SAMBUTAN Hari Kebangsaan pada tahun ini memasuki tahun kedua diraikan dalam suasana pandemik. Seluruh negara masih dalam kegelisahan di kala jumlah kes baharu harian Covid-19 kekal konsisten sekitar 20,000 sejak beberapa minggu lalu. Kadar kematian harian turut berada di tahap tinggi iaitu sekitar 200 kes sehari.
Untuk mencapai kemerdekaan pada 1957, rakyat melalui keperitan dan pelbagai kesengsaraan dalam perjuangan menentang penjajah. Ada yang berjuang dengan mengangkat senjata, ada yang menggunakan ketajaman mata pena, ada yang mempertaruhkan harta benda manakala yang bijak pandai menyemai semangat kebangkitan rakyat melalui gerakan politik dan diplomasi. Dengan semangat patriotik dan satu hati yang jitu, terlucutlah bendera Union Jack dan terkibarlah Jalur Gemilang keramat menjelang detik 12 tengah malam, 31 Ogos 1957.
64 tahun berlalu, kini negara umpama dijajah kembali. Namun, penjajahan kali ini tanpa ketumbukan tentera jauh sekali pertempuran bersenjata. Yang ada hanyalah musuh tidak nampak yang membunuh dan menyekat kebebasan keseluruhan penduduk sebuah negara yang merdeka.
Penguatkuasaan proklamasi darurat baru-baru ini seolah-olah mengimbau saat ketakutan massa di era penjajahan. Krisis kesihatan berpanjangan, pergerakan rakyat tersekat, sektor ekonomi menuju kelumpuhan, kadar kemiskinan membarah, institusi pendidikan terbantut ditambah kecelaruan politik dan kepimpinan negara. Situasi ini umpama medan perang dan menuntut rakyat keseluruhannya bangkit berjuang untuk mengecapi kembali sebuah kemerdekaan.
Perjuangan melawan penjajahan pandemik ini sememangnya sukar kerana ia musuh yang tidak zahir. Pertempuran bukan dengan senjata tetapi kesiapsagaan kendiri melalui vaksinisasi, sanitasi dan pematuhan SOP.
Perjuangan ini bukan sahaja memerlukan iltizam yang kuat untuk diri serta keluarga bertahan daripada tekanan ekonomi dan sosial tetapi turut menagih solidariti dalam saling membantu insan sekeliling yang terpalit kesempitan.
Rakyat pada masa ini sememangnya sedang berjuang. Perjuangan maknawi melawan kehendak nafsu dan keinginan untuk bergerak bebas, melancong, bersosial, berhibur secara terbuka dan pelbagai sekatan lain telah menjadi satu tanggungjawab bagi setiap penduduk. Inilah perjuangan suci kita untuk pertiwi tercinta.
Melawan pandemik merupakan satu perjuangan yang memerlukan daya tahan yang kuat kerana ia mungkin akan mengambil masa yang panjang untuk reda. Dengan sebab itulah seluruh warganegara perlu memaknai sambutan kemerdekaan kali ini dengan semangat perjuangan para pejuang kemerdekaan kita yang dahulu. Perjuangan mereka pantang berundur, perjuangan mereka tanpa lelah, perjuangan mereka sehingga Malaya merdeka. Semangat perjuangan inilah yang sepatutnya menjadi iltizam dan jihad kita sekarang.
Yakinlah, segala pengorbanan kita dalam perjuangan hari ini pasti akan berjaya meletakkan Malaysia kembali bangkit dalam carta negara hebat di dunia. Salam kemerdekaan dan salam perjuangan buat seluruh rakyat Malaysia, semoga kita merdeka daripada pandemik Covid-19!
PENULIS ialah Ketua Jabatan Komunikasi Korporat, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia.