Masih relevan walaupun usia lebih separuh abad - Utusan Malaysia

Masih relevan walaupun usia lebih separuh abad

RUKUN Negara diperkenalkan pada 31 Ogos 1970. - IHSAN SKMM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

RUKUN Negara diperkenalkan pada 31 Ogos 1970 sempena Hari Kemerdekaan ke-13. Ia digubal susulan konflik etnik pada 13 Mei 1969 yang dilaporkan meragut kira-kira 200 nyawa. 

Rukun Negara adalah salah satu usaha kerajaan bagi menyelesaikan isu-isu berkaitan perpaduan nasional dan ia menjadi garis panduan yang positif dan pragmatik untuk menggalakkan integrasi nasional dan perpaduan antara kaum serta mewujudkan identiti nasional dalam kalangan rakyat.

Pada 31 Ogos ini, Rukun Negara akan menyambut ulang tahun yang ke-51. Sudah pasti hampir semua warga Malaysia mengetahui bahagian kedua Rukun Negara. 

Ia membabitkan lima prinsip yang sering dilafazkan dalam majlis-majlis rasmi, dicetak di kulit buku latihan sekolah dan risalah, disiarkan dalam media perdana dan diajar dalam sukatan pelajaran dari peringkat prasekolah hingga universiti. 

Prinsip-prinsip yang tidak asing kepada semua warganegara terdiri daripada Kepercayaan kepada Tuhan, Kesetiaan kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-undang serta Kesopanan dan Kesusilaan. 

Namun, dipercayai ramai dalam kalangan kita belum mengetahui tentang aspirasi yang tertera di bahagian pertama Rukun Negara. 

Bahagian pertama menyatakan cita-cita atau aspirasi negara demi mencapai perpaduan dalam seluruh masyarakat. Aspirasi pertama adalah mencapai perpaduan yang lebih erat dalam kalangan seluruh masyarakatnya.

Kedua, memelihara cara hidup demokratik dan ketiga, mencipta satu masyarakat yang adil di mana kemakmuran negara dapat dinikmati secara adil dan saksama.

Aspirasi keempat adalah menjamin satu cara liberal terhadap tradisi-tradisi kebudayaannya yang kaya dan pelbagai corak dan kelima, membina satu masyarakat progresif yang akan menggunakan sains dan teknologi moden.

Pemahaman terhadap kedua-dua bahagian, iaitu aspirasi dan prinsip adalah penting kerana ia saling berhubung kait antara satu sama lain. 

Aspirasi bagaikan penanda arah yang menerangkan apakah yang hendak dicapai oleh negara dan bangsa, manakala prinsip-prinsip umpama jalan yang perlu diikuti untuk mencapai cita-cita tersebut.

Memandangkan negara akan menyambut Hari Kemerdekaan ke-64 dan ulang tahun Rukun Negara ke-51 tidak lama lagi, adalah wajar bagi kita sama-sama mengimbau kembali aspirasi Rukun Negara yang berperanan sebagai hala tuju besar pembinaan bangsa dan terma rujukan asas kepada penggubalan dasar-dasar negara. 

Walaupun pada secara spesifiknya, ia dilihat sebagai aspirasi dan prinsip untuk perpaduan negara. Sekiranya kita melihat melalui konteks yang lebih meluas dan mendalam, ia meliputi pelbagai aspek pembangunan negara termasuk politik, ekonomi, sosial dan teknologi dengan mengambil kira perpaduan nasional sebagai asas pembangunan. 

Dengan wujudnya kedamaian, keharmonian dan ketertiban dalam masyarakat, negara dapat membangun dengan pesat dan menjana kemakmuran. Dengan adanya kemakmuran dan kemajuan, rakyat dapat menikmati dan berkongsi hasil tersebut melalui peningkatan taraf hidup.

Kesimpulannya, Rukun Negara yang terdiri daripada lima aspirasi dan lima prinsip masih relevan kepada pembangunan negara. Ia wajib diingat oleh semua rakyat dan diterapkan dalam kehidupan seharian. 

THAI MING YEOW, Felow Penyelidik Majlis Belia Malaysia (MBM).

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya