Buli siber sudah menular dalam masyarakat - Utusan Malaysia

Buli siber sudah menular dalam masyarakat

MALAYSIA dilabelkan sebagai negara yang mempunyai masyarakat agresif dalam talian. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PENYELIDIKAN yang dilakukan oleh sebuah pusat kajian teknologi, Comparitech baru-baru ini mendapati Malaysia adalah negara kedua tertinggi mempunyai masalah buli siber di Asia selepas India.

Malaysia juga dilabelkan sebagai negara yang mempunyai masyarakat agresif dalam talian. 

Dalam satu kajian lain, Pusat Penyelidikan Pew mengklasifikasikan Malaysia sebagai salah satu negara paling konservatif secara moral di dunia, namun masyarakat negara ini boleh menjadi pembuli yang kejam dalam alam siber. 

Boleh dikatakan sesetengah masyarakat menganggap buli siber adalah perkara normal dan mereka tidak berasa bersalah menjadi penonton mahupun pembuli siber. 

Banyak dalam kalangan masyarakat menyedari buli siber adalah satu tindakan buli dan rata-rata tidak pernah serta tidak akan membuli secara fizikal. 

Akan tetapi, dalam talian, seseorang itu tidak teragak-agak untuk membuli individu lain. Mereka akan pantas memberi komen, berkongsi dan menyebarkan maklumat dengan tujuan memalukan mangsa. 

Acap kali kata-kata kesat dilemparkan terhadap orang lain tanpa memikirkan akibat tindakan sedemikian terhadap mangsa. 

Kenapakah seseorang itu menjadi mangsa buli siber? Perkara ini boleh berlaku disebabkan oleh pernyataan yang bercanggah dengan pendapat orang lain, malah adakala buli siber berlaku tanpa sebarang sebab atau pencetus.  

Ada pembuli siber yang beranggapan terdapat kebebasan sepenuhnya untuk menulis dan berkongsi apa sahaja di ruang siber dan seseorang itu boleh bersembunyi di sebalik profil palsu.

Tanggapan ini adalah tidak benar kerana terdapat pelbagai cara boleh digunakan oleh pakar forensik untuk mengesan kehadiran dalam talian seseorang itu. 

Seterusnya, kajian menunjukkan tindakan buli boleh memberikan kepuasan kepada si pembuli dan adakalanya kepada penonton buli siber. 

Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) melaporkan pada 2019, tiga daripada 10 remaja Malaysia pernah menjadi mangsa buli siber. Buli siber ini boleh dilakukan melalui aplikasi media sosial seperti Facebook, Instagram, TikTok dan Twitter ataupun melalui aplikasi pesanan segera seperti WhatsApp, Telegram dan banyak lagi. 

Seperti yang telah dinyatakan, buli siber dikatakan boleh memberi kepuasan atau keseronokan kepada pembuli dan penonton. 

Kepuasan ini disertakan dengan tanggapan bahawa tiada hukuman boleh dikenakan kepada pembuli siber dikatakan menjadi sebab mengapa perkara ini seolah-olah menjadi budaya dalam masyarakat kita. 

Tetapi masyarakat harus faham, buli siber adalah satu kesalahan yang boleh dihukum. 

Seksyen 211 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau hukuman penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan bagi penyebaran atau perkongsian kandungan yang sumbang, lucah, palsu, mengancam atau jelik sifatnya.

Dengan ini, masyarakat tidak harus mengabaikan masalah buli siber dan tidak harus menjadikannya gaya hidup atau budaya masa kini. 

Tanggungjawab dan peranan untuk menghentikan buli siber seharusnya bermula dari dalam diri individu itu sendiri seperti ungkapan peribahasa, bercakap memandang-mandang, silap lidah jiwa hilang. 

NOORANEDA MUTALIP LAIDEY & NORAINI AHMAD, Pensyarah Asia Pacific University of Technology & Innovation (APU).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya