SAUDARA PENGARANG,
JUTAAN terima kasih buat kakitangan Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang bekerja tanpa mengenal penat dan lelah dalam memastikan setiap pesakit yang menerima rawatan di sana pulih seperti sedia kala.
Saya mewakili keluarga terhutang budi kepada doktor dan jururawat yang merawat dan menjaga arwah adik ipar, Ismail @ Musa Kadim sepanjang mendapatkan rawatan sejak 25 April lalu.
Ismail yang menghidapi penyakit jantung pada asalnya dirawat di Institut Jantung Negara (IJN), namun disebabkan mengalami demam semasa rawatan, dia dirujuk ke HKL. Selain penyakit jantung, dia turut menghidap kencing manis, darah tinggi dan buah pinggang.
Sepanjang 39 hari di HKL, adik ipar saya menerima rawatan dan layanan yang amat baik sekali ketika pandemik Covid-19. Sayangnya, Allah SWT lebih menyayanginya. Ismail menghembuskan nafas akhir pada 3 Jun lalu dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah, Gombak, Selangor.
Saya mengambil kesempatan merakamkan ucapan terima kasih kepada kakitangan di IJN dan HKL, jiran di Taman Koperasi Polis 11, ahli jawatankuasa surau dan semua yang terlibat. Jasa anda semua dikenang.
RAMLI OTHMAN, Kepong, Kuala Lumpur.