KEMERDEKAAN sesebuah negara sememangnya membawa kemakmuran dan keamanan dengan syarat ia memenuhi matlamat syariah seperti yang dinyatakan dalam maqasid syariah.
Menurut Ibnu ‘Asyur (w. 1974), seorang ulama tafsir dan falsafah hukum Islam, kemerdekaan dan kebebasan (hurriyyah) adalah tujuan agama Islam yang paling unggul berdasarkan nas dan ketentuan syariah secara substantif berorientasikan kepada tujuan wujudnya hurriyyah atau kemerdekaan itu.
Contohnya, galakan untuk memerdekakan hamba, perintah untuk menerima permohonan mukatabah (pemerdekaan hamba secara sukarela), menjadikan pemerdekaan hamba sebagai kaffarat (denda) akibat pelanggaran hukum syarak serta perintah untuk memberikan makanan dan pakaian kepada hamba sama dengan makanan dan pakaian majikan adalah bukti bahawa Allah SWT menghendaki agar manusia meraih kemerdekaannya.
Rib’i ibn ‘Amir ketika bertemu panglima tentera Parsi bernama Rustum mengungkapkan kalimah yang bermaksud: “Allah mengutuskan kami (orang-orang Islam) untuk kami merdekakan manusia, daripada mengabdikan diri sesama manusia kepada mengabdikan diri kepada Allah, daripada kezaliman agama-agama kepada keadilan Islam dan daripada kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat.”
Justeru, kedatangan Islam melalui Nabi Muhammad SAW yang membebaskan manusia daripada belenggu kekufuran membawa mesej kemerdekaan yang sebenar seperti mana firman Allah SWT yang bermaksud: “(Dan tiadalah Kami (Allah) mengutus engkau (Muhammad), kecuali untuk menjadi rahmat bagi semesta alam).” (al-Anbiya’ :107)
Menurut Ibn Asyur lagi, ada lima aspek kemerdekaan yang dikehendaki oleh syariat:
Pertama, merdeka dengan erti bebas daripada perhambaan (hurriyyah ‘an al-‘ubudiyyah). Hamba dengan makna hakiki memang sudah terhapus daripada peradaban Islam, namun perhambaan gaya baharu masih ada di era moden. Ibn Asyur memberikan definisi merdeka daripada perhambaan bererti tindakan seseorang yang tidak bergantung kepada izin orang lain.
Dari perspektif yang lebih luas, merdeka bererti kebebasan sebuah bangsa untuk menentukan nasib dan cita-citanya sendiri tanpa bergantung kepada keizinan bangsa lain. Di sini jelas bahawa pemikiran tentang maqaṣid syariah tidak hanya berlegar dalam persoalan fiqah semata-mata bahkan juga menyentuh tentang nasionalisme sesebuah negara.
Kedua, merdeka erti kebebasan untuk berkeyakinan (hurriyyah al-i’tiqad) yang tercermin dalam penegasan tidak ada paksaan untuk memeluk agama (la ikraha fi al-din) dan anjuran untuk berdebat dengan bijaksana (wa jadilhum bil lati hiya ahsan).
Ketiga, merdeka dengan erti kata bebas berpendapat dan bersuara (hurriyyah al-aqwal). Kebebasan berpendapat ini dibatasi oleh hifdzu din (menjaga agama) dan hifdzu al-‘irdh (menjaga harga diri) sehingga meskipun seseorang memiliki kebebasan ini, namun dia tidak boleh menghina ajaran agama dan tidak boleh menjatuhkan maruah dan harga diri orang lain.
Keempat, merdeka dengan erti bebas berusaha (hurriyyah al-‘amal). Kebebasan ini dibatasi oleh hifdzul mal (pelestarian aset/harta) dan hifdzul bi’ah (pelestarian ekosistem). Seseorang boleh bekerja, namun dalam berusaha tidak boleh merosakkan harta dan aset orang lain dan tidak boleh merosakkan alam. Oleh kerana itu, penerokaan alam secara berlebihan yang mengganggu ekosistem dan merosakkan sumber penghidupan rakyat tidak dibenarkan oleh syariat.
Daripada huraian di atas, jelas bahawa kemerdekaan sejati dalam pandangan syariah adalah kebebasan yang terangkum dalam empat aspek: aspek kehendak (masyi’ah), aspek keyakinan (i’tiqad), aspek perkataan (aqwal) dan aspek perbuatan (af’al) yang semuanya tunduk kepada kehendak syariah. Perkara ini selaras dengan saranan hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abi Muhammad Abdullah bin Umar bin al-As bermaksud: “Tidak beriman seorang kamu sehingga adalah hawanya (kemahuannya dan kecenderungannya) mengikut kepada apa yang aku bawa dengan dia.”
Oleh itu, kemerdekaan sebenar bukan semata-mata kebebasan dalam menentukan pentadbiran dan pemerintahan negara serta menikmati segala hasil mahsulnya, bahkan juga bebas daripada sebarang bentuk cengkaman minda dan jiwa daripada sebarang sistem yang bercanggah dengan matlamat syariat yang dinyatakan di dalam maqasid syariah yang lima iaitu memelihara agama (hifz al-din), memelihara nyawa (hifz al-nafs), memelihara keturunan (hifz al-nasl), memelihara akal (hifz al-a’ql) dan memelihara harta (hifz al-mal).
Negara kita memang sudah terbebas daripada penjajahan dari segi geopolitik dan juga dari segi undang-undang antarabangsa. Namun, dalam pandangan syariah seperti yang dinyatakan di atas, kita bukan sahaja mahukan kemerdekaan konvensional, malah juga kemerdekaan dari sudut melaksana dan mencapai maqasid syariah seperti yang dinyatakan.
DR. Muhammad Yamin Ismail ialah Pengarah Dasar Kemajuan Islam, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).