SAUDARA PENGARANG,
ISU kesihatan mental banyak diperkatakan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), bukan sahaja di Malaysia malahan di seluruh dunia.
Masalah kemurungan sehingga ke tahap cubaan membunuh diri semakin meningkat dan ia pada kadar membimbangkan.
Sehingga suku pertama 2021, sebanyak 366 kes bunuh diri dilaporkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan purata empat kes sehari.
Angka itu menunjukkan betapa serius keadaan masalah kesihatan mental masyarakat kita. Persoalannya, berapa ramai dalam kalangan kita yang cakna dan bersedia membantu mengurangkan kekecewaan dan kemurungan orang di sekeliling kita?
Tekanan berkaitan putus punca pendapatan, cabaran bekerja dari rumah, sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) serta isu-isu lain yang timbul sejak pelaksanaan PKP bermula Mac 2020 telah menyumbang kepada masalah kesihatan mental.
Malah, emosi kebanyakan ibu bapa dan anak-anak amat terjejas sepanjang tempoh pelaksanaan PKP. Di samping perlu menjalankan urusan pejabat di rumah, ibu bapa perlu memastikan sesi PdPR anak-anak tidak terabai. Bukan setakat itu sahaja, tugasan mengurus kerja rumah ibarat tiada henti.
Isu ketiadaan gajet seperti komputer riba dan telefon pintar serta capaian internet yang kurang baik menyumbang kepada peningkatan kadar keciciran pelajar dan seterusnya menjejaskan emosi anak-anak serta meningkatkan kes kemurungan.
Oleh itu, semua pihak perlu berperanan menyebarluaskan maklumat berkenaan talian bantuan sokongan psikososial yang wujud seperti Perkhidmatan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial (MHPSS), Kementerian Kesihatan.
Mereka yang menghadapi kemurungan juga boleh menghubungi Pusat Khidmat Keluarga, Sosial dan Komuniti (KSK Care), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Selain itu, orang ramai tidak harus menularkan mana-mana video atau maklumat terperinci seperti nama dan maklumat peribadi mereka yang terlibat dalam kes bunuh diri demi menjaga kesejahteraan keluarga mangsa.
Peranan kerajaan, badan korporat, pertubuhan bukan kerajaan, universiti malahan inisiatif daripada individu juga mampu membantu mengurangkan bebanan dan tekanan mental mereka yang terjejas.
FAZEEDA MOHAMAD, Universiti Malaysia Pahang (UMP).