Gaduh ahli politik, rakyat suka? - Utusan Malaysia

Gaduh ahli politik, rakyat suka?

SARFARIZMAL MD. SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SITUASI sekarang makin parah dan keadaan sangat berbahaya. Makin hari, kes positif virus Covid-19 tidak nampak penurunan ketara. Awas! Jangan tuding jari kepada mana-mana pihak. Anggap kelemahan ini adalah kegagalan semua pihak yang harus diperbaiki bersama sehingga peperangan melawan pandemik ini berjaya.

Suka atau tidak, setakat detik ini kita hanya bergantung harap dan berbangga dengan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) pimpinan Khairy Jamaluddin dan Datuk Seri Dr. Adham Baba. Bukan di rantau kita sahaja, malah kecemerlangan PICK turut diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa.

Selain itu, kita hanya mampu bertahan daripada terjerumus ke dalam lembah kegagalan. Masih tidak nampak sinar kejayaan dalam masa terhampir ini. Di celahannya, timbul pula pelbagai gerakan untuk menonjolkan keabsahan dalam kepimpinan politik tanah air.

Di sana sini barisan ahli politik memberitahu kekuatan masing-masing, mencanang ideologi sendiri dan cuba membuktikan suara mereka kononnya paling tepat, benar dan tidak boleh disanggah oleh sesiapa pun.

Entahlah, sama ada ahli-ahli politik ini sedar ataupun tidak, sebenarnya apa yang sedang mereka lakukan itu tidak disenangi oleh kebanyakan masyarakat sivil.

Apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan masyarakat sivil? Siapakah mereka dan di manakah mereka berada? Tiada suatu definisi lengkap atau tepat untuk frasa ‘masyarakat sivil’. Namun kata ringkasnya, ia adalah entiti sosial yang mahu mengubah daripada tidak baik kepada yang baik atau mahu mengubah yang baik sehingga menjadi lebih baik.

Ia boleh jadi dari sebuah organisasi bercirikan sukarela, bersifat autonomi, menyokong dan mencari serta membuat perbelanjaan secara sendiri.

Jika menurut pakar perlembagaan, Profesor Datuk Dr. Shamrahayu A Aziz, masyarakat sivil ialah kumpulan yang bukan diterajui kerajaan. Mereka bergerak sendiri dengan dana yang mereka usahakan sendiri. 

Kembali kepada isu politik masa kini. Hakikatnya, bukan sekumpulan masyarakat sivil sahaja yang telah mual dengan keadaan politik sekarang, malah majoriti rakyat di Malaysia tidak ‘berselera’ untuk menyokong mana-mana gerakan politik semasa. Sekarang bagi mereka, semua parti adalah sama. Semua parti tidak lagi berpegang kepada perjuangan asal masing-masing yang berfokus kepada kebajikan rakyat.

Maaf terpaksa saya jelaskan, akan timbul gerakan demi gerakan dari rakyat akar umbi yang tidak lagi mahu bergantung harap kepada mana-mana ahli dan parti politik yang ada. Gerakan kesedaran ini tak mustahil akan tumbuh bak cendawan selepas hujan yang rata-rata telah bosan dengan suara-suara ahli politik.

Mereka bakal bangun melalui pertubuhan bukan kerajaan (NGO), nation buildings organisation (NBO) dan sebagainya, bagi menyatakan prinsip yang tiada dalam sistem politik sedia ada. Perkara ini mungkin sudah lama berkembang tanpa disedari oleh pemegang kuasa di Perdana Putra, namun ia digerakkan secara relax and steady kerana keadaan tidak terlalu menekan dan berbahaya.

Namun, selepas berlakunya proses cabar mencabar, mencari nombor sokongan ahli Parlimen, krisis ‘katak politik’ atau lompat parti dan perlumbaan akuan bersumpah (SD), rata-rata kumpulan masyarakat di bawah ini makin bertambah jelik dan berhasrat untuk bangun mempedulikan sistem yang ada.

