Tidak gagal kalau masih mampu bayar gaji - Utusan Malaysia

Tidak gagal kalau masih mampu bayar gaji

PILIHAN raya boleh meningkatkan jumlah kes Covid-19. - UTUSAN/FAUZAN AZIMA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

KETIKA kita melangkah ke minggu-minggu terakhir sebelum Proklamasi Darurat 2021 tamat pada 1 Ogos ini, banyak pendapat berlegar dalam kalangan rakyat, sama ada ia akan berakhir atau perlu disambung.

Pelaksanaan darurat telah dikritik hebat kerana rakyat tidak dapat melihat kebaikannya kepada mereka. Darurat dikatakan gagal membendung penularan wabak Covid-19, sebaliknya kes meningkat naik dengan kadar kematian tinggi. Banyak pihak juga mendesak Parlimen dibuka untuk bersidang dan akhirnya kerajaan terpaksa akur.

Tetapi bukankah kes meningkat kerana ketidakpatuhan rakyat pada prosedur operasi standard (SOP) dan juga kehadiran varian baharu?  Situasi ini akan menyebabkan kes tetap akan meningkat walaupun dalam situasi darurat. 

Parlimen bersidang atau tidak, ahli Parlimen bebas mengkritik kerajaan, menyuarakan pandangan dan bekerja seperti biasa. Lagipun, bila masa perdebatan Parlimen di Malaysia ini berkualiti?

Pada pendapat saya, ada tiga kebaikan darurat iaitu pertama, meningkatkan kapasiti kesihatan awam termasuk membolehkan kerajaan mengarahkan hospital swasta mengambil pesakit Covid-19.

Kedua, dapat mengelakkan diadakan pilihan raya yang boleh meningkatkan jumlah kes dan ketiga, darurat mewujudkan kestabilan politik. 

Sebelum darurat, tiap-tiap minggu kita dengar ura-ura ada seorang pemimpin mahu menjatuhkan kerajaan dan menjadi Perdana Menteri. Asyik-asyik panggil sidang akhbar untuk menyatakan si polan memberi sokangan serta telah memperoleh majoriti.

Tiga kebaikan ini pada pendapat saya telah membantu kerajaan untuk fokus tangani Covid-19 dan menyelamatkan lebih banyak nyawa.

Adakah kerajaan gagal walaupun telah melaksanakan darurat? Saya tidak fikir begitu kerana kalau gagal, jumlah kes sudah mencapai tahap ‘gila’ puluhan ribu sehari, gaji penjawat awam tidak boleh dibayar selama berbulan-bulan dan banyak pelabur menarik  diri.  

Kerajaan juga telah meningkatkan program vaksinasi melebihi 200,000 dos sehari. Kalau kerajaan gagal, jumlah dos tidak akan mencapai bilangan terbabit dan mungkin program imunisasi belum berjalan lagi.

MOHD. HILMI ABDUL LATIFF, Sepang, Selangor.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya