SAUDARA PENGARANG,
DATA menunjukkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) khususnya berkait kehadiran murid tidak mencapai 80 peratus. Ini merupakan cabaran utama yang dihadapi oleh guru selain berdepan kekangan seperti tidak mahir teknologi, berada di lokaliti akses internet rendah dan menangani kerenah pelajar yang terdiri dari pelbagai latar belakang sosio ekonomi. Ini menimbulkan masalah lain termasuk isu kesihatan mental seperti tekanan emosi, kemurungan dan depresi.
Kerajaan perlu memastikan capaian jalur lebar diperluas dan memastikan pengagihan peranti yang dijanjikan Kementerian Pendidikan dilunaskan secepat mungkin. Langkah proaktif dan agresif ini penting bagi menjamin tiada pelajar tercicir khususnya dari kelompok rentan.
Perkara seterusnya adalah memastikan warga pendidik menerima vaksin agar sekolah dapat dibuka semula. Kajian Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) menunjukkan guru lebih yakin dengan pembelajaran secara bersemuka.
Sekolah boleh dijadikan pusat vaksinasi bukan sahaja untuk guru tetapi juga calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Kita berterima kasih kerana Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi membenarkan pelajar berusia 12 tahun menerima suntikan vaksin. Pemberian vaksin ini merupakan harapan agar sekolah dapat dibuka semula sebagaimana di negara- negara Eropah.
Kementerian Pendidikan pada masa sama perlu menilai dan membentangkan kajian berhubung keberkesanan PdPR. Ini kerana terdapat banyak rungutan berhubung lambakan kerja rumah, jadual yang padat, tempoh masa lama di skrin, kaedah pengajaran guru yang kurang menarik serta suasana persekitaran di rumah yang kurang efektif. Usaha kerajaan mengadakan saluran DidikTV diharap dapat menangani isu- isu yang berbangkit, selain ia perlu ditambah baik dari sudut persembahan dan pengisian supaya sampai kepada sasaran.
Kementerian juga perlu menyediakan manual pelaksanaan PdPR khususnya bagi ibu bapa untuk membantu memantau anak- anak di rumah. Ini penting bagi mengelak isu 3M ( membaca/ mengira/ menulis) khusus bagi pelajar prasekolah, tahun 1 dan 2. Jika tidak dapat diatasi, negara akan berdepan generasi yang tercicir dalam pendidikan serta membantutkan pertumbuhan dan perkembangan kognitif, afektif serta psikomotor.
Aspek kesihatan mental pelajar juga perlu diberi perhatian memandangkan PdPR boleh memberi gejala kemurungan, kebimbangan dan tekanan. Tinjauan mendapati 35 hingga 40 peratus pelajar mengaku PdPR memberi kesan negatif kepada kesihatan mental. Di sinilah ibu bapa, guru dan kaunseling perlu berbincang dan mencari solusi terbaik bagi memastikan aspek kesihatan mental ini diberi perhatian.
Kita tiada pilihan lain, semua pihak perlu berganding bahu demi menyelamatkan generasi ini daripada keciciran pendidikan.
MOHD. AZIZEE HASAN, Presiden i-Guru.