Cerpen karya Wee Soo Lian
Atap zink sebuah rumah usang yang berdindingkan papan kayu jati dan berhampar lantai simen di sebuah perkampungan Cina Peranakan Kelantan semakin membahang dipancar kilau jingga suria pada satu hari yang suram. Walaupun sudah menjangkau usia seabad, rumah kecil itu masih teguh terpacak di tepi baruh meneduh hidup empat sekeluarga, yang pada hari ini meratapi kehilangan satu nyawa.
“Kita kena bawa bapa lari,” ujar Ah Heng sambil mengesat lelehan air matanya.
“Nak bawa lari ke mana?” soal Kim Gek kepada abang keduanya.
Matanya melilau ke luar rumah mencari kelibat abang sulungnya, Ah Hui kalau-kalau dia ada di situ.
Belum sempat Ah Heng memberi jawapan, kedengaran derapan tapak kaki menghampiri mereka. Ah Heng dan Kim Gek berpandangan antara satu sama lain. Kim Gek ketakutan. Dia diam membisu sambil menahan tangis. Ah Heng juga menyimpan resah.
“Nah, rebus telur ayam ini. Lepas itu letak di atas semangkuk nasi dengan sepasang pengepit. Jangan lupa hidangkan sekali bersama air kopi kegemaran bapa,” suara garau yang cukup dikenali itu, menggerunkan Ah Heng dan Kim Gek.
Kemudian, tubuh sasa yang berkulit sawo matang itu berlalu pergi. Kim Gek menarik nafas lega.
“Kita mesti bawa bapa lari sebelum mereka bertindak,” ulang Ah Heng lagi.
“Ya, kita mesti bawa bapa keluar dari sini. Tapi bukan sekarang. Kita kena buat apa yang disuruh oleh Abang Hui dulu. Kalau tidak, nanti kita kena marah lagi,” balas Kim Gek.
Mereka segera beredar. Kim Gek ke dapur untuk memasak nasi, merebus telur ayam dan membancuh air kopi manakala Ah Heng pula membuat sebuah meja kecil daripada papan dan kayu untuk meletakkan hidangan bagi bapa.
Halaman rumah Ah Hui telah dipenuhi sanak saudara dan rakan taulan yang datang beramai-ramai untuk memberikan sumbangan. Setiap wajah yang berkunjung ke situ kelihatan sugul.
Mereka mengenakan pakaian hitam menambahkan lagi suasana suram. Ah Hui melayan semua tetamu dengan memberi sebiji coklat dan sebotol air mineral sebagai balasan kepada mereka.
Jasad bapa yang sudah kaku dan kebiruan sedang dimandikan oleh sanak saudara di dalam bilik air. Kejernihan aliran air yang dicurah ke seluruh tubuh bapa, berubah merah kerana bercampur dengan darah yang masih mengalir keluar dari lopak-lopak luka yang sudah dijahit.
Perlahan-lahan kulit basah bapa dikeringkan selepas beberapa ketika, dan kemudian diangkat dan diletakkan di atas sebidang tikar untuk mengenakan pakaian baharu. Bau wangi air mawar yang direnjis ke seluruh tubuh bapa selepas itu, merebak ke seluruh rumah menandakan bahawa mayat bapa sudah sempurna dibersihkan.
Malam menjelma tiba. Di sekitar rumah usang itu gelap gelita. Upacara sembahyang khas akan diadakan sebentar lagi. Waris dan tetangga berhimpun di bawah khemah di sebelah rumah usang itu. Kemudian kelihatan beberapa orang sami Buddha membaca mantera diikuti oleh pengikutnya.
Setelah selesai upacara sembahyang khas, mereka mengalungkan bunga melur ke bingkai gambar bapa. Sami dan hadirin kembali ke tempat masing-masing. Ah Hui beredar masuk ke kamar tidurnya.
“Mari kita bawa bapa lari. Mereka sudah tidur tu!” bisik Ah Heng.
“Tapi bapa sudah dimasukkan ke dalam tong kayu yang telah dipaku. Kita tidak boleh bawa bapa lari,” balas Kim Gek sambil matanya memerhati keadaan sekeliling.
“Kalau begitu, esok sahajalah kita bawa bapa lari. Kita minta bantuan jiran kita, Uncle Tiong. Dia mesti tolong kita sebab dia seorang yang bertanggungjawab dan mahir dalam melaksanakan urusan ini,” Ah Heng memberi cadangan.
Kim Gek menganggukkan kepala tanda setuju. Malam itu mereka menemani bapa tidur di dalam khemah. Terasa malam begitu lambat beredar. Mereka tidak sabar menunggu kedatangan esok hari yang akan menentukan nasib bapa mereka.
Tabir pagi pun dilabuhkan. Kicauan sang unggas menceriakan suasana pagi. Ah Heng dan Kim Gek segera berlari ke rumah Uncle Tiong yang terletak beberapa kilometer dari rumah mereka.
Uncle Tiong bersetuju untuk membantu Ah Heng dan Kim Gek setelah dipujuk oleh dua beradik itu.
Detik yang dinantikan telah pun tiba. Semua hadirin berbaris untuk menyaksikan upacara gemilang bagi meraikan hari terakhir bapa mereka di atas dunia. Tiba-tiba terdengar suatu suara nyaring melaung dari celah-celah belukar di belakang rumah usang itu.
“Kau jangan sentuh keranda itu. Kalau nak sentuh, langkah mayatku dulu. Akulah si penggali kubur yang disegani ramai,” ujar Uncle Tiong.
Dia menepuk-nepuk dadanya sambil menyuakan mata cangkulnya ke arah Ah Hui. Niatnya hanya ingin menakut-nakutkan Ah Hui sahaja. Tetapi Ah Hui bertindak di luar kawalan dengan menumbuk perut Uncle Tiong bertubi-tubi menyebabkan Uncle Tiong naik angin. Dia menghayunkan mata cangkul ke leher Ah Hui. Ah Hui mengelak. Ah Hui cuba merampas cangkul daripada Uncle Tiong. Berlaku pergelutan antara mereka berdua. Hadirin yang menyaksikan tragedi itu berlari lintang pukang. Masing-masing ingin menyelamatkan diri.
Kim Gek takut abang sulungnya diapa-apakan oleh Uncle Tiong. Dia meluru ke arah Uncle Tiong sambil menjerit, “Berhenti! Berhenti! Jangan apa-apakan Abang Hui!” Tetapi Uncle Tiong tidak mengendahkan rayuan Kim Gek. Dia mahu Ah Hui juga dapat merasakan betapa sakitnya akibat dipukul.
Tanpa disangka-sangka batang cangkul terkena belakang Kim Gek. Kim Gek jatuh tersungkur ke tanah. Konsultan yang menguruskan persemadian jenazah segera meleraikan pergaduhan itu. Dia berjaya menenangkan mereka berdua.
“Ah Heng dan Kim Gek datang ke rumah saya pagi tadi. Mereka mahu bapa mereka disemadikan mengikut adat kematian kaum Cina. Saya telah menggali kubur itu di belakang rumah ini untuk menanam mayat Pak Cu Hong,” beritahu Uncle Tiong.
“Apa? Mengapa mereka tidak memberitahu hal ini kepada saya?” soal Ah Hui benggang. Wajahnya bengis menunjukkan sifat peribadinya yang panas baran.
“Mereka tidak berani memberitahu awak sebab awak selalu marahkan mereka,” balas Uncle Tiong sambil mengusap perutnya yang sakit terkena tumbukan Ah Hui tadi.
“Ah Hui ingin supaya mayat bapa mereka disemadikan mengikut adat tradisi masyarakat Siam iaitu secara dibakar. Saya telah mengarahkan beberapa orang petugas untuk melaksanakan tugas ini,” tegas Konsultan Kuan yang telah diberi tanggungjawab menguruskan persemadian jenazah bapa.
Bagi mengelakkan ketegangan berterusan, Ah Hui menghulur beberapa keping not berwarna ungu kepada Uncle Tiong.
Uncle Tiong segera beredar dari situ seraya memohon maaf dan mengucapkan terima kasih kepada Ah Hui dan Konsultan Kuan. Melihat keadaan Kim Gek yang lemah, Ah Heng segera mendapatkan Kim Gek dan memapahnya untuk duduk di dalam rumah.
Kim Gek mengaduh menahan sakit sambil mengurut badannya. Saat itu kenangan semalam mengambang di ingatan.
Bapanya, Pak Cu Hong ke bandar untuk membeli buku cerita sebagai hadiah kepadanya dan abang keduanya di atas kejayaan cemerlang dalam peperiksaan yang mereka duduki. Semasa turun dari bas, Pak Cu Hong tidak melihat ke kiri dan ke kanan jalan, terus melintas menyeberangi jalan. Tiba-tiba sebuah kereta memecut dengan lajunya melanggar Pak Cu Hong dan mengheret badan Pak Cu Hong sejauh 500 km dari tempat kejadian. Pak Cu Hong dibawa ke hospital oleh pemandu kereta tersebut tetapi meninggal dunia di dalam perjalanan ke hospital.
Mayatnya dibawa balik ke rumah tetapi diletakkan di luar rumah kerana mengikut kepercayaan kaum mereka, orang yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya perlu diletakkan di luar rumah supaya tidak mengundang sial kepada anak cucu. Sebuah khemah didirikan untuk menempatkan jenazah Pak Cu Hong.
Berita kematian bapa mereka segera diberitahu kepada abang sulung mereka, Ah Hui yang sedang memerah keringat menabur benih padi di baruh. Ah Hui tidak dapat menerima hakikat bapanya telah meninggal dunia. Dia menyalahi Kim Gek dan Ah Heng. Dia tidak dapat mengawal kemarahannya. Tambahan pula dia belum menjamah sebarang makanan sejak pagi tadi menyebabkan dia semakin tertekan.
Bukan sekali ini sahaja dia memarahi adik-adiknya tetapi sudah banyak kali dia melemparkan perasaan amarahnya kepada mereka kerana dia terpaksa memikul beban yang berat, bekerja kuat membanting tulang untuk membiayai pengajian dua orang adiknya di samping menanggung bapanya yang sudah tua.
Kim Gek tersedar dari lamunannya apabila namanya dipanggil Konsultan Kuan untuk memberi penghormatan terakhir kepada bapanya. Dia berjalan longlai ke tempat upacara itu.
Pelbagai makanan dan minuman disediakan di meja upacara. Dia memberi hormat kepada mendiang bapanya dengan menundukkan kepala sebanyak tiga kali ke arah keranda bapanya sambil memegang dua batang colok berwarna hijau dan dua batang colok berwarna merah, diikuti dengan adik beradiknya dan semua hadirin yang hadir.
Setelah selesai upacara penghormatan, keranda diangkat ke dalam van untuk disemadikan di kuil Siam. Kim Gek dan Ah Heng terpaksa akur dengan arahan Konsultan Kuan meskipun jauh di lubuk hati, mereka tidak suka dengan arahan itu.
Mereka berdua dikehendaki duduk di dalam van di tepi keranda. Ah Heng ditugaskan untuk memayung keranda di bahagian kepala supaya mendiang bapa tidak terkena panas mentari. Di sepanjang perjalanan itu, Kim Gek menabur beberapa helai kertas perak sebagai menandakan laluan untuk roh mendiang bapa kembali semula ke rumah mereka.
Setelah sejam melalui jalan raya berliku, akhirnya mereka sampai ke sebuah kuil Siam. Beberapa orang petugas menyambut kehadiran jenazah mendiang bapa.
Keranda segera diturun dan diletakkan di dalam sebuah dewan sebelum dibakar. Sekali lagi sami Buddha dijemput untuk membaca mantera. Selepas itu, keranda disorong ke dalam tempat pembakaran mayat.
Ah Heng dan Kim Gek melihat kepulan asap hitam keluar dari lubang tempat pembakaran mayat ke udara dengan hati yang sayu. Mereka tidak terdaya menghalang jenazah bapa mereka daripada dibakar.
Proses pembakaran mayat mengambil masa lebih kurang lima jam. Mereka membakar mayat dengan menggunakan arang dan minyak tanah. Sementara menunggu mayat habis dibakar, Konsultan Kuan memanggil Ah Hui, Ah Heng dan Kim Gek.
“Kita semua mesti ada hubungan yang baik antara satu sama lain. Ketua keluarga sepatutnya dihormati bukan digeruni. Jika berlaku perselisihan pendapat, seelok-eloknya berbincanglah baik-baik. Jangan diikutkan hati dan perasaan kerana jika ikutkan hati, kita akan mati; jika ikutkan rasa, kita akan binasa,” ucap Konsultan Kuan.
Pesanan Konsultan Kuan telah menyedarkan mereka betapa pentingnya toleransi di dalam kehidupan mereka. Ah Heng dan Kim Gek memohon maaf daripada Ah Hui. Ah Hui juga meminta maaf daripada adik-adiknya.
Dia berjanji akan mengubah perangainya dan akan memberi sepenuh kasih sayang kepada adik-adiknya. Mereka berpelukan. Mega hitam berlalu pergi. Kini sinar bahagia menyinari kehidupan mereka. – Mingguan Malaysia