Masa depan pak belang di tangan kita - Utusan Malaysia

Masa depan pak belang di tangan kita

KHAZANAH negara perlu dipelihara agar tidak pupus dan menjadi kerugian untuk generasi akan datang. - GAMBAR SUMBER INTERNET
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

Harimau Malaya atau nama saintifiknya Panthera tigris jacksoni merupakan spesies yang hanya wujud di hutan Semenanjung. Harimau berkenaan mempunyai berat purata 120 kilogram dan panjangnya pula boleh mencecah sehingga 2.4 meter. 

Harimau Malaya mampu hidup di kebanyakan hutan di Malaysia tetapi berdasarkan kajian yang dilakukan, terdapat tiga habitat utama iaitu di Taman Negara Endau-Rompin; Taman Negara, Pahang dan Taman Negeri Royal Belum, Perak. 

Pada 1950, kira-kira 3,000 ekor harimau wujud di negara kita. Namun, pada 2014, bilangannya dianggarkan sebanyak 250 hingga 340 ekor dan data terkini menunjukkan hanya tinggal kurang 200 ekor harimau liar di hutan Malaysia. Kini, Harimau Malaya diklasifikasikan di bawah kategori critically endangered dalam rekod Red List (The International Union for Conservation of Nature Red List of Threatened Species), Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN), manakala dalam Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716), Harimau Malaya dikategorikan di bawah haiwan ‘dilindungi sepenuhnya (Jadual 2).’ Pasti tertanya-tanya, bagaimana bilangan Harimau Malaya berkurangan dengan cepat sejak kebelakangan ini?

Secara umum, harimau adalah haiwan liar yang mempunyai permintaan  tinggi di pasaran gelap. Hal ini menyebabkan aktiviti buru secara haram berlaku. Ini kerana, anggota badan harimau sangat berharga. Sesetengah masyarakat berpendapat, daging, darah dan organ harimau baik untuk kesihatan walaupun tiada fakta yang mengesahkan kebenarannya manakala terdapat pula kumpulan peminat makanan eksotik. 

Tulang harimau digunakan dalam pembuatan arak yang dikatakan mampu untuk menyembuhkan pelbagai penyakit seperti memberi kekuatan tenaga dalaman dan memanjangkan usia. Ada pula golongan yang mempercayai kuku dan giginya pembawa tuah dan dijadikan tangkal. Selain itu, kepala harimau dan kulitnya diperdagangkan untuk tujuan trofi dan barangan hiasan untuk jualan.

Penebangan hutan secara besar-besaran dan pembalakan haram juga merupakan faktor utama kurangnya populasi Harimau Malaya. Selain itu, pandangan segelintir masyarakat untuk membunuh haiwan yang mengancam nyawa tanpa melihat kesan kepupusan mengecewakan pihak yang mengetahui tentang kepentingan pak belang. 

Sebagai masyarakat prihatin, kita perlu membantu kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam meningkatkan populasi Harimau Malaya yang kini semakin diancam kepupusan. Pelbagai maklumat mengenai pemuliharaan dan perlindungan boleh dikongsikan melalui media massa serta mewujudkan pelbagai program pendidikan dan kesedaran. 

Antara lain, kita perlu menyokong tindakan proaktif yang dianjurkan Tabung Alam Sedunia (WWF), Perikatan Pemuliharaan Harimau Kebangsaan Malaysia (MYCAT) dan melalui sokongan petisyen bagi menghentikan segera pemburuan haram demi menyelamatkan populasi harimau berkenaan.

Pusat konservasi dan zoo juga merupakan langkah yang diambil oleh Jabatan Hidupan Liar untuk projek Ex-Situ bagi program pemantauan pembiakan spesies terancam. 

Oleh itu, orang ramai digalakkan menyalurkan sumbangan kewangan, makanan dan sukarelawan bagi membantu meringankan beban pusat jagaan hidupan liar terutama ketika musim penularan wabak Covid-19.

Akhir sekali, kita digalakkan untuk mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti yang dianjurkan sempena Sambutan Hari Harimau Sedunia iaitu pada 29 Julai setiap tahun. 

Oleh itu, orang ramai harus berganding bahu dan tidak hanya bergantung kepada pihak berkuasa untuk memelihara khazanah negara ini. 

AL HARITH RUSYAIDI AHMAD NAZLI AL JEFRY dan DR. HASMAHZAITI OMAR, Institut Sains Biologi, Fakulti Sains, Universiti Malaya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya