain sebelum ini dengan berhujah bahawa politik antarabangsa sekarang ini sedang di ambang Perang Dingin 2.0. Perang Dingin 1.0 (1945-1990) merupakan konflik ideologi politik antara blok barat yang diketuai oleh Amerika Syarikat (AS) dengan blok sosialis Kesatuan Soviet (KS) dengan sekutunya. Secara geografinya, persaingan ketenteraan dan politik tersebut tertumpu di Eropah yang mana benua tersebut telah berpecah kepada blok Timur dan Barat.
Di dalam Perang Dingin 2.0, fokus geostrategi telah beralih di kawasan Asia-Pasifik. Kali ini pertembungan kuasa tertumpu antara AS dengan China. Walaupun kedua-dua kuasa besar ini mempunyai ideologi politik berbeza, pertembungan mereka lebih tertumpu kepada penguasaan kepentingan geostrategik dunia berkaitan persaingan ekonomi dan pengembangan pengaruh politik, diplomasi, dan ketenteraan. Asia-Pasifik pula telah dijenamakan semula kepada konsep geopolitik Indo-Pasifik bagi menggambarkan satu persaingan strategik baharu sistem antarabangsa.
Konsep penjenamaan geostrategi ini mengakui kepentingan hubungan antara ekonomi, politik dan keselamatan dalam kalangan negara Asia yang terletak antara Lautan Hindi dan Pasifik dalam satu ekosistem strategik antarabangsa. Dari sudut geografinya, ia merangkumi Australasia, Asia Selatan, Asia Tenggara, dan Asia Timur.
Terminologi Indo-Pasifik juga adalah sebahagian dasar luar yang dipopularkan secara bersama antara India dan Jepun sebagai salah satu isyarat kepada transformasi orde terbaharu di Asia. Orde politik baharu ini merujuk kepada pengembangan kuasa China di pentas dunia melalui strategi OBOR (One Belt One Road).
Seperti mana terdahulu, Perang Dingin 2.0 mengembalikan persaingan kuasa ini dengan ketegangan diplomasi berterusan melalui pembentukan pakatan dan pakatan balas dua blok utama, perlumbaan senjata kuasa-kuasa besar, dan penumpuan strategi cegah rintang yang menekankan kepada penguasaan senjata nuklear.
Latar belakang di atas menjelaskan perkembangan terbaharu. Pakatan trio keselamatan antara Australia, Britain, dan AS yang dikenali sebagai AUKUS telah menggetarkan kebimbangan malah mengesahkan naratif sebelum ini bahawa Indo-Pasifik telah menjadi pusat baharu Perang Dingin 2.0.
Penubuhan pakatan trio AUKUS juga mungkin sesuatu perkembangan biasa di rantau ini kerana telah wujud beberapa pakatan keselamatan seperti Pakatan Pertahanan Lima Negara (FPDA) yang dianggotai juga oleh Malaysia, dan perjanjian keselamatan AS dengan beberapa negara lain seperti Filipina, Jepun, Taiwan, dan Korea Selatan.
Namun AUKUS berbeza kerana ia membabitkan pembangunan kapal selam bertenaga nuklear. Di samping itu, pemerolehan kapal selam bertenaga nuklear ini juga mencetuskan cabaran kepada pendirian negara anggota Pertubuhan Negara-negara Asia Negara (ASEAN) telah lama komited mewujudkan rantau yang bebas daripada senjata nuklear melalui (Perjanjian SEANWFZ yang ditandatangani pada 1995. Perjanjian ini adalah kesinambungan komitmen negara anggota untuk mewujudkan rantau yang aman dari konflik melalui Perjanjian Keamanan, Bebas dan Berkecuali ASEAN (ZOPFAN) sejak 1971.
Hanya ada enam negara mempunyai keupayaan kapal selam bertenaga nuklear- AS, Britain, China, India, Perancis, dan Rusia. Australia adalah negara ketujuh yang akan mempunyai aset tersebut. Australia sudah tentu akan melengkapi kapal selam bertenaga nuklearnya dengan keupayaan pelancar sistem balistik misil jarak jauh mahupun sederhana. Keupayaan sistem pelancar balistik juga boleh membawa senjata nuklear sebagai ciri strategik.
Pakatan ini sekali gus membuka perdebatan mengenai keseimbangan dan kestabilan rantau Asia Tenggara yang sedang berhadapan taktik diplomatik keras China di dalam menyelesaikan isu bertindih di Laut China Selatan. Kehadiran AS sebagai kuasa pelindung rakan strateginya di Asia Tenggara boleh menjadikan isu tuntutan bertindih ini pemacu kepada konflik yang lebih besar dan sukar untuk diatasi.
Sehingga kini negara Asia Tenggara dengan isu bertindih ini menekankan strategi hedging antara dua kuasa besar yang terlibat. Pendekatan yang sering digunakan oleh negara kecil ini menekankan kepada keseimbangan diplomasi politik. Ia merupakan dasar berimbang tetapi bukan pendekatan neutral atau sifat tidak berpihak yang mutlak. Pendekatan ini lebih kepada strategi negara kecil mengambil kesempatan keupayaan yang ditawarkan oleh dua kuasa dalam sesuatu isu.
Ini menjelaskan kenapa Malaysia dan Indonesia menyuarakan kebimbangan mereka terhadap penubuhan AUKUS. Ia akan menyukarkan kedua negara untuk membuat pendirian tidak berpihak. Kedua-dua negara juga tidak boleh menyatakan pendirian berpihak ataupun neutral kerana AS dan China adalah sama pentingnya kepada kepentingan strategik masing-masing.
Pembentukan AUKUS juga menunjukkan bibit perbezaan dalam kalangan negara ASEAN. Filipina menyatakan sokongannya manakala negara yang rapat dengan AS seperti Singapura dan Thailand masih memerhati perkembangan selanjutnya.
Perbezaan respons ini adalah perkembangan tidak baik dalam kesatuan dan solidariti ASEAN yang sememangnya jelas menolak sebarang percubaan untuk menjadikan rantau ini medan perlumbaan senjata nuklear. Sejak sekian lama, ASEAN bersatu dalam memastikan rantau ini sebagai rantau yang aman, bebas dan berkecuali.
AUKUS mempamerkan keretakan dalam pakatan keselamatan Barat. Kemarahan Perancis terhadap keputusan Australia membatalkan perolehan kapal selam bertenaga diesel kepada nuklear mencetuskan konflik diplomatik dua negara.
Langkah tikam belakang Canberra juga mempunyai kesan limpahan diplomatik Paris dengan London dan Washington. Hubungan Perancis-Britain mengalami beberapa episod turun naik melalui perang dan konflik berabad lamanya manakala Perancis melihat AS sebagai yang tidak tahu diuntung kerana sikapnya yang mementingkan diri sendiri.
Pembentukan AUKUS secara jelas merupakan dasar konfrontasi terbuka blok Anglo-Saxon ini berhadapan dengan kebangkitan ekonomi dan ketenteraan China. Sejak berakhirnya Perang Dingin, AS dan sekutu Baratnya terus menerus memastikan tidak ada kuasa besar lain yang boleh mendominasi sistem politik dan ekonomi antarabangsa. Tapi China telah mencabarnya.
Apa yang lebih membimbangkan AUKUS adalah provokasi kepada China. Beijing sudah tentu tidak akan berpeluk tubuh kerana kedudukan hegemoninya di Asia semakin digugat oleh kuasa Barat. Ini sudah tentu membuka ruang persaingan besar antara China dan AS bersama sekutu masing-masing. Negara kuasa kecil dan sederhana Asia Tenggara pula akan berhadapan dengan dilema keselamatan akibat perkembangan terbaharu ini.
PENULIS ialah Felo Kanan di Institut Hal-Ehwal Antarabangsa dan Diplomasi Asia (AIIAD), UUM, dan Timbalan Presiden Pertubuhan Cendekiawan Negara.