Barang besar, yang angkat seorang - Utusan Malaysia

Barang besar, yang angkat seorang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Selalu saya bercerita tentang pelbagai pengalaman pemandu Grab yang berhadapan dengan ragam penumpang. Kali ini saya nak berkongsi pula kisah penghantar barangan seperti J&T, Ninja Van, Pos Laju,.Shopee dan banyak lagi.
Zaman sekarang ini, membuat pesanan secara atas talian sudah memang menjadi sebahagian gaya hidup. Lebih-lebih lagi dengan situasi Covid-19 ini, semua barang boleh dibeli di hujung jari sahaja.
Pendek kata, dalam Shopee semua ada dijual. Daripada sekecil-kecil jarum sehingga ke tilam tebal 20 inci pun boleh dibeli. Yang tiada dijual, mak ayah saja!
Salah seorang kenalan bekerja sebagai penghantar bara­ngan. Dia yang saya panggil Zul, membawa van untuk memudahkannya membuat penghantaran barangan bersaiz besar.
Kata Zul, menjadi penghantar barangan ketika ini memang mencabar. Bukan sebab ke sana sini tapi apabila perlu menghantar barangan besar ke pangsapuri yang tiada lif atau lif rosak!
“Bayangkan kena pikul dua tilam jenis Queen ke tingkat dua tanpa lif. Nak patah pinggang. Bukan tilam nipis, tebal pula tu.
“Pelik-pelik orang order atas talian ni. Benda besar-besar ini yang buat penghantar barangan ini kadang-kadang rasa bengang jugalah.
“Iyalah, kerja seorang, hendak angkat tilam bukan senang,” kata Zul.
Kata Zul, antara benda yang paling penghantar barangan tak suka terima adalah kayu palet, tong air biru besar dan tong sampah beroda.
“Bukan sebab payah nak hantar tapi barang itu ‘makan ruang’ dalam kereta. Kena dapat pesanan tiga tong sekali gus, nak sumbat mana barang?
“Aku taklah merungut pasal ni sebab ini soal rezeki. Ada barang orang order, bermakna ada job aku nak hantar barang. Tapi kalau hari-hari kena bawa kayu palet yang bukan sekeping saja tahu, mahu dua hari sakit satu badan,” kata Zul tertawa.
Lagi pengalaman luar biasa juga adalah terpaksa menghantar dumbell seberat 30 kg, pemberat leper yang dipek sekali gus mencecah 100 kg.
Tambahnya, satu lagi yang parah untuk diangkut adalah makanan kucing yang berat 10 kg ke atas dan pasir najisnya.
“Ini kalau dapat order dan dibungkus berasingan okeylah senang bawa. Tapi kalau dibungkus bersama, jenuh nak pikul.
“Tambahan pula, bukan order satu tapi berpek-pek dan dibungkus sekali gus. Huh, boleh patah pinggang dibuatnya.
“Kalau rumah bawah, tak jadi masalah sangat. Cuma yang ‘sakit’ bila rumah flat atau apartment yang terpaksa masuk ke lif dulu. Nak angkat itu memang jenuh,” kata Zul.
Cerita Zul, dia pernah membawa rumput artificial segulung besar yang beratnya tak terhitung.
“Sampai depan rumah, saya minta tuan barang tolong angkat sekali sampai parkir kereta. Tuan rumah pula perempuan, nak tak nak saya gigihkan jualah pikul.
Saya yang mendengar pengalaman Zul terus teringat pernah membuat pesanan barang berat sebelum ini.
Mujurlah saya tak berminat terlibat dalam pekerjaan penghantaran barang begini. Agaknya kalau saya yang kena pikul tilam, memang esoknya terus berhenti kerja. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya