SAUDARA PENGARANG,
WAKAF merupakan salah satu bentuk ibadah kepada Allah SWT dan penting dalam menyelesaikan permasalahan umat Islam pada hari ini. Amalan wakaf sudah lama diamalkan dan diteruskan sahabat sejak zaman Nabi Muhammad SAW. Dana wakaf adalah untuk kepentingan dan pengembangan syiar Islam.
Peranan wakaf dapat membantu masyarakat yang memerlukan dalam beberapa aspek kesihatan, pendidikan, pembinaan kediaman, masjid, rumah anak yatim dan sebagainya.
Sistem kesihatan negara kian mencabar di era pandemik Covid-19 yang melanda apabila kekurangan katil, alat bantuan pernafasan serta alat bantuan lain yang penting untuk kegunaan pesakit Covid-19.
Penggunaan dana wakaf boleh digunakan untuk membina pusat perubatan dan hospital dengan kapasiti lebih besar serta memiliki kemudahan lengkap dalam membantu hospital sedia ada. Dalam konteks ini, walaupun di Malaysia terdapat hospital dan klinik yang disediakan oleh kerajaan dan swasta, namun institusi wakaf dilihat turut berperanan dalam menyediakan kesihatan dengan kos yang murah serta dapat menyelesaikan masalah kesihatan yang dihadapi oleh masyarakat daif, memerlukan bantuan serta jika dalam keadaan darurat seperti berlakunya wabak yang dahsyat seperti Covid-19.
Penubuhan wakaf kesihatan adalah bagi tujuan kebajikan dengan menawarkan rawatan pada kos minimum. Apabila semua golongan masyarakat mendapat kemudahan rawatan kesihatan, maka dari sudut insani, mereka turut sihat dan bahagia, ia membuka taraf ekonomi keluarga mereka seterusnya dapat menyelesaikan masalah yang banyak melanda umat Islam.
Wakaf boleh menjadi satu alternatif bagi membantu meringankan beban kerajaan dan masyarakat. Wakaf akan terus menjadi sumber kekuatan ekonomi umat Islam, sekiranya rakyat mempunyai kesedaran dan menyokong institusi atau badan yang menganjurkan wakaf.
Penglibatan institusi berkaitan wakaf di peringkat nasional dan negeri dengan kerjasama Majlis Agama Islam Negeri-negeri perlu dilaksanakan secara holistik dan komprehensif dalam usaha membangunkan wakaf.
Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: “Apabila seseorang anak Adam itu meninggal dunia, maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dengannya dan anak soleh yang mendoakan untuknya”.
Ingatlah kita manfaat berwakaf itu iaitu ganjaran pahala bagi mereka yang berwakaf akan terus mengalir selagi ia diguna dan dimanfaatkan. Marilah kita sama-sama berwakaf supaya menjadi bekalan di akhirat kelak.
MOHD. YAKOP IKRAM, Ipoh, Perak.