Pada hakikatnya, aktiviti kesukarelawan ini sama ada terdiri dalam kalangan individu atau kumpulan, ia merupakan salah satu tanggungjawab sosial dalam memberi apa sahaja bentuk bantuan kepada sesiapa yang memerlukan sama ada berbentuk kewangan, barangan keperluan asas, tenaga atau nasihat. Dalam konteks dakwah, perbuatan sebegini amat baik kerana dapat membina hubungan baik atau jambatan antara pendakwah dengan mad’u dalam merealisasikan objektif amar makruf nahi mungkar. Oleh itu, peluang berdakwah melalui aktiviti kesukarelawan perlu dimanfaatkan sebaik mungkin.
Namun begitu, pelbagai isu berkaitan aktiviti kesukarelawan dibincangkan pada masa kini sehingga menimbulkan banyak persoalan dan pandangan negatif terhadapnya. Pertikaian mengenai niat keikhlasan sukarelawan juga turut dipersoalkan. Selain itu, apa yang lebih mendukacitakan di sebalik tugasan murni ini ialah wujudnya elemen fitnah memfitnah sama ada terhadap sukarelawan atau masyarakat serta pihak berwajib di sekitar kawasan tempat tinggal penerima sumbangan. Perkara sebegini berlaku antaranya disebabkan kurangnya pengetahuan sukarelawan terutama dalam memahami latar belakang sasaran dan peraturan serta budaya masyarakat setempat.
Dalam dakwah juga, sebarang usaha tanpa mengetahui perkara tersebut adalah bercanggah dengan peraturan dakwah yang bukan sahaja berkemungkinan tidak menghasilkan kejayaan tetapi boleh membawa kesan sebaliknya. Antara perkara penting seharusnya sukarelawan yang ingin berdakwah lakukan ialah pertama, mengkaji latar belakang sasaran. Hal ini merupakan langkah pertama yang perlu dilakukan untuk berdakwah khususnya di lapangan. Dalam konteks aktiviti kesukarelawan, mereka seharusnya mempraktikkan kaedah tabayyun dalam memastikan maklumat yang diterima adalah benar dan tepat terutama kepada siapa sebenarnya bantuan tersebut sepatutnya diterima tanpa menerima bulat-bulat daripada satu pihak sahaja.
Antara caranya dengan mendapat maklumat penerima terlebih dahulu daripada pihak yang mempunyai autoriti seperti penghulu atau ketua kampung. Hal ini penting kerana dalam menentukan sasaran atau penerima yang betul-betul berkelayakan dan juga dapat mengelakkan daripada unsur-unsur penipuan daripada pelbagai pihak tertentu akibat maklumat kurang tepat. Selain itu, maklumat ini juga berguna dalam menentukan bentuk dan jumlah bantuan yang sepatutnya diterima oleh mereka. Setelah maklumat berkaitan penerima didapati sahih dan tepat, maka langkah keduanya ialah sukarelawan perlu mempunyai pengetahuan berkait selok-belok tempat lokasi yang ingin dikunjungi. Ini termasuk aspek pematuhan peraturan dan pemakluman awal atau melalui pihak berkaitan di tempat tersebut. Hal ini ibarat meminta izin untuk memasuki sesuatu kawasan. Jika perkara ini tidak dipatuhi oleh sukarelawan, berkemungkinan akan berlaku fitnah dan fitnah tersebut akan terpalit kepada masyarakat sekitar dan pihak-pihak berwajib setempat yang telah sekian lama menghulurkan bantuan kepada mereka dengan beranggapan masyarakat dan pihak berwajib tidak memainkan peranan mereka. Suasana sebegini merupakan suatu situasi yang amat kurang baik kerana pahala yang didamba, dosa berantai pula yang diperoleh. Tambahan pula pada zaman teknologi sekarang, perkara seperti ini menjadi lebih parah apabila orang luar atau netizen yang tidak mengenali mereka dari dekat dan hanya menerima maklumat melalui media sosial, cepat membuat kesimpulan tanpa tabayyun dan terus memviralkan perkara tersebut sehingga berlaku fitnah memfitnah yang tidak diduga.
Ketiga, penentuan mesej dakwah yang perlu disampaikan. Berdasarkan maklumat latar belakang sasaran dan lokasi, ia banyak membantu sukarelawan untuk bertindak sebagai pendakwah. Sukarelawan hendaklah merebut peluang dan ruang semasa bertemu penerima bantuan dengan menyelitkan mesej dakwah santai sama ada melalui percakapan, perlakuan dan pemberian risalah berkaitan agama. Sebagai langkah dakwah awal, hubungan baik mad’u ini dapat dibina melalui perbualan sopan dan beradab serta penampilan yang mudah mesra ketika menghulurkan bantuan. Langkah ini bukan terhenti di sini sahaja, malah dengan edaran risalah berkaitan agama menjadikan tindakan susulan dapat dijalankan selanjutnya kerana maklumat sukarelawan yang terkandung di situ mampu mewujudkan jalinan jangka panjang yang berterusan dalam menyebarkan mesej dakwah walaupun berada di lokasi berbeza.
Kesimpulannya, berdakwah melalui aktiviti kesukarelawan perlu mematuhi peraturan dakwah iaitu dengan berusaha mengetahui ketiga-tiga perkara tersebut sebelum memulakannya. Diharapkan dengan panduan ringkas ini, kerja baik yang dilakukan oleh sukarelawan ini dapat mengekalkan persepsi positif kepada golongan mereka dan dapat mengelakkan daripada berlakunya penipuan dan fitnah dalam kalangan masyarakat. Selain itu, aktiviti kesukarelawan ini tidak terhad kepada memberi bantuan semata-mata tetapi ia boleh bertindak sebagai salah satu cara berdakwah dalam menyampaikan mesej dakwah secara berhikmah.
Dr. Muhammed Yusof ialah Pensyarah Kanan di Jabatan Dakwah & Pembangunan Insan, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.