Tolak lantikan politik di universiti awam - Utusan Malaysia

Tolak lantikan politik di universiti awam

IPT dijangka menerima kembali kehadiran pelajar apabila gelembung kampus diwujudkan mulai Oktober ini. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

KERAJAAN perlu mengkaji semula kesan baik atau buruk pelantikan individu yang mempunyai jawatan dalam parti sebagai lantikan politik di universiti awam (UA).

Sekurang-kurangnya 15 ahli politik telah dilantik ke jawatan-jawatan dalam lembaga pengarah UA di Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Malaysia Pahang (UMP), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza). 

Perkara yang perlu dikaji, adakah pelantikan ini akan menyebabkan berlaku ketidakadilan kepada mahasiswa dan mahasiswi di negara ini yang sekarang mengalami bukan sahaja pengalaman pendidikan tidak berkualiti, namun juga kekurangan dari segi kebajikan dan kemudahan untuk belajar?

Di universiti, pendemokrasian struktur mahasiswa di kampus, kebebasan mahasiswa dari pengaruh landskap politik Malaysia sekarang serta usaha menaikkan mahasiswa sebagai sebuah kumpulan berautonomi yang berilmiah, intelektual dan aktif berkhidmat kepada masyarakat adalah perkara yang amat penting untuk kita. 

Bagaimanapun, diakui pendidikan politik yang bebas dan tidak berpihak adalah satu perkara penting untuk kita maju sebagai masyarakat.

Sebab itu di Malaysia, kita mempunyai ramai pelajar serta graduan yang mempunyai latar belakang pendidikan politik dari UA dan universiti swasta serta sebilangan daripada mereka juga melibatkan diri dalam politik nasional negara ini. 

Apa yang tidak betul adalah keterlibatan parti politik yang memerintah dalam badan-badan institusi seperti UA yang jelas lantikan politik itu boleh disifatkan sebagai satu korupsi.

Taktik lama dari zaman Barisan Nasional (BN) tidak harus diulangi semula pada zaman kerajaan Perikatan Nasional (PN). Dana awam secara tetap yang disalurkan oleh kerajaan kepada UA tidak boleh dialihkan untuk membiayai kegiatan parti, tetapi perkara tersebut akan mudah berlaku apabila jawatan tinggi dalam institusi pengajian tinggi (IPT) berada dalam genggaman ahli politik. 

Gaji lembaga pengarah UA yang naik mendadak berserta lantikan politik ini juga menunjukkan wujud unsur nepotisme dan pengaliran wang yang berlebihan bukan ke arah kebaikan mahasiswa. 

Para mahasiswa sudah sedia maklum, betapa banyak penambahbaikan yang perlu dibuat terhadap UA termasuk dari segi kemudahan prasarana, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta kebajikan pelajar. Langkah tersebut akan terjejas sekiranya berlaku pengaliran keluar wang peruntukan kepada pihak lain.

Oleh itu, semua pihak perlu menuntut agar lantikan politik di UA ditarik balik dengan serta-merta. 

Lantikan tersebut jelas bertentangan dengan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 yang menghalang para pelajar berpolitik dan menetapkan UA mempunyai autonomi secara penuh.

Adakah akta itu tidak terpakai kepada pihak pemerintah yang bebas menyusupkan individu berjawatan dalam parti dan mengindoktrinasikan UA dengan ideologi-ideologi politik parti tertentu? 

Tuntutan ini juga seiring dengan desakan supaya dilakukan pendemokrasian universiti dan memastikan ia bebas daripada pengaruh parti politik luar. 

Perjuangan mahasiswa untuk menolak lantikan politik tidak akan padam selagi masih wujud tindakan yang menekankan kebebasan dan kemerdekaan pelajar universiti.

MUAZZ ISHAK, Kuala Lumpur.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya