TANGGAL 31,
Bulan lapan 57,
Hari yang mulia, hari bahagia,
Sambut dengan jiwa yang merdeka.
Begitulah antara bait-bait lirik lagu bertajuk Tanggal 31 Ogos, nyanyian Allahyarham Datuk Sudirman Arshad yang sering dimainkan di corong radio dan kaca televisyen setiap kali menjelang bulan kemerdekaan.
Pada tahun ini, negara kita meraikan Hari Kebangsaan yang ke-64. Setiap tahun, rakyat memperingati detik bersejarah ini dengan laungan kemerdekaan, perarakan kereta berhias di Dataran Merdeka, pertunjukan udara dan sebagainya. Semangat kemerdekaan ini disemarakkan lagi dengan kehadiran rakyat jelata yang datang menyaksikan sambutan kemerdekaan ini dengan membawa dan mengibarkan Jalur Gemilang.
Selain memperingati pengorbanan wira-wira negara dalam mempertahankan tanah air, pengisian hari kemerdekaan tahun ini juga perlu dihayati melalui pengorbanan pelbagai pihak dalam usaha memerdekakan negara daripada wabak penyakit Covid-19 yang melanda.
Wabak ini telah banyak mengorbankan nyawa rakyatnya. Setiap hari, begitu banyak sekali liang lahad yang digali, ibarat menyemadikan pahlawan yang rebah di medan perang yang mana musuhnya adalah virus Covid-19 itu sendiri.
Pengorbanan memerdekakan negara daripada wabak ini dapat dilihat daripada peranan yang dimainkan oleh setiap daripada kita, rakyat Malaysia. Sebagaimana dalam satu pasukan keselamatan yang berada di medan perang, kita memerlukan barisan hadapan yang berada di perbatasan bagi mempertahankan rakyatnya. Begitulah diibaratkan dengan pegawai perubatan, jururawat, pemandu ambulans dan sebagainya yang bekerja siang dan malam merawat pesakit yang disahkan positif menghidap wabak ini. Pusat kuarantin dan hospital menjadi tempat ‘persembunyian’ bagi mereka yang ‘tercedera’, namun masih ada yang rebah di sini.
Tidak kurang hebatnya peranan pasukan beruniform seperti polis dan tentera. Berhujan panas memastikan musuh tidak berjaya merentasi sempadan negeri mahupun negara. Para petugas sukarelawan di pusat pemberian vaksin pula ibarat barisan hadapan yang sedang berjuang membina kubu kuat, membantu negara dalam pemberian vaksin bagi membina pahlawan-pahlawan yang lebih kuat menghadapi musuh durjana ini.
Jabatan forensik dan pejabat agama yang terlibat dalam pengurusan jenazah juga antara pejuang tabah dan cekal ketika negara sedang bergelut dengan angka kematian yang tinggi.
Tidak boleh diremehkan juga pengorbanan ketua keluarga pada saat yang getir ini. Kehilangan pekerjaan dan sumber pendapatan menjadikan sesetengah keluarga berada dalam keadaan ‘darurat’ dan terpaksa keluar mencari pendapatan dengan pelbagai jenis pekerjaan seperti berniaga secara kecil-kecilan, menjadi penghantar makanan dan sebagainya. Mereka adalah wira keluarga.
Sejak tahun lalu, berita kematian ibu dijangkiti virus dan melahirkan anak pula kerap dikongsikan di sosial media dan dada-dada akhbar. Pengorbanan mereka menggadaikan nyawa sendiri demi melahirkan nyawa insan kecil ke dunia ini merupakan perjuangan yang sungguh hebat dan perlu dihargai.
Justeru, bagi menyambut hari kemerdekaan negara pada penghujung bulan ini, selain membesarkan rasa kesyukuran atas nikmat kemerdekaan yang telah kita kecapi, marilah sama-sama kita merenung dan menghayati pengorbanan wira-wira negara dalam usaha memerdekakan negara daripada gelombang pandemik. Dengan angka jangkitan dan kematian yang tinggi sejak akhir-akhir ini, negara memerlukan kemerdekaan segera.
Adalah penting untuk Malaysia terus berjuang dan yakin kita semua boleh kembali kepada kehidupan harian secara normal seperti sebelum wujudnya wabak ini.
Terima kasih, bersabarlah dan teruskan perjuanganmu wira-wira negara!
Malaysia pasti merdeka daripada Covid-19!
NURSYUHADA’ AB. WAHAB ialah tenaga pengajar di Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan WAN FAIZATUL AZIRAH ISMAYATIM ialah Pensyarah di Akademi Pengajian Bahasa, Universiti Teknologi Mara (UiTM).