SAUDARA PENGARANG,
PADA awal bulan ini, Jabatan Imigresen mengadakan operasi bersepadu, Op Patuh bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sebuah bangunan di Pudu, Kuala Lumpur yang menjadi kawasan penempatan warga asing dari pelbagai negara.
Kawasan penempatan tersebut didapati sangat kotor dan dipenuhi sampah serta menjadi sarang aktiviti tidak bermoral seperti pelacuran.
Selain tinggal di asrama pekerja dan rumah kongsi, pekerja asing di negara ini terutama di ibu negara didapati agak bebas menyewa di mana mereka mahu terutama di flat lama dan bangunan rumah kedai.
Bilangan penyewa di satu-satu unit agak ramai yang memungkinkan berlaku penularan wabak dengan pantas. Oleh itu, pihak berkuasa perlu lebih kerap menjalankan pemeriksaan terhadap kawasan flat dan bangunan rumah kedai lama yang kini menjadi penempatan pekerja asing.
Agak membimbangkan kerana pekerja asing turut menyewa di kawasan taman perumahan dan flat Projek Perumahan Rakyat (PPR). Keadaan ini boleh menimbulkan keresahan kepada penduduk tempatan kerana isu ancaman keselamatan, masalah kebersihan serta bahaya penularan penyakit berjangkit.
Majikan yang menggajikan pekerja asing ini sepatutnya menempatkan pekerja mereka di kawasan berasingan dengan rakyat tempatan.
Kerajaan disaran menjadikan Singapura sebagai contoh dengan menggalakkan pemaju membina kuarters pekerja berpusat (CLQ) kepada pekerja asing mereka.
Kuarters yang teratur seperti ini memudahkan pihak berkuasa memantau aktiviti dan pergerakan pekerja asing selain dapat mengekang dengan pantas jika berlaku penularan wabak di kawasan penempatan pekerja terbabit.
Jika dilihat apa yang berlaku ketika ini, pekerja asing yang menyewa di kawasan perumahan sering melarikan diri setelah arahan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) diisytiharkan di kawasan mereka.
Pihak Mass Rapid Transit Corporation Sdn. Bhd. sebagai contoh telah menetapkan penanda aras yang tinggi dengan pembinaan CLQ untuk pekerja pembinaan projek MRT Laluan Kajang dan Laluan Putrajaya. Kuarters terbabit disediakan lengkap dengan pelbagai kemudahan seperti surau, klinik dan kafeteria serta kemudahan riadah.
M. FAISAL, Kuala Lumpur.