SAUDARA PENGARANG,
KINI petani tidak lagi membuat keputusan berkaitan urusan bendang, sebaliknya hanya sekadar bekerja dan mengikut arahan pihak pengurusan syarikat atau jika petani adalah pemilik tanah, hanya duduk di rumah dan menerima bayaran sewa serta keuntungan bulanan di bawah pelaksanaan Projek Smart Sawah Berskala (Smart SBB).
Kerja-kerja sawah akan diambil alih oleh 11 syarikat peneraju yang dilantik Kementerian Pertanian dan Industri Makanan dalam hal berkaitan urusan baja dan kapur, traktor dan jentera, racun, mesin padi dan lori padi, memilih kilang padi, jualan padi, menentukan pemborong dan peruncit serta urusan jualan di kedai mahupun pasar raya. Hampir 100 peratus penglibatan swasta.
Selain itu, pelaksanaan ini akan menyebabkan petani muda kehilangan bendang yang disewa apabila pemilik tanah menyertai Skim Sawah Estet. Pada masa sama, pekerja yang mengambil upah menabur dan meracun, pengusaha dan mesin padi bersaing dengan vendor besar, risiko kehilangan tanah serta tanggungan hutang akan memberi beban kepada mereka yang terlibat dalam bidang ini. Maklum balas ini bukan cakap kosong tetapi berdasarkan pengalaman dan pemerhatian petani menyertai projek estet di Kedah, Johor dan Pulau Pinang.
Petani kecil berdepan pelbagai sekatan seperti kawalan dan dieksploitasi selain masalah sistem bekalan benih yang dikuasai kartel, kawalan kualiti benih yang rendah dan pilihan varieti benih yang diluluskan kerajaan adalah terhad. Ini tidak termasuk isu pertikaian potongan pemutuan dan monopoli di peringkat perkilangan dan pasaran beras tempatan.
Selain itu, sasaran Self Sufficient Level (SSL) yang ditetapkan melalui projek ini hanya meningkat lima peratus daripada 70 peratus sebelum ini manakala sasaran pendapatan petani ladang skala besar adalah RM7,900 setahun atau RM658 sebulan. Lebih mengejutkan, pengurangan pekerja dalam industri padi dan beras ini sudah pun dirancang dalam draf Dasar Agromakanan Negara 2021-2030.
Dokumen tersebut menyatakan, jumlah pekerja pada 2021 yang dianggarkan 109,000 orang akan berkurangan kepada 28,000 orang pada 2030. Dasar ini jelas mengabaikan faktor ekonomi dunia pasca Covid-19 yang menyaksikan lebih banyak rakyat kehilangan pekerjaan di bandar sementara negara-negara di dunia mengalami gangguan bekalan makanan, barangan dan komoditi. Inilah masanya untuk negara membuat perubahan ekonomi ke arah ekonomi yang lebih lestari dan bersifat lokal.
Smart SBB juga akan mengubah landskap industri padi dan beras, selain tidak membawa perubahan besar dalam sumbangan kepada ekonomi negara apabila sasaran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang disasarkan daripada RM2.47 bilion pada 2021 hanya RM2.91 bilion pada 2030.
Projek penswastaan seperti ini hanya untuk mengaut keuntungan dan mengambil kesempatan ke atas keistimewaan yang diberikan kerajaan kepada mereka melalui sistem kuota, lesen khas dan subsidi input.
NURFITRI AMIR MUHAMMAD – Penyelidik dan aktivis masyarakat dalam isu-isu sosial dan sosioekonomi.