Tidak mustahil masyarakat akan bangkit sendiri untuk tidak bergantung kepada mana-mana parti politik melalui kesedaran ke atas hak dan kuasa rakyat itu sendiri. Cara bagaimana mereka akan lakukan mungkin tidak dapat dijangka, namun amalan protes memprotes seperti demonstrasi jalanan, mogok lapar, kibarkan bendera putih, keluar dan lawan, kibarkan bendera hitam akan muncul lagi dan lagi.

Paling dikesali, di celahan itu ada pula sesetengah parti politik terutama yang berada di blok pembangkang mengambil kesempatan terhadap peluang yang ada bagi meragut kepercayaan masyarakat sivil terhadap ideologi politik mereka. 

Jangan terlambat untuk diketahui, jika senario politik kita masih tak berkesudahan begini, rakyat terbanyak melalui gerakan-gerakan tersebut tidak lagi ambil kisah dengan suara ahli-ahli politik.

Hilang rasa hormat dan kagum mereka terhadap ahli-ahli politik yang menjadi pemimpin negara (sama ada kerajaan mahupun pembangkang) kerana bagi mereka, ahli politik sekadar mempergunakan modal perjuangan nasib rakyat sedangkan hala tuju mereka sebenar adalah untuk merangkul kuasa dan kekayaan semata-mata.

Secara peribadinya, saya melihat perkara ini serius dan cukup bahaya kepada negara kita yang telah memiliki sistemnya tersendiri. Cubaan sesetengah rakyat untuk tidak bersandarkan kepada parti politik adalah suatu perkara yang ada pro dan kontra, namun ada mesej jelas di situ.

Akan tetapi, jika amalan ini berterusan dan berkembang besar, ia pasti membentuk suatu implikasi tidak baik terhadap sistem demokrasi berparlimen di bawah pentadbiran raja berperlembagaan dengan Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua utama negara.

Pada sudut pandang masyarakat di bawah pula, mereka makin tertekan dengan krisis kesihatan, krisis ekonomi dan krisis pendidikan, kini ditambah pula krisis perebutan kuasa dalam kalangan ahli-ahli politik tanah air.

Apa pilihan yang mereka ada selain membuang undi pada pilihan raya? Tiada banyak pilihan berbaki, melainkan usaha-usaha songsang seperti menunjuk perasaan yang terkadang melanggar peruntukan undang-undang negara.

Justeru, berilah pesanan dan mesej kepada ahli-ahli politik supaya memberhentikan seketika kemelut ini. Tumpukan terlebih dahulu kepada kemaslahatan yang lebih besar, terutama melibatkan perut dan nyawa rakyat.

Sama ada yang berada dalam blok kerajaan atau pembangkang, masing-masing perlu berjiwa besar demi para pengundi mereka masing-masing. Soal legitimasi perlulah difikirkan kemudian. Masyarakat sivil pula perlu terus diizinkan untuk memenuhi ruang di antara kerajaan dan masyarakat. Tidak boleh dipengaruhi oleh mana-mana kuasa parti politik.

Sebab itu, amat dangkal dan keji apabila ada segelintir parti politik yang cuba menangguk di air keruh terhadap gerakan dan usaha sekumpulan masyarakat sivil ini. Pada prakata lain, masyarakat sivil tidak boleh membenarkan diri mereka dikotori parti politik. Sebaliknya, masyarakat sivil wajar menjadi mekanisme semak dan imbang terhadap kepimpinan negara.

Tidak mengapa tanpa gelaran ‘penasihat khas’ sekali pun, yang penting masyarakat sivil harus berperanan sebagai suara ketiga yang tampil memberi teguran membina kepada kerajaan dalam membuat keputusan dan menggerakkan jentera kerajaan dalam memacu negara tercinta.

Pendek kata, semua pihak harus ada big why yang sama iaitu memerdekakan Malaysia daripada pandemik Covid-19, krisis ekonomi yang jelas dan ancaman pendidikan legasi masa hadapan.

PENULIS ialah Setiausaha Agung Pertubuhan Aktivis Belia Tanah Air (ABATA).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya