SAUDARA PENGARANG,
TERDAPAT banyak keluhan mengenai Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) termasuk pengurusan dalam mengendalikan suntikan vaksin kepada orang ramai.
Ini kerana masih ramai dalam kalangan masyarakat yang belum mendapat tarikh janji temu untuk suntikan vaksin walaupun setelah sebulam mendaftar di aplikasi MySejahtera.
Malah, rakyat menjadi marah dan tidak puas hati apabila setiap hari membaca laporan mengatakan jumlah kes jangkitan Covid-19 meningkat sedangkan pengendalian PICK dilihat lemah.
Keadaan ini seolah-olah tiada sistem yang baik dalam pengedaran vaksin. Sepatutnya kita perlu memiliki sistem seperti perbankan, iaitu mendapat tarikh janji temu suntikan selepas seminggu mendaftar di MySejahtera atau boleh dibuat secara walk-in bagi mereka yang tinggal di luar bandar atau warga emas yang tidak mempunyai telefon pintar atau tidak pandai mengendalikan aplikasi itu.
Sistem yang ada pada masa kini seolah-olah lemah dan lembab. Justeru, pihak berkaitan perlu melihat dan mengkaji semula sistem itu dan melakukan penambahbaikan agar negara berjaya mencapai imuniti kelompok seperti disasarkan.
Pada masa sama, satu tribunal siasatan perlu diwujudkan bagi menyiasat dan mendedahkan pemilik syarikat yang menerima tender pembangunan sistem teknologi dalam talian PICK bernilai RM70 juta.
Ini kerana program itu idak mencerminkan nilai yang diperuntukkan (bagi pembangunan aplikasi). Pelbagai isu berbangkit termasuk kemampuan syarikat tersebut untuk mengakses secara automatik, cepat dan efisien. Masih ramai lagi yang belum menerima tarikh janji temu walaupun telah memohon suntikan vaksin sejak ia dibuka kepada umum.
Tribunal tersebut harus membongkar, mendedah dan menyiasat kelemahan program ini, sekiranya terdapat penyalahgunaan kuasa.
Masalah sebegini perlu diatasi segera oleh pihak-pihak bertanggungjawab bagi mengelak perkara serupa berlaku kepada program-program melibatkan kemudahan dan kebajikan rakyat pada masa depan.
WARGANEGARA KECEWA
Kuala Lumpur