SEMENJAK 1957, selepas Persekutuan Tanah Melayu mendapat kemerdekaannya daripada penjajah dan menjadi Malaysia pada 1963, salah satu perkara amat penting dan diberi keutamaan ialah perpaduan antara kaum-kaum Melayu serta Cina dan India yang telah membuat keputusan untuk terus tinggal di negara ini dan menjadi warganegara.
Apabila manusia berada dalam satu kelompok sosial atau mana-mana organisasi malah di dalam sebuah negara, hanya perpaduan yang boleh menjamin kepada kejayaan untuk mencapai objektif diusahakan. Tanpa perpaduan, maka akan sukarlah usaha untuk mencapai sesuatu kejayaan.
Setiap negara di dunia menggalakkan perpaduan dalam kalangan rakyatnya. Perpaduan akan membawa kepada kestabilan dan ini boleh menjamin kejayaan, kemajuan dan kesejahteraan sesebuah negara.
Malaysia tidak terkecuali. Untuk memupuk perpaduan dalam kalangan rakyatnya, boleh dikatakan sebagai satu cabaran kerana keunikan komposisi rakyat yang berbilang bangsa, bahasa, budaya dan agama. Ditambah pula, penjajah telah meninggalkan satu struktur masyarakat majmuk yang amat ketara perbezaannya, hasil daripada dasar pecah dan perintah.
Apabila orang Melayu hanya digalakkan bertani di kampung, orang Cina berniaga di bandar atau bekerja di lombong dan orang India bekerja di ladang, bukan sahaja menyebabkan kerenggangan interaksi sosial yang amat ketara, malah jurang ekonomi antara kaum amat tidak seimbang.
Inilah antara faktor yang sentiasa menjadi pemangkin kepada ledakan perbalahan antara kaum di negara ini, sesuatu yang ditinggalkan penjajah untuk diwarisi oleh pemerintah negara. Terbukti, ledakan itu berlaku pada 13 Mei 1969.
Setelah 64 tahun merdeka dan 21 tahun melewati milenia baharu, rata-rata rakyat sekarang adalah generasi kedua dan ketiga selepas merdeka. Hanya mereka yang berumur 65 tahun ke atas mungkin masih ingat kejadian 13 Mei 1969, iaitu lebih kurang tujuh peratus daripada rakyat Malaysia hari ini.
Sementara selebihnya 93 peratus sentiasa diperingatkan tentang peristiwa hitam tersebut. Maka sepatutnya apabila menyentuh isu perpaduan, tidak lagi perlu dirujuk kepada isu-isu lama ini. Isu yang ada sekarang lebih kepada permasalahan perbezaan bahasa, budaya dan agama, tidak lupa ekonomi.
Pendekatan dan strategi berbeza, organik dan kontemporari perlu diketengahkan kerana generasi yang perlu diterapkan konsep perpaduan adalah mereka yang tidak langsung pernah mengalami atau merasai apa itu penjajahan, apa itu rusuhan kaum. Generasi sekarang adalah generasi multimedia, generasi internet, yang mana kebencian itu di luahkan lazimnya melalui media sosial.
Namun begitu, bahayanya tetap sama kerana potensi luahan kemarahan di media sosial boleh membawa kepada sesuatu yang fizikal tetap ujud jika langkah-langkah awal tidak di ambil. Masalah perbezaan ini, masih boleh dikira sebagai warisan yang ditinggalkan oleh penjajah kerana polisi-polisi yang digunakan pada masa penjajahan inilah yang menyebabkan keinginan untuk mereka mengekalkan budaya dan bahasa asal masing-masing amat kuat sekali.
Tidak dinafikan juga, ada segelintir ahli politik mengambil kesempatan menggunakan situasi sedemikian untuk kepentingan masing-masing.
Secara umumnya, Malaysia tidak mengalami masalah atau konflik perkauman yang serius. Apa-apa perselisihan selalunya tidak membawa kepada sesuatu yang fizikal.
Rekod menunjukkan beberapa kes tetapi semuanya bersifat terpencil dan setempat. Malah Malaysia berada di tempat ke-16 dalam Indeks Keselamatan Dunia 2019. Dan Malaysia juga dilihat oleh negara-negara di rantau Asia Tenggara sebagai sebuah negara yang berjaya membangun dengan keadaan rakyatnya terdiri daripada pelbagai kaum dan etnik.
Kejayaan ini kerana sikap toleransi rakyat yang tinggi dan juga hasil tindakan-tindakan dan langkah-langkah yang telah diambil oleh kerajaan. Contohnya, Dasar Ekonomi Baharu (DEB) yang berjaya merapatkan jurang ekonomi antara orang Melayu dan kaum-kaum lain.
Namun, mencapai perpaduan sebenar, kita masih belum lagi. Masih banyak masa diperlukan kerana ia perlu melalui proses yang amat lama. Mengambil sudut pandang Profesor Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin, perpaduan adalah satu proses menyatupadukan masyarakat dan negara supaya setiap anggota masyarakat dapat membentuk satu identiti, nilai bersama, perasaan cinta dan bangga akan tanah air.
Untuk mencapai perpaduan, satu usaha penyatupaduan berterusan di peringkat semua lapisan masyarakat untuk mengekalkan kesepaduan dan mencapai perpaduan selagi ada kepelbagaian. Usaha ini tidak boleh diberhentikan kerana sifat kepelbagaian itu mengundang potensi konflik.
Amerika Syarikat juga memerlukan hampir 200 tahun untuk menghasilkan satu bangsa Amerika yang tidak mengira warna kulit dan latar belakang. Tetapi dalam tempoh 64 tahun merdeka, Malaysia juga telah melalui beberapa cabaran hebat dalam isu perpaduan kaum melibatkan pertumpahan darah dan kehilangan nyawa. Namun, tidak mustahil untuk negara pada suatu ketika nanti menghasilkan satu Bangsa Malaysia yang berjaya menjiwai perpaduan.
Buat masa ini, kita raikan perpaduan dalam kepelbagaian. Di dalam kepelbagaian bangsa, bahasa, budaya dan agama ini, pasti pada setiap kaum ada sekumpulan kecil yang bersikap ekstrem terhadap kaum lain. Ini perlu diurus supaya sentiasa berada di dalam kawalan. Dalam keadaan kita meraikan kepelbagaian, kita perlu mencari satu persamaan dari segi nilai kemanusiaan, saling hormat menghormati dan bertoleransi.
Salah satu cara terbaik untuk memastikan perpaduan terus dihayati dan dijiwai sepenuhnya ialah melalui pendidikan dan penghayatan nilai kemanusiaan. Memupuk nilai kewarganegaraan, menghayati sejarah negara, memahami dan menghormati bahasa, budaya dan agama kaum lain, perlulah diserapkan dalam pendidikan dan pemahaman generasi muda pascamerdeka kerana mereka inilah yang akan membawa negara kepada satu tahap kejayaan yang lebih tinggi pada masa akan datang.
Selamat menyambut Hari Kebangsaan 31 Ogos dan Hari Malaysia 16 September, 2021.
PENULIS ialah Ahli Majlis Eksekutif Pusat/Ketua Biro Perpaduan, Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).