ALLAH SWT berfirman yang maksudnya: “Dan orang-orang beriman dari kalangan lelaki dan perempuan adalah saling membantu antara satu sama lain. Mereka mengajak kepada perkara yang makruf (kebaikan) dan mencegah perkara yang mungkar.” (Surah Al-Taubah:71)
Menurut pandangan Imam al-Sya’rawi, perkataan auliya dalam ayat ini adalah tindakan saling bantu membantu antara kaum lelaki dan wanita kepada kebaikan dan menghalang keburukan.
Sabda Rasulullah SAW, maksudnya: “Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap pemimpin itu bertanggungjawab terhadap apa yang dipimpin. Seorang imam adalah pemimpin dan akan diminta untuk dipertanggungjawabkan. Seorang lelaki adalah pemimpin atas keluarganya dan diminta untuk dipertanggungjawabkan. Seorang wanita adalah pemimpin atas rumah suaminya dan diminta untuk dipertanggungjawabkan. Seorang hamba juga pemimpin atas harta tuannya dan diminta untuk dipertanggungjawabkan. Sesungguhnya setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu diminta untuk dipertanggungjawabkan.” (Riwayat al-Bukhari: 4789)
Antaranya adalah peranan dalam menentukan masa depan, membuat keputusan, memilih mana yang terbaik dan menolak yang tidak baik, memberikan pandangan dan didengari, membangunkan diri dan memiliki harta selama mereka memiliki kemampuan berfikir dan kewarasan akal.
Setiap lelaki dan wanita mendapat ganjaran sesuai peranan yang diusahakan dan Allah SWT melarang sifat iri hati antara mereka atas kelebihan dan pencapaian antara satu sama lain sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: “Dan janganlah kamu iri hati terhadap apa yang dikurniakan Allah kepada sebahagian kamu lebih banyak dari sebahagian yang lain. (Karena) bagi orang laki-laki ada bahagian daripada apa yang mereka usahakan, dan bagi para wanita (pun) ada bahagian dari apa yang mereka usahakan, dan mohonlah kepada Allah sebahagian dari urnia-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.” (Surah al-Nisa’: 32)
Bagi lelaki, ada bahagian atau pahala daripada apa yang mereka usahakan dan bagi wanita ada bahagian pula dari apa yang mereka usahakan. Ayat ini turun ketika Ummu Salamah r.ha mengatakan, “Wahai Rasulullah! Kenapa kita tidak menjadi lelaki saja, hingga kita dapat berjihad dan beroleh pahala seperti pahala laki-laki.”
Ayat ini juga menunjukkan ajaran Islam menuntut setiap manusia untuk meningkatkan usaha dalam kehidupan dan bukan sekadar berangan-angan atau meletakkan impian tanpa usaha. Justeru, Al-Qaradawi berpendapat, berdasarkan realiti semasa boleh jadi sumbangan wanita itu melebihi kaum lelaki kerana kesungguhan, kelebihan dan keupayaan yang mereka miliki.
Firman Allah SWT dalam surah al-Lail ayat 4 maksudnya: “Demi malam apabila menutupi (cahaya siang), dan siang apabila terang benderang, Dan penciptaan lelaki dan perempuan, Sesungguhnya usaha kamu memang berbeza-beza.”
Sesetengah pandangan yang mengatakan akal wanita itu lemah berbanding nafsunya adalah tidak tepat dan lemah. Hujah mereka antaranya didapati dengan bersandarkan hadis yang diriwayatkan baginda SAW bersabda, maksudnya: “Dijadikan syahwat itu sebanyak sepuluh bahagian, sembilan darinya untuk wanita, satu untuk lelaki.” (Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Awsat (567), disebut juga oleh al-Haithami dalam Majma’ al-Zawa’id (10/30)
Taraf hadis ini adalah dhaif jiddan (tersangat lemah) kerana salah seorang perawinya iaitu Suwaid ibn Abd al-Aziz berstatus matruk (periwayatannya ditinggalkan dan tidak diriwayatkan) dan bukan daripada kalangan tsiqah. (Rujuk Irsyad al-Sari fi Takhrij Ahadith Fath al-Bari 1/665)
Antara contoh peranan saling melengkapi antara lelaki dan wanita di zaman Rasulullah SAW adalah dalam membuat keputusan berkaitan kedudukan wanita dalam peperangan seperti yang disuarakan oleh Ummu Salamah r.ha dalam Peperangan Hudaibiyyah.
Keputusan Rasulullah saw membenarkan kaum wanita membantu kaum lelaki dalam peperangan walaupun dilihat sebagai urusan di ‘balik atau belakang tabir’ , telah menjadi bukti Islam mengiktiraf peranan, sumbangan bahkan kemampuan peranan mereka di luar lingkaran rumahtangga serta keberanian dalam menghadapi suasana yang terdedah dengan risiko tinggi.
Selain itu, Ummu Salamah r.ha juga memainkan peranan dalam penentuan keputusan atau hukum di zaman Khalifah Saidina Umar bin al-Khattab. Iaitu memberikan pandangannya dalam menentukan kadar mahar dan tempoh lama wanita boleh bersabar apabila ditinggalkan suami. Walaupun kedua-dua isu tersebut adalah isu wanita, namun tindakan menyuarakan pandangan berbeza dengan khalifah yang dikenali dengan ketegasannya adalah satu keberanian dalam memastikan hak kaum wanita terjamin.
Sifat kepekaan dan keberanian yang dimiliki oleh Ummu Salmah r.ha juga menyebabkan beliau bertanyakan kepada Rasulullah SAW, “Wahai Rasulullah! Saya tidak mendengar Allah SWT menyebut khusus tentang wanita di dalam al-Quran mengenai peristiwa hijrah.”
Maka Allah SWT menurunkan ayat 195 surah Ali-Imran sebagai penegasan atas pertanyaannya. Firman-Nya bermaksud: “Maka Tuhan mereka memperkenankan permohonan (dengan berfirman): Sesungguhnya Aku tidak mensia-siakan amal orang-orang yang beramal di antara kamu, baik laki-laki atau perempuan, (karena) sebagian kamu adalah turunan dari sebagian yang lain. Maka orang-orang yang berhijrah, yang diusir dari kampung halamannya, yang disakiti pada jalan-Ku, yang berperang dan yang dibunuh, pastilah akan Kuhapus kesalahan-kesalahan mereka dan pastilah Aku masukkan mereka ke dalam surga yang mengalir sungai-sungai di bawahnya, sebagai pahala di sisi Allah. Dan pada sisi-Nya pahala yang baik.”
Menurut Sheikh al-Sya`rawi dalam tafsirnya bahawa Allah SWT memakbulkan doa setiap lelaki dan perempuan bagi mereka yang beramal soleh. Pertanyaan Ummu Salamah r.ha juga boleh dilihat sebagai wujudnya usaha mendapatkan penjelasan dan penghargaan (recognition) tentang peranan wanita.
Keistimewaan penciptaan dan maha adilnya Allah SWT pada perbezaan kejadian fizikal dan fisiologi lelaki dan wanita menyebabkan perbezaan terhadap gaya, tindak balas terhadap situasi, pemikiran, perasaan dan cara menyesuaikan diri dengan keadaan persekitaran. Kesemua perbezaan ini menyebabkan mereka saling memerlukan dan melengkapi antara satu sama lain yang menatijahkan kemakmuran hidup.
PROFESOR Madya Dr. Sharifah Hayaati Syed Ismail ialah Ketua Penyelidik Kluster (Sosiobudaya & Kekeluargaan), Pelan Pembangunan Dakwah Negara, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).