PERDANA Menteri ke-9 telah selesai pelantikannya pukul 2.40 petang semalam. Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah sah sebagai Perdana Menteri menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meletakkan jawatan pada 16 Ogos lalu. Proses pemilihan perdana menteri baharu berjalan lancar dengan struktur politik dan pentadbiran serta kebijaksanaan dan kecekapan Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua negara.
Episod pemilihan perdana menteri telah berakhir. Sekarang kita memasuki satu tahap yang tidak kurang pentingnya iaitu pengukuhan serta perjalanan berkesan kerajaan baharu di bawah pimpinan Ismail Sabri. Kerajaan yang baru dibentuk ini perlu dipertahankan, paling kurang sampai ke Pilihan Raya Ke-15 (PRU-15). Jangan timbul lagi perpecahan di tengah jalan.
Ini sedang diperhatikan oleh rakyat di seluruh negara dan juga mereka di luar negara. Mampukah kerajaan yang dibentuk dengan majoriti kecil 114 ahli Parlimen daripada 220 kesemuanya? Kerajaan ini hanya berjaya dibentuk dengan empat undi majoriti (majoriti mudah adalah 111 undi).
Kita semua berharap kerajaan ini akan terus kuat dan mantap serta berkesan dan berjaya menyelesaikan masalah yang sedang dihadapi negara, iaitu isu kes baharu Covid-19 mencanak yang masih serius dan masalah pertumbuhan ekonomi yang belum selesai serta kadar pengangguran tinggi. Selesainya isu politik dengan pelantikan perdana menteri baharu benar-benar diharap akan menjadi langkah pertama dalam menyelesaikan masalah sosial kesihatan dan masalah ekonomi.
Ketiga-tiga ini saling berkaitan dan mempunyai hubungan yang rapat antara satu sama lain. Masalah krisis politik diharapkan tidak berulang lagi dan diharapkan akan terus kukuh di bawah pimpinan Ismail Sabri. Bagaimanapun, persoalan politik adalah persoalan sukar ditentukan dengan benar-benar tepat.
Dua kali dua jawapannya tidak sentiasa empat. Sokongan yang diberikan kepada Ismail Sabri mungkin boleh berubah. Dengan penarikan empat ahli Parlimen sahaja kerajaan ini boleh runtuh. Komponen utama yang membentuk kerajaan pimpinan Ismail Sabri iaitu UMNO (37 kerusi), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (31), Pas dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) masing-masing 18 kerusi adalah parti-parti utama di samping Bebas, Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Parti Solidariti Tanah Airku Sabah (STAR) dan Parti Bersatu Sabah (PBS).
Adalah wajar sekali kesemua ahli Parlimen yang membentuk kerajaan ini benar-benar ikhlas dan jujur serta tidak meletakkan kepentingan diri, jawatan dan material dalam memberikan sokongan. Penekanan ini perlu selalu diutarakan oleh pimpinan utama kerajaan dan setiap parti komponen. Untuk kepentingan politik yang lebih jauh, semua ahli perlu memberikan keyakinan kepada rakyat dan para pengundi khususnya bahawa mereka benar-benar ikhlas dan bersifat negarawan (bukan hanya sebagai ahli politik yang bersandarkan kepada kepentingan diri, material dan jangka pendek).
Persoalan yang pasti timbul dalam masa terdekat adalah pelantikan anggota Kabinet dan kerusi timbalan perdana menteri. Persoalan pembentukan Kabinet dan jawatan timbalan perdana menteri perlu diberikan kepercayaan kepada perdana menteri. Perdana menteri perlu mengendalikannya dengan wajar dan rasional serta logik politik demokrasi yang boleh diterima umum. Bilangan yang besar anggota kabinetnya seperti yang terbentuk sebelum ini adalah tidak begitu wajar.
Kritikan rakyat sebelum ini harus diambil perhatian. Hanya menteri dan kementerian yang benar-benar penting perlu dibentuk. Pelantikan menteri dan timbalan menteri yang besar dengan tujuan sokongan politik kepada perdana menteri dan kerajaan adalah tidak wajar dilakukan sekarang.
Perbincangan dengan parti-parti utama iaitu UMNO, Bersatu, Pas dan GPS dengan peruntukan setara dan wajar serta diterima oleh parti masing-masing adalah perlu. Hanya calon yang layak perlu dilantik ke jawatan menteri dan timbalan menteri. Parti-parti kecil yang lain perlu diberi peluang bagi jawatan menteri atau timbalan menteri jika ada calon yang layak. Calon timbalan perdana menteri seharusnya dipilih daripada Bersatu kerana parti ini adalah komponen kedua terbesar dengan 31 ahli Parlimen.
Perbincangan tertutup di peringkat parti yang menjadi komponen dalam menentukan calon menteri dan timbalan menteri adalah perlu. Jangan persoalan dalaman parti dibawa keluar. Calon-calon yang bakal dipilih sebagai menteri dan timbalan menteri adalah mereka yang tiada langsung berkait dengan kes rasuah dan juga kes mahkamah yang belum selesai. Pelantikan senator untuk jawatan menteri dan timbalan menteri seboleh-bolehnya perlu dielak atau dikurangkan selagi masih ada ahli Parlimen yang layak.
Diharapkan perjalanan pentadbiran perdana menteri baharu ini berjalan dengan lancar. Masalah pandemick Covid-19 dan polisi berkaitan dapat dijalankan dan diselesaikan dengan pantas dan berkesan. Polisi dan keputusan berkaitan dengan ekonomi dapat diputuskan dengan cepat dan berkesan. Politik di bawah pimpinan Ismail Sabri diharapkan berjalan dengan stabil dan berkesan. Covid-19 dapat diselesaikan dengan sebaik mungkin. Pertumbuhan ekonomi dapat meningkat dengan cepat dan kadar pengangguran dapat dikurang dengan secepat mungkin.
Sudah pasti semua masalah tidak dapat diselesai dengan mudah. Tidak ada kerajaan dan pimpinan yang benar-benar sempurna, apatah lagi dengan majoriti kecil dan kedudukan pembangkang yang kuat. Semua anggota Parlimen kerajaan hendaklah benar-benar rasional dalam isu-isu penting. Kesedaran betapa peri penting kerjasama sesama anggota Parlimen kerajaan adalah sangat perlu.
Perbincangan tertutup yang rasional dalam sebarang isu yang timbul perlu dijadikan asas dalam kerajaan majoriti kecil. Kepentingan diri dan keputusan berasaskan ideologi politik sempit jangka pendek tidak akan menguntungkan sesiapa. Dalam suasana ekonomi dan kesihatan sosial yang sukar begini, semua mesti meletakkan kerjasama dan tolak ansur ditempat yang tinggi. Keputusan radikal tanpa berfikir dengan benar-benar mendalam hanya akan merugikan masa dan masyarakat seluruhnya. Masa yang singkat ini harus digunakan sebaik mungkin.
Kita berharap pimpinan baharu perdana menteri dan Kabinet yang bakal dibentuk dalam masa terdekat ini berjaya membina kehidupan yang aman, stabil dan gemilang. Tindakan rasional berfikir panjang akan membina kestabilan. Harus diinsafi kestabilan politik adalah asas penting kepada kemajuan ekonomi dan laluan kepada polisi kesihatan sosial yang lebih baik dan berkesan. Tanpa kestabilan politik, kemajuan ekonomi dan masalah kesihatan menjadi sukar.
MOHD. Noor Yazid ialah Profesor di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Malaysia Sabah.