Jadilah warga yang prihatin - Utusan Malaysia

Jadilah warga yang prihatin

Sebagai rakyat yang prihatin, kita sewajarnya memerhatikan dan menghulurkan bantuan mengikut kemampuan dan kapasiti masing-masing. - GAMBAR HIASAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KITA bakal menyambut ulang tahun hari kemerdekaan ke-64 pada 31 Ogos ini. Banyak kisah suka dan duka di samping peristiwa mengejutkan berlaku menjelang sambutan kemerdekaan tahun ini. 

Benarlah pernyataan bahawa berjuang untuk menuntut kemerdekaan tanah air daripada genggaman penjajah sangat sukar tetapi lebih susah lagi untuk mengisi kemerdekaan negara, lebih-lebih lagi dalam usaha memupuk perpaduan nasional dan kerjasama erat dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama. Apatah lagi dalam suasana pandemik Covid-19, bukan hanya mencetuskan gangguan terhadap sektor kesihatan awam negara, tetapi juga menyebabkan kesuraman ekonomi dan ketidakstabilan politik yang menyumbang kepada melebarnya jurang perpecahan intra dan inter kaum dan agama.

Sedangkan jika kita amati, serangan dan ancaman virus Covid-19 tidak mengenal latar belakang kaum dan agama seseorang mangsa dan gejala kelaparan dan tidak cukup makanan juga merentasi sempadan kaum dan agama mereka yang terlibat. Setiap kaum dan penganut agama terkesan dengan pandemik yang berlaku. 

Selaras dengan itu, tema Malaysia Prihatin wajar diangkat buat kali kedua bagi mewujudkan rasa kepedulian sosial bersama dalam mengharungi pandemik ini dengan jayanya. Negara kita terkenal dengan keprihatinannya di peringkat antarabangsa dan tempatan. 

Banyak bantuan disalurkan kepada negara luar yang mengalami musibah dan bala bencana. Sikap prihatin ini juga dapat dilihat di peringkat tempatan seperti bantuan ekonomi dan sosial kepada rakyat yang terjejas akibat pandemik dan bencana. 

Ini termasuklah pemberian bantuan keperluan asas, bantuan kepada rumah anak yatim, bank makanan dan sebagainya. Sebagai rakyat yang prihatin, kita sewajarnya memerhatikan dan menghulurkan bantuan mengikut kemampuan dan kapasiti masing-masing. 

Keprihatinan ini merangkumi pelbagai lapisan masyarakat sama ada ahli keluarga dan saudara mara, jiran tetangga, rakan sekerja dan ahli masyarakat tanpa mengira kaum dan agama. Ini kerana dalam situasi pandemik, setiap orang terkesan baik dalam bentuk yang kecil mahupun besar.

Banyak perkara yang perlu diperhatikan ketika musim pandemik. Ini disebabkan sebahagian besar masyarakat tidak dapat keluar rumah kerana bimbang dengan kadar jangkitan yang masih tinggi, malahan kita masih berada dalam tempoh kawalan pergerakan. 

Dua kekangan ini menjadikan ramai orang menghabiskan masa di dalam rumah sahaja. Keadaan ini berlarutan dalam tempoh panjang. Akibatnya, kita dapat lihat kesan yang teruk terhadap tahap kesihatan mental masyarakat.

Kesan ini jelas kelihatan dalam komunikasi di dunia digital melalui aplikasi media sosial baharu. Betapa sakitnya warga maya dengan luahan hati dan perasaan, kecaman, makian dan kata kesat bagaikan lidah tidak bertulang. Tekanan yang dialami diluahkan dalam bentuk yang negatif di dunia maya. Bagaikan hidup tidak bertuhan, mereka bebas menebar fitnah, mengecam dan mengeluarkan kata kesat tanpa mengira siapa dan topik apa sahaja.

Dalam isu kesihatan mental ini juga, kita wajar memerhatikan setiap pihak yang berada sekeliling kita. Umpamanya, kanak-kanak dan remaja yang tertekan kerana terpaksa berkurung dan belajar secara dalam talian. Ada kalangan mereka yang tidak mempunyai kemudahan telefon pintar, komputer riba dan capaian internet. 

