SAUDARA PENGARANG,
LANGKAH Kementerian Pendidikan meneruskan sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) amat wajar memandangkan negara masih lagi berhadapan dengan situasi pandemik Covid-19.
Satu persoalan adalah mengenai sama ada kurikulum pada tahun ini dapat diselesaikan sebagaimana ditetapkan dalam Dokumen Penjajaran Kurikulum (DPK)?
Sebelum itu, pada 2020, Kementerian Pendidikan mengambil langkah proaktif untuk menjajarkan semula Kurikulum Standard Sekolah Rendah dan Menengah (KSSR dan KSSM) untuk disesuaikan dengan situasi pembelajaran tidak menentu disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan perintah kawalan bersasar lain.
Pembelajaran boleh berlaku dalam tiga situasi berbeza mengikut kesesuaian iaitu pertama, dalam talian apabila terdapat capaian internet dan penggunaan peranti yang membolehkan murid belajar dalam masa sebenar.
Kedua, luar talian berlaku apabila murid belajar menggunakan peranti seperti komputer, komputer riba, tablet atau telefon pintar tanpa capaian internet atau ketiga, off-site iaitu kaedah pembelajaran yang berlaku di pusat komuniti atau di mana-mana premis yang diisytiharkan sebagai pusat pemindahan.
Sehingga kini, pelbagai kaedah digunakan oleh guru yang begitu komited untuk memastikan setiap murid dapat meneruskan pembelajaran walaupun dalam keadaan serba mencabar.
Bagi mereka yang tidak mempunyai masalah capaian, guru menggunakan pelbagai aplikasi instruksional dalam talian untuk menjadikan kelas lebih kondusif untuk pembelajaran.
Kini perisian kolaboratif seperti Padlet, Quizziz, Nearpod atau Kahoot digunakan secara meluas oleh guru di negara ini.
Acap kali kementerian menyatakan pelaksanaan PdPR adalah mengikut kesesuaian guru dan murid, atas kesedaran bahawa guru dan sekolah lebih tahu keperluan dan cara mendepani kekangan dihadapi oleh murid.
Kejayaan PdPR sebenarnya amat bergantung kepada komitmen pelbagai pihak berkepentingan dalam memastikan kemenjadian murid, sebagaimana dihasratkan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK).
Hal ini kerana proses pendidikan bukanlah setakat guru menyampaikan ilmu kepada murid tetapi merupakan proses berterusan dalam memastikan ilmu, kemahiran dan nilai dapat dibangunkan dalam diri murid tersebut.
Justeru, pelibatan ibu bapa menjadi lebih penting dalam memastikan keberhasilan murid kerana lokasi pembelajaran kini di rumah.
Namun, realiti pelaksanaan PdPR bukanlah sesuatu yang mudah. Dalam satu murid yang dapat melalui PdPR dengan jayanya, ada 10 lagi murid berhadapan pelbagai cabaran.
Seorang anak yang bertanggungjawab mungkin tidak sanggup melihat ibunya menjaga dan menguruskan adik-beradik lain yang ramai yang memerlukan perhatian, justeru sanggup tidak mengikuti kelas dalam talian demi membantu ibu tersayang.
Situasi sebegini sememangnya berlaku dan memerlukan intervensi secara khusus daripada pihak sekolah, komuniti dan pihak lain-lain yang berkepentingan untuk mewujudkan satu ekosistem pembelajaran yang menjurus kepada kemenjadian murid.
Langkah yang diambil oleh Kementerian Pendidikan untuk memansuhkan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) adalah sangat bijak dalam situasi pandemik yang penuh ketidaktentuan ini.
Tidak perlu lagi sekolah berlumba-lumba untuk mendapatkan keputusan cemerlang dalam Pentaksiran Pusat, tetapi memberi fokus kepada kemenjadian murid selaras FPK.
Murid yang sanggup berkorban masa belajar untuk membantu ibu bapa mereka inilah yang perlu dibantu agar mereka tidak ketinggalan dalam pembelajaran.
HAYATI ISMAIL, Pengarah Kolej Genius Insan.