Begitu juga mereka yang bekerja dari rumah. Majikan perlu mempunyai sikap timbang rasa dan tidak memberi tekanan kepada pekerja sehingga menyebabkan mereka kemurungan, tertekan dan tidak bermotivasi untuk melakukan kerja yang diberikan. Malah lebih parah lagi kesihatan mental  terjejas teruk sehingga tidak mampu untuk berfikir secara rasional dan mereka mengalami kemurungan, kebimbangan dan tekanan, akhirnya memilih untuk membunuh diri sebagai jalan penyelesaian.

Begitu juga dalam situasi terkurung di rumah, terdapat peningkatan kes-kes penderaan domestik atau rumah tangga. Ia melibatkan pelbagai pihak termasuklah penderaan ke atast isteri, suami, kanak-kanak dan  warga emas. Mangsa penderaan terperangkap bersama kaki dera di rumah dan tiada pilihan untuk menyelamatkan diri kerana banyak kemudahan perlindungan terbatas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan situasi jangkitan Covid-19 masih kuat di luar rumah. 

Perintah untuk tetap di rumah bagaikan mimpi ngeri buat mangsa dera. Bahkan, kes-kes penceraian dilaporkan sangat tinggi ketika pandemik berlaku. Tidak kurang juga dengan mereka yang berada dalam keadaan lapar akibat terputus bekalan makanan dan ketiadaan sumber pendapatan. Selagi PKP dikuatkuasakan, ramai pihak yang terkesan kerana kehabisan sumber kewangan dan tidak ada bantuan baharu disalurkan. Terutama bagi mereka yang bekerja sendiri, tiada sebarang pendapatan jika mereka tidak bekerja. Keadaan ini memberi kesan terhadap tumbesaran anak-anak dan krisis kebuluran isi rumah jika tidak ditangani dengan baik.

Akhir-akhir ini, kita juga dikejutkan dengan kes-kes kematian berseorangan di rumah khususnya warga emas yang tinggal bersendirian. Serangan virus Covid-19 menyebabkan mereka memilih untuk kuarantin dan isolasi di rumah. Bayangkan bagaimana rasa kesakitan yang mereka lalui bersendirian dan rasa kelaparan akibat tiada daya untuk menyediakan atau mencari makanan. Sedangkan anak-anak tidak dapat bersama atau menziarahi ibu bapa kerana PKP. Jiran tetangga hanya menyedari berlaku kematian apabila mayat telah berbau.

Situasi sebegini sangat menyedihkan jika tidak ada orang sekeliling yang prihatin dan ambil peduli baik ahli keluarga, jiran tetangga, rakan sekerja dan ahli masyarakat. Sedangkan jika kita telusuri dalam hadis Nabi SAW, banyak galakan agar kita bersikap prihatin dan peduli sosial. Antaranya hadis tentang rasa sayang terhadap saudaranya yang dikaitkan dengan keimanan. Sabda Nabi SAW: “Tidak beriman salah seorang di antara kamu hingga dia mencintai saudaranya apa yang dia cintai untuk dirinya sendiri.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Bahkan Rasulullah menganjurkan sikap prihatin dalam hidup berjiran dengan sabdanya: “Tidak termasuk orang beriman, orang yang kenyang sementara tetangganya kelaparan.” (Riwayat al-Tabrani)

Dalam hadis yang lain Nabi SAW menggalakkan untuk melebihkan kuah masakan agar dapat diagihkan kepada jiran. Sabda Nabi SAW: “Wahai Abu Dhar! Jika engkau memasak masakan berkuah, maka perbanyakkanlah kuahnya dan perhatikanlah tetanggamu.” (Riwayat Muslim)

Berdasarkan hadis-hadis tersebut, kita perlu berpegang dengan sikap prihatin dalam mengambil peduli dengan masyarakat sekeliling kita tanpa sempadan bangsa dan agama. Ini kerana penderaan, kelaparan, kesakitan fizikal dan mental dan kematian tiada hubungan dengan agama dan kaum seseorang secara khusus. Setiap orang daripada kita akan terkesan. Justeru, hidupkan jiwa prihatin dengan menghulurkan bantuan tanpa mengira bangsa dan agama agar kita dapat mengharungi pandemik ini bersama dengan jayanya.

PROFESOR Madya Dr. Mohd. Anuar Ramli, Jabatan Fiqh & Usul, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya. 